Powered by Blogger.

Blog Ieya Sya

Pernah tak persoalan, kenapa aku rasa tak boleh menulis mengetuk fikiran? 
Saya pernah alaminya. Tidak hanya sekali tetapi berkali-kali. Kadangkala terjadi setiap kali menyelesaikan satu babak. Saya rasa apa yang ditulis itu kosong. Perasaan waktu itu seperti apa yang saya taip hanyalah satu perkara sia-sia. Pernah banyak kali, saya kalah dengan perasaan itu dan memadamkan semuanya. Dalam fikiran, saya perlu mulakannya semula. Bila mulakan yang baru, perasaan yang sama masih ada. 

Saya masih ingat suatu masa dulu, waktu mula menulis. Betapa excitednya setiap kali melihat laptop. Masih ingat betapa cerahnya senyuman setiap kali menghidupkan lapotop. Betapa terujanya ketika menaip perkataan pertama. Dan betapa indahnya bila bertemu penamat. Bila tahun berganti tahun, menulis mula terasa menjadi satu bebanan. Mula terasa menjadi hal-hal yang memaksakan. 

Sejak kebelakangan ni, saya mula membandingkan dua latar masa itu. Kenapa dulu gembira? Kenapa sekarang kosong? Sedangkan saya membuat satu-satunya perkara yang saya suka. Kenapa? 

-Semua yang tertulis di blog ini hanyalah pendapat peribadi. Andai ada yang berguna, boleh dijadikan contoh. Jika ada yang tidak elok buat diri yang membaca, abaikan. Kadangkala sesuatu yang kita rasa betul pada diri kita, 'betul' itu tidak sesuai dengan orang lain. 




1. Misi

Ingat lagi waktu pertama kali memegang pen? Waktu pertama kali mengetik. Apa misi yang ada dalam kepala waktu itu? 

Secara personal, waktu pertama kali memutuskan untuk menulis sebuah cerita, saya hanya berfikir untuk membuat sebuah cerita yang diri sendiri inginkan.  Juga mencabar diri untuk menulis beratus helaian dan melihat sama ada saya mampu merealisasikannya atau tidak. Suatu waktu, akhirnya saya berjaya membuktikan diri sendiri. 

Adakah yang sedang membaca ini, memiliki misi seperti saya atau misi pertama menulis memang untuk menerbitkan menjadi sebuah naskhah? 

Selepas siap manuskrip kedua saya, baru saya mula memikirkan, kenapa tidak diterbitkan saja manuskrip yang ada. Saya menghantar manuskrip pertama dan itu kali pertama manuskrip saya ditolak. Ya, saya berhadapan penolakan pertama untuk manuskrip yang pertama. Waktu tu, saya tidaklah sedih sebab misi utama saya bukan untuk menerbitkan buku. Kemudian, saya hantar manuskrip kedua. Alhamdulillah, kali ini lulus walaupun penerbitannya memakan tahun, 

Saat melihat manuskrip diterjemahkan menjadi buku, saat itu terasa seperti satu keajaiban. Bermula titik itu, saya mula menulis buku untuk diterbitkan. Tapi saya tetap tidak tinggalkan perasaan enjoy ketika menulis. Saya panggil ini peringkat kedua dalam hidup. Di peringkat ini, misi saya bertambah, menulis untuk terbitkan sebagai buku. Ketika ini, saya selalu mengambil masa hampir dua tahun untuk menyiapkan sesebuah manuskrip. 

Sehingga tahun demi tahu berlalu, misi itu semakin bertambah. Dengan bertambahnya misi itu, misi yang pertama seakan menghilang. Waktu itu, sedikit demi sedikit keseronokan menulis itu hilang. Kemudian, perlaha-lahan menjadi stres kecil dan akhirnya tanpa sedar, menjadi stres yang buat saya berhenti menekan keypad. 

Dan saya berhenti. 

Saya mula refleksi diri sendiri. Mula mencari di mana kesilapan. Akhirnya sedar, yang saya paling rindukan adalah perasaan yang dulu. Untuk mendapatkan semula yang hilang bukan mudah. alhamdulillah kerana saya tidak kehilangannya tetapi hampir kehilangan. Cuma, untuk kembali perlukan waktu semula. Sebagaimana kita singkirkan misi kita dengan adanya misi-misi baru, begitulah juga kita perlu menyingkirkan misi yang tidak kita perlukan untuk mencapai misi pertama kita semula. Tapi, selagi ada masa, selagi itu kita ada peluang untuk dapatkan apa yang kita mahu/hilang kembali. Dan banyak sebenarnya yang membuat kehilangan misi yang awal. Contohnya, tergesa-gesa mahu terbitkan buku. Lebihkan kuantiti daripada kualiti. Perasaan fikirkan dengan menulis boleh menghasilkan banyak duit sehingga lupakan motif utama. 

Diri saya sendiri, ada beberapa faktor yang membuat saya hampir kehilangan misi saya. Alhamdulillah, sekarang semuanya baik-baik saja. Cuma tak dapat saya ceritakan di sini mengenainya.


2. SEKELILING

Sekeliling bermaksud, dalam persekitaran mana kita berada? Di dalam kelompok yang memberi kita semangat? Di dalam kelompok toksik yang menjatuhkan orang lain? Di dalam kelompok yang membuatkan kita rasa tamak? 

Misalnya kita berada di dalam kelompok yang mempunyai rakan-rakan yang suka menjatuhkan orang lain. Kadangkala walaupun kita merasakan kita hanya mendengar tanpa mengikuti sikap mereka, tetap kita menerima kesan negatifnya. Sebagai contoh, bila rakan kita mengutuk hasil kerja orang lain. Meskipun kita tidak mengikut perbuatannya, tetapi kita mendengar tanpa membantah. Hal-hal ini boleh membuatkan kita mula rasa tidak senang hati dan rasa bersalah. Kadangkala, kita tidak sukakannya tetapi kerana takut kehilangan rakan, kita senyapkan diri. Adakalanya, tanpa berbuat apa-apa, kita merasakan kita sama seperti rakan kita yang tadi sehingga mula salahkan diri sendiri. Dari hal-hal itulah yang boleh menimbulkan rasa negatif seterusnya memberi kesan dalam penulisan. 
Ingat, kita manusia. Kadangkala walaupun kitra rasa kita mampu mengawal diri, kita tetap akan terpengaruh. 

Jadi pilihlah kelompok yang baik. Yang tidak memberi emosi negatif. Hidup ini adalah pilihan. pilihan kita berada di dalam kelompok yang mana. 

3. IRI HATI

Seseorang mempersoalkan pada saya, kenapa mereka yang menulis cerita tak best, tetapi hasil penulisan mereka meletup. Padahal kebanyakkan review mengatakan ceritanya tidak best. Tapi kenapa jualan bukunya melambung? 
Sebelum kita biarkan diri kita tertanya akan soalan ini, apa kata kita cuba fikir mengapa kita boleh terfikir tentang persoalan ini? Dan bila kita mempersoalkannya, apa sebenarnya jawapan yang kita mahu dengar? 

Best atau tidak sesuatu cerita itu, bukan kita yang layak menghakiminya. Kita kena ingat, citarasa manusia tak sama. Contohnya, saya pergi sebuah kedai kopi dan memesan Ice Mocha.  Saya tak boleh habiskan air itu. Kemudian saya ke kedai yang sama dan memesan ice latte. Saya sangat sukakanya. Nampak, di dalam kedai yang sama, tetapi kita boleh sukakan salah satu. Begitulah hal penulisan. Kita sukakan buku penulis yang pertama. Tak semestinya kita akan sukakan yang kedua. 
Situasi seterusnya, saya lihat orang lain memesan Ice Mocha di dalam kedai yang sama. Tiba-tiba kita dengar dia memuji kopi tadi sedangkan bagi kita pujian itu tak sepatutnya tuan kedai dapat. Nampak, apa yang kita tidak gemar, belum tentu orang lain juga tidak gemarkannya. Jadi, jangan persoalkan tentang tahap bestnya sesebuah buku sehingga memaksa orang lain mula merasakan yang mereka tidak patut membacanya. Kadangkala bimbang andai itu titik permulaan kita iri hati. Dan bermula dari iri hati, mungkin kita terdorong melakukan kesalahan lain. Sebagai contohnya, bila kita menghasut seseorang tidak membeli buku itu (Padahal kita belum tahu orang itu akan suka atau tidak suka sesebuah buku), bimbang jika kita menghalang rezeki orang lain. Sedangkan sebagai manusia, kita sepatutnya mendoakan yang baik-baik untuk orang lain. Allah suka orang yang mendoakan orang lain. 
Jadi kita boleh ubah daripada mengatakan buku dia tidak best pada ramai orang kepada kita mendoakan dia mendapat ilham yang baik. 

Tentang isu, ceritanya tidak best tetapi kenapa meletup. Ingatlah rezeki kita Allah yang tentukan. Jangan persoalkan sebaliknya ketika melihat rezeki orang lain melimpah ruah, bergembiralah dan tradah tangan supaya Allah luaskan juga rezeki kita. 


Sebenarnya, banyak point yang kita semakin stres menulis. Saya mungkin akan huraikan dalam post lainnya. sebagai pendapat peribadi, ini antara point yang buat kita tidak teruja untuk menulis lagi,

4. Tergesa-gesa
5. Tidak yakin dengan diri sendiri
6. Cuba menjadi orang lain
7. Kalah dalam melupakan hal-hal pahit
8. Menulis hal-hal yang bertentangan dengan diri - (Hal-hal yang tidak elok)
9. Terlalu bergantung pada manusia 
10. Tidak mampu hadapi penolakan


Point paling saya suka dan sentiasa ingatkan diri adalah: 
KITA LUPA, APA YANG KITA ADA TERMASUK IDEA YANG MUNCUL DI BENAK SEBENARNYA BUKAN MILIK KITA. TIADA APA-APA YANG MILIK KITA KERANA SEMUANYA ADALAH MILIK DIA, YANG MAHA MEMILIKI. MOHONLAH PADA DIA SUPAYA KITA DIBERIKAN IDEA YANG BAIK. 

Jika ada faktor lain yang korang fikir menyebabkan korang tidak seronok menulis, boleh drop komen di bawah. Mungkin kita boleh huraikan di dalam post akan datang. InsyaAllah. 



Share
Tweet
Pin
Share
No comments
SARA MEET ADAM


PAGI-pagi lagi, Sara duduk termenung depan meja kayu kesukaannnya. Pagi itu suasana tak seperti biasa. Sedikit panas dan buat badan lembab dengan peluh yang segan-segan mahu keluar. Rambut panjangnya diikat tinggi. Bahagian leher dikipas. 

Dia mengintai rumah jiran sebelah. Kereta Proton Saga tiada. Yang ada hanyalah sebuah motor uzur. Dia resah. Kalau ada Mak Cik Naura, tak ada la dia akan rasa janggal bila berhadapan dengan bakal penyewa lelaki nanti. 

Lelaki. Hatinya mengeluh dalam diam.
Kalau tidak mengenangkan bil air, cukai pintu dan cukai tanah yang tertunggak, memang dia biar saja rumah itu kosong. Ekonomi zaman ini benar-benar mencantas keharmonian hidup. Orang tak berkeluarga sepertinya pun merasai bahang ekonomi yang merundum, apatah lagi orang yang berkeluarga. Tapi itu la hidup. Ianya akan mengejar dan tugas manusia menempuhinya selagi nyawa tidak terlerai dari badan.

Sara terus menunggu sehinggalah sebuah wolkswegan lama berhenti di depan rumah. Seorang lelaki bertopi merah terang, keluar dari perut kereta itu. Berjalan selamba ke arah pagar rumah. Dalam masa yang sama, mata mereka saling berlaga. 

Dia perasan, langkah lelaki itu terhenti saat mata mereka bertatapan tadi. Lelaki itu tampak terkejut. 

“Tuan rumah?” laung lelaki itu.

Sara bangun menghampiri pagar. Wajah lelaki muda yang berdiri tegak direnung dalam-dalam. 

“Encik…” Sengaja Sara tak menyebut nama bakal si penyewa. Sebagai langkah berjaga kalau di depannya adalah orang lain. 

“Adam.” 

Pagar rumah dibuka. Segaris senyuman dilemparkan.

“Saya tak sangka tuan rumah perempuan muda.”

Kedua-dua kening Sara naik. Tak faham maksud lelaki itu. Kenapa pula keluar perkataan, tak sangka? Setengah hati mula tak sedap. Paranoidnya pada insan bernama lelaki menyerang sedikit.  

“Saya tak ada apa-apa maksud. Selama ni, tuan rumah saya lelaki tua. Ini kali pertama bertuankan perempuan muda. I just… tak tahu macam mana… Ermm…” Lelaki berbaju coklat itu berjeda. Mungkin sedar perubahan wajah Sara. Pelipisnya bergerak-gerak seperti memikirkan sesuatu. 

“Apa orang selalu cakap ya… Hmm… first step? No… No.. No. First impression? Bunyi macam pelik. Sekejap…  cara menyap, lebih kurang macam tu la,” sambungnya seolah bermonolog sendiri. 

Sara senyum nipis sekali lagi. Keterlaluan betul lelaki itu menerangkan keadaan.

“Saya faham.. Masuklah.” 

Lelaki itu melangkah masuk. Sara alihkan sedikit badannya. 

“Jadi… cara saya memulakan perbualan dengan tuan rumah tadi… cara yang betul?” 
Sara sekadar angkat bahu. 

“Saya pun tak tahu. Encik betul-betul nak menyewa di sini?” 

Adam muncungkan bibir. Pandangannya ditebarkan ke sekeliling. 

“Ya. Love grows best in houses. Jadi… itu tempat yang awak nak sewakan, kan?” Adam mendongak memandang tingkat atas rumah. Kedua-dua tangannya diseluk ke dalam kocek.
 
Sejenak, Sara menatap lelaki itu. Mata lelaki itu sedikit menyepet bila terkena panahan matahari. Dalam keadaan lelaki itu mendongak, wajah itu jelas di matanya. Lelaki itu mempunyai kulit separa cerah tanpa sebutir jerawat pun mencacatkan wajahnya. Hidung mancung. Bahagian rahangnya tirus. Kening sedikit keperangan. Kornea mata yang dipanah mentari sedikit kekuningan, macam warna mata kucingnya, Rego. Cuma dia rasa sedikit aneh pada langkah lelaki itu. Kaki dia sakit mungkin. 

“Tenungan awak tu sebagai jawapan kepada soalan saya ke?” 

Sara tersentak. Terus dia menunduk. Bibirnya digigit menahan malu disindir. 

“Ya. Itu rumahnya. Encik nak tengok dulu?” Sara abaikan rasa malu. 

Adam menoleh padanya. Senyuman cantik melengkung pada bibir jantan itu. 

“Tak perlu. Saya yakin dengan keputusan saya. Tentang sewa rumah, deposit, macam mana?”

“Sewa, tiga ratus lima puluh. Untuk deposit, sebulan sewa dan sebulan bil elektrik dan air. Encik okey dengan itu?” 

“Tiga ratus lima puluh?” 

“Ada masalah?” Dia rasa harga yang ditawarkan lebih dari berbaloi.

“Tak! Tak sangka boleh dapat harga macam tu sekarang.” 

Sara diam. Tak memberi komen. Dia tahu pekerjaan lelaki itu. Berapa banyak sangat dapat sebagai seorang pekerja ladang. Dia tahu macam mana rasanya hidup terbeban. Jadi, membebankan orang bukan pilihannya. 

“Bila encik nak masuk?” 

“Tak perlu la encik-encik. Kalau boleh, saya nak masuk hari ni juga.” 

“Hari ni?” Sara tercengang. 

“Tak banyak barang yang saya nak bawa. Kalau awak tak kesah, malam nanti.” 
Selepas menimbang tara, Sara mengangguk. 

“Baik…” 

Sekali lagi mata mereka bertautan. Tiba-tiba saja Adam membuka topi di atas kepalanya, menyerlahkan rambut hitamnya yang kelihatan perang di bawah terik matahari. 

“You need this?”

“No...” Sara terpempan. Topi yang terhulur padanya dipandang hairan. 

Adam ketawa kecil. Tanpa diduga, diselit topi itu di celah tapak tangan Sara. 

“Awak perlukan tu. Dahi awak selalu pedih kalau terlalu panas.” 

Terlepas topi tu dari tangan. Jatuh menghentak lantai bumi. Tiba-tiba saja dunia bagaikan sedang diam. Mata Sara terbelalak. 

‘Macam mana dia tahu?’

Adam melirik penuh makna. Mulutnya sedikit muncung menahan senyuman sinis. 

“Jumpa nanti.” Dengan ayat itu, Adam berlalu. 
Mata Sara bagai diprogram, terus mengekori langkah itu. Sehinggalah dia disedarkan bunyi hon kereta Proton Saga suami Mak Cik Naura.

Share
Tweet
Pin
Share
No comments


Review Novel Khayla daripada Pembaca (Bahagian 1)


Apa kata CAHAYA FITRAH (FB)
- Assalamulaikum kak Sya. Saya dah baca novel kak Sya, Khayla. Memang best. Terbaik Kak. Baca novel Khayla membuatkan air mata adik mengalir. Nak-nak part Khayla meluahkan perasaannya pada luth dan tiga serangkai. Sedih sangat. Adik Rasa lega sangat time baca part tu. Macam adik meluahkan perasaan. Hehehe… Luth pula ada rasa geram dan ada rasa kesian dekat dia ni. Tapi banyak geram dari kesian sebenarnya. Nak aje adek luku-luku kepala dia ni.
Tapi apa-apa pun memang best novel ni. Dah dua kali ulang baca Khayla. Tak pernah rasa jemu bila baca novel tu. Siap berangan lagi jadi Khayla. Novel Kak Sya memang terbaik. Novel Khayla merupakan novel kedua adik baca selepas dalam keterpaksaan. Insya-Allah, dalam masa terdekat adik akan habiskan bacaan novel Kak Sya, Aku Di Sini. Insya-Allah.


APA KATA NOORHAYATI (FB)
-Assalamualaikum ieya. Akak dah baca dah Khayla. Hari ni sampai, esok dah habis baca. Nak beritahu yang Khayla the best, tak boleh nak stop baca. Masuk dalam hati. Baca tu macam kita pula jadi Khayla. Puas hati sangat. Berbaloi penantian. Terima kasih banyak-banyak ieya kerana buat novel Khayla ni.


APA KATA ZACK YUSOFF (FB)
-Done. Khayla karya ke 6 cik Ieya Saya. Ahak, Khayla ni best. Rugi siapa tak beli. Rasa tidak puas dating dengan Khayla dan Luth. Apa pun, tahniah cik penulis. Moga ada buah tangan terbaru dari cik penulis. Tahniah dari saya.

APA KATA WEEDA AHMAD (WA)
-Masuk part Khayla ke Turki, dia dah membuatkan reader teruja and excited untuk teruskan bacaan. Sampai tak boleh letak buku tu sesaat pun sebab nak tahu apa cerita di sebalik kelukaan yang Khayla Hadapi. Mulanya Felicia melayan Khayla dengan baik tetapi akhirnya berubah. Masa ni aku nak maki semua orang termasuk writernya. Sebab semua bencikan Khayla dan beri Khayla tekanan mental. Dan setelah kebenaran terbongkar, sangat sebak. Saat Mila datang ke Turki dan berhadapan dengan Luth, luahkan perasaan, masa ni akak sebak. Serius sebak. Mila membongkarkan satu persatu kisah silam Khayla. Sadis sangat kisah Khayla.
Okey la, tak reti nak cakap apa. Apa pun, Novel Khayla seakan menjampi. Jampi untuk akak baca kisah dia sampai tamat. Well done, Ieya. Ieya berjaya buat akak benci dengan setiap watak yang jahat pada Khayla.

APA KATA TENTANG NOVEL KHAYLA (WA)
-Ieya, akak dah habis baca Khayla. Tak jadi nak serang sebab puas hati sangat-sangat dengan jalan cerita dia. Satu saja nak cakap, Ieya pandai cipta konflik dalam novel-novel Ieya. Setiap kali baca novel Ieya berbeza aje konflik. Yang paling best tak ade konflik melibatkan langau. Bagus-bagus. Lepas ni teruskan menulis novel yang berbeza.

APA KATA SHIROE SHERRY (FB PENULIS)
-Ieya Sya tahukah anda SS bersabar dari masa cover KHAYLA keluar utk meluah perasaan. SS pejam mata time teaser khayla lalu lalang konon2 biaq surprise bila baca nanti. SS bertahan ucap tahniah sebab nak ucap time review ni. Finally selepas mengharungi segala onak duri kekangan masa yg mencemburui gue sepanjang bulan….
Tahniah sebab ada KHAYLA. Best. Ambiklah semua bintang atas langit tu. Tak boleh story lebih2 takut nanti tak surprise utk readers yg lain tapi apa yg ss boleh point out kat sini
SS tak suka abdullah 90%, felicia 50%, Ishak 60%, nuh 10%, tuan ibrahim 5%, luth 80%(time jahiliah dia la)..family khayla 100%…kenapa tak suka? Uollss kena baca sendiri. Apa yg SS paling suka, paling rasa semangat, paling gemilang cemerlang & terbilang time Khayla mengamuk dan dia sembur semua org termasuk pang nuh sedas. kuang ajaq semua manusia atas rumah tu. Elok sangat la duduk serumah depa semua tu. Psiko layan tetamu mcm tu. Abdullah dgn ishak tu…eeeiiii…eeiii…eeeiiii…luth tak payah cakap…arghhhhhhhh tapi lepas reda semua tu okay sikit perasaanku, tapi mai geram dgn luth & khayla. Setuju dengan nuh bila dia ckp both khayla & luth stupido.
Lepas tu ku dah start tersengih sorang2…time depa minum hot choco pagi buta tu sweet sangat. harapan tuan ibrahim turut menjadi harapan gue juga. Nak tgk suatu hari nanti nuh pun bahagia. tersentuh weh…dah rasa mcm ss plak tuan ibrahim tolong guna kuasa anda sebagai penulis utk bahagiakan nuh kat novel lain.


APA KATA ZAMIERA MIERA (FB)
-Tajuk : Khayla Penulis : Ieya Sya Penerbit : Kaseh Aries / 443 ms
Ramai yang cakap novel ni best…. so kita baca lah sebab nak tahu macam mne perjalanan seorang wanita yang bernama khayla,banyak hati yang terluka,gembira,sedih,duka dan lara.
Selepas baca memang betul-betul best,ada aura yang tersendiri Tahniah penulis buat kita rasa berada ditempat khayla,macam- macam rasa ada….
Semasa khayla di turki dia bertemu dengan luth menambah lagi lara dihatinya,luth berdendam dengan dia,ada saja yang dia lakukan pada khayla sampai sanggup memcekit khayla tapi akal nya masa waras,dia nak tgk khayla sensara seperti macam dia rasa 2 tahun lepas.
keperitan yang ditanggung khayla sampai satu tahap perlukan dia hidup diatas muka bumi ni lagi???????
Secara tak sengaja tuan ibrahim beri sesuatu kepada luth dimana rahsia yang khayla simpan hingga mati terbongkar juga dek kecuaian dia sendiri.Dan luth menyesal setelah mengetahui rahsia tu.
Ending dia saya suka terbaik.


APA KATA SHIKIN ZS (FB)
-Tamat my kesayangan LuthKhayla.
Pergorbanan yang dilakukan demi insan tersayang ternyata melukakan hati sendiri. Kekejaman insan satu darah memberi derita tanpa henti. Kerana itu Khayla membawa diri mencari secebis harapan untuk merasa bahagia. Pertemuan Khayla dengan Luth berjaya memberi senyuman pada bibir Khayla. Namun ada rahsia yang disimpan Khayla. Luth dan Khayla berpisah kerana keadaan dan sikap tidak berterus terang. Bila takdir yang diaturkan, mereka bertemu kembali dan luka lama berdarah kembali. Membenci dan menyakiti namun diri sendiri lebih merasai kesakitan itu. Nak tahu kenapa mereka berpisah dan sebab atas segalanya haruslah beli dan baca.
Komen saya…
Luth Khayla memang ditunggu sangat. Untuk pertama kalinya saya menjadi pembela kedua-dua watak utama Luth & Khayla. Penulisan dan olahan Ieya semakin baik dan semakin kemas dari segi plot cerita dan watak dalam novel Khayla ini.
Emosi yang dizahirkan pada dialog dan narrative memberi rasa. Cerita ni banyak bermain emosi membuat yang membaca rasa pelbagai. Cerita ni tiada konflik langau perempuan atau lelaki yang sering dijadikan konflik cerita. Cuma ada teguran part yang saya rasa agak meleret dan macam tarik tali iaitu part selepas kebenaran terbongkar. Kat situ lambat sikit rentak pembacaan menuju epilog. Next novel boleh perbaiki supaya selepas klimaks cerita akan lebih menarik dan tidak meleret. Pengajaran yang disampaikan bagus. Dalam perhubungan kepercayaan dan kejujuran itu penting disamping memberi kemaafan untuk hidup lebih bahagia dan tenang.
Tahniah ieya #SiBudakJariKejam Next QueVena & Nuh. Nuh tu jangan nak buat macam Luth ni ya.


APA KATA ARDZ RIENA (FB)
- well well well rasanya this is the best novel yg adik Ieya Syabuat.. haha sbb ada sampai 3 bab direct ak nanges.
Tak ada belok2 cter ni direct terus.. hurmm betapa kasar dan kejamnya seorg Luth..sehingga betul2 buat Khayla terdiam.. bila sekeliling membenci tp masih bertopengkan kebaikan khayla mula hilang pegangan diri.. kemarahan semakin membuak.. sehingga…
Ketika ini lah Luth sedar tentang sesuatu tentang Khayla…
Wehh si khayla ni pun ishh x balas apa pun yg Luth buat.. geram lak rasa..
Belajar percaya, belajar memaafkan dan yg penting belajar untuk menyintai..
Good luck ieya utk next novel
Tp rasanya belum all out lg ni..


APA KATA LULU F’IEYNA (FB)
-Ollaaa gaiissss…KPG bru abis bca ni… Seyes ckp… KPG bg berbintang2 utk karya ni…sejjurnya kan… KPG agk cerewet skit bab bli nvel ni… Plihan genre pun cmtu gak… Tpi ntah knpa… Lpas terbca pmbkran mak Munie Slumber…mcm ada sesuatu yg mnrik perhtian KPG… So gmble je beli wlupun sblum ni KPG x prnh lagi bca karya beliau… Srry ya pnlis …mula bca bab 1…bacaan BP KPG msih normal lagi… Tpi lpas tu… Bacaan BP KPG smkin naik… Degupan adrenalin trun naik…emosi mcm mak singa yg skit gigi kna ajar ank dia add math…mmg emosi bercmpur aduk… Marah.. Geram… Skit ati… Sedih… Klkar… Sweet… Smua ada dlam setiap scene… xleh nk crta mcm mana… KPG trus hnyut dlam watak KHAYLA yg begitu tbah, sbar, tenang… Tpi dlm wktu yg sma… Tiada siapa tahu pnderitaan…keskitan dan tekanan yg trpksa d tnggung dan hdapi sban hari… Msa ni KPG marahhhh sgt2 dgn LUTH… Dia sgt kejam dlam mmblas dndam ats kelukaan yg di beri KHAYLA… Mmg tahap nak kena penmpar parit kamil agknya si LUTH ni… Tpi kna la dgn apa yg KHAYLA dh buat pda dia sblm ni.. Igtkn LUTH akn begitu smpai ke sudah… Tpi rpanya2… Ya Allah… Bru tau LUTH sbnrnnya bkn begitu… Saat dia mnyakiti KHAYLA (fizikal skit jaa tpi lbih kpda emosi dan mental)… Rpa2nya LUTH lgi sakit emosi dn mentalnya… n bila rhsia sbnr trbongkar knpa KHAYLA trpksa ‘kejam’ dgn LUTH dlu… Trus LUTH berubah… Apa rhsia tu.. Kna bca lam nvel ni tau… Tatamo la spoiler… … Msa ni kan… Maigadddddd …mcm x percya LUTH pnya sweet tu… CAIIRRRRRRR… cair hruf bsar ni tau…Seyes ckp… Smpi skrg KPG msih xleh move on dgn wtak LUTH ni… I is jtuh chenta youuuu… Ahaksss…inilah kali pertma KPG jtuh cnta dgn karya pnlis ni… Beliau berjya membuat emosi KPG tnggang langgang dri mula KHAYLA trjmpa smula dgn LUTH d bumi Turki… Hngga ke titik penamat crta… Mmg xleh brhnti baca… Wtak KHAYLA dgn LUTH sma2 kuat dan ada aura… Skrg KPG kna rileks dlu dri bca nvel2 lain tu sbb aura LUTH sgt kuat melekat dlam igtan… Kna gi yoga dlu nmpknya nak ilangkn aura tu..ok gaiss… Nvel ni sgt recomended…jgn rsau dgn tahap BP korang… Naik skjap je… Tpi lpas tuuu… Nmpk sparkling bnga api d sna sni
Tahniah Penerbitan Kaseh n pnlis Ieya Sha utk karya hebat ini (bg KPG la… Org lain KPG x tau… Lain2 selera kan )
Pssttt… Ieya Sya…KPG suka scene yg kat belon pnas msa Khayla pengsan tu… N opkozz la scene ‘Happy Happy’ tu… Waahhhhhh… Hahaha

APA KATA ROSNI (FB)
-Memang best cerita Khayla ni. Penuh emosi sampai menangis-nangis kita dibuatnya. Begitu juga dengan novel Aku Di Sini. Rugi siapa tak beli.

APA KATA SYARIFAH IFAH (FB)
-Saya dah habis baca. Banyak kali mata saya masuk habuk. Suami cakap tak elok ibu mengandung baca novel sedih. Saya cakap novel tu tak salah tapi penulis tu yang salah. Tapi Khayla memang antara novel terbaik yang saya pernah baca. Semua bintang di langit saya beri untuk Novel Kha


Share
Tweet
Pin
Share
No comments
Teaser Novel Khayla (Teaser 24-28)


TEASER 24
“Apa yang I nampak pada Khayla tadi sama macam I nampak dia, dua tahun yang lalu. Dia tiba-tiba potong rambut. Dia nampak kosong macam tak tahu apa dia nak buat. Dia lost.” Jeda. Ronyok wajah dalam skrin itu seolah menimbang tara untuk terus bercerita atau pun tidak.
“Sesuatu berlaku dalam hidup Khayla, Nuh. Khayla pernah lalui hari yang buruk sampaikan dia… dia hampir bunuh diri. Apa yang terjadi pada hari tu, sama macam apa yang I nampak tadi. Dia potong rambut. Dia bertingkah macam tak ada apa-apa. Akhirnya, I temui dia waktu dia… dia hampir kelar leher sendiri.”
Terpempan Nuh. Mata membulat. Luth juga tak kurang terkejut. Khayla pernah cuba kelar leher sendiri dua tahun lalu? Dua tahun lalu adalah saat mereka berpisah.
“Dia tak sedar Nuh. Khayla dia tak sedar apa yang dia buat. I… Dia depression. Stres melampau. I minta sangat you perhatikan dia. I tak boleh berhenti fikir ni.”
Luth senyap. Dia teringat kembali waktu di dalam van. Waktu Khayla fikir dia sudah minum air sedangkan tidak. Saat roti yang Ishak beri padanya, diberi pada Felicia. Khayla memang nampak tidak sedar waktu tu. Entah apa mendorongnya, dia bingkas bangun.
“Luth!” seru Nuh perlahan.
“Mila, I off sekejap. I tengok Khyala. I janji.” Terus dia meninggalkan tab dan mengejar adiknya. Sampai di depan bilik Khayla, Nuh lihat Luth terkelu. “Khayla tak ada dalam bilik,” beritahu Luth. Dada kedua-dua lelaki itu berdebar. Teringat kembali kata-kata Mila.
“Kita patut cari dia sekarang!”


 ...........................................................................
TEASER 25
“Aku sakitkan hati dia, Nuh. Aku sakitkan hati dia dan kadang-kala aku sakitkan badan dia. Tapi Khayla… dia tak pernah tinggikan suara. Walaupun aku cekik dia… dia macam rela untuk mati.”
“Kau cekik dia?” Terkejut Nuh. Beristighfar dia dalam hati. Kena rasuk syaitan ke apa adik dia ni?
“Aku terlalu marah tapi aku masih sedar waktu tu. Aku tak akan bunuh dia. Waktu tu aku nampak betapa hancurnya dia. Mata dia pandang aku, macam nak beritahu aku sesuatu. Aku tak faham. Sampai dia mengamuk hari dia dapat tahu emaknya meninggal dunia. Dia lain sangat. Itu kali pertama, aku rasa ada sesuatu yang dia sembunyikan. Sebab ego, aku abaikan. Aku tak kesah pasal dia. Tapi akhirnya… dia tak nak sedar dah dalam dunia ni. Aku rasa keadaan dia sekarang macam nak hukum aku. Hukum atas apa? Aku keliru. Aku buntu. Ayat dia waktu tu asyik terngiang-ngaing dekat kepala aku.”
“Ayat apa?” Luth cengkam rambut. Sehingga saat ini, dia masih teringatkan ayat itu.
“Aku terlalu fikirkan perasaan sendiri sampaikan tak nampak perasaan orang lain. Aku rasa, ayat tu ada maksudnya. Khayla macam… dia nak beritahu aku yang… aku juga buat salah. Pelik tapi itu yang aku rasakan.” Ada serak berbunyi saat Luth menarik nafas.
Nuh bingkas menepuk bahu adiknya memberi semangat.
“Kau dah bagitahu Mila?” tanya Luth, cuba mengusir ketegangan diri sendiri. Betul kata abangnya, bila meluahkan baru dia rasa sedikit ringan.
“Aku ingat nak cakap hari ni. Aku tak tahu macam mana penerimaan dia,” keluh Nuh, khuatir. Mereka diam sejenak. Memberi ruang pada diri masing-masing. Mereka juga memejamkan mata. Nuh terkilan dengan dirinya kerana merasakan, dia yang membuat Khayla berada dalam keadaan ini. Kalaulah dia tidaak hantar Khayla ke sini.

 ................................................................................

TEASER 26
“Bila kamu datang pada atuk dulu, atuk orang paling gembira. Tapi atuk benci pada orang yang buat kamu menderita. Waktu tu, atuk gembira bila Ceya sentiasa ada dengan kamu dan beri kamu semangat. Atuk sangat sayangkan Ceya, Luth. Atuk berangan nak jadikan dia sebahagian dari keluarga kita. Atuk fikir Ceya akan jadi ibu yang baik untuk bakal cicit atuk.”
Tiada sesiapa menyampuk. Mereka tahu, masih belum habis patah bicara itu. Tuan Ibrahim melepaskan sentuhannya. Terkial-kial dia bangun lalu menghadap pemandangn luar yang dapat dilihat menerusi ruangan bacaan ini.
“Suatu hari, Nuh tunjukkan video seorang gadis. Lenggoknya seperti nenek kamu berdua. Atuk sukakan dia dari pandangan pertama.”
“Ehem…” Berdeham Nuh.
“Bukan suka macam tu, Nuh. Atuk fikir, gadis ni nampak baik. Atuk sukakan dia. Maksudnya, sukakan dia bagaimana atuk sukakan Ceya.”
Nuh kulum senyuman. Mereka tahu siapa gadis yang dimaksudkan atuknya. Luth masih diam mematung.
“Sampai dia datang ke sini, atuk nampak kamu… Luth dengan dia. Atuk lihat kemarahan kamu. Atuk dapat agak yang dia orangnya. Atuk marah dan benci. Atuk marahkan Nuh juga. Atuk tahu, ini pasti rancangan dia.”
Nuh berdiri lalu menghampiri atuknya. “Sorry atuk.”
“Mata atuk ni, mata tua. Sekali lihat, atuk tahu ada yang tak kena. Waktu di meja makan, atuk tahu Khayla terkilan tapi dia sedaya upaya buat semuanya kelihatan normal. Berpura-pura tak ambil hati. Atuk tertanya-tanya, kenapa perempuan polos macam dia sanggup sakitkan hati Luth kerana duit?” Waktu itu kolam mata Tuan Ibrahim bergenang. Namun, cepat-cepat diseka.
Nuh nampak, namun dia diberi amaran supaya diamkan saja. Selepas mengesat air mata, Tuan Ibrahim melangkah ke arah cucu keduanya.
“Kita bencikan seseorang. Kita marahkan seseorang. Kita terlarut dalam perasaan itu. Manusia kadang-kala terlalu sibuk menguruskan perasaan sendiri sehingga terlepas pandang tentang perasaan orang lain. Mungkin saat kita sakit, musuh kita lebih sakit lagi.”
Luth cuba berkata sesuatu tetapi tidak terzahir.
“Ya. Alasan Khayla lukakan kamu cukup jelas. Dia akui segalanya tapi…” Tuan Ibrahim jeda. Dalam jeda panjang itu, tangan diangkat menutupi kedua-dua telinga cucunya.
“Atuk…”
“Tutup mata kamu.” Luth keliru tetapi dia turutkan.
“Kadang-kadang mata dan telinga ini menipu. Mata hanya melihat yang kasar. Telinga hanya mendengar yang dekat. Saat kamu mencari jawapan, cuba lihat dengan hati dan pandang guna jiwa. Kamu akan dapat jawapannya, Luth.”
Tangan diangkat dari telinga cucunya. Perlahan-lahan Luth celik.
“Apa kamu rasa?” duga Tuan Ibrahim. Luth menggeleng. Matanya mengecil. Saat telinga dan matanya ditutup, dia nampak Khayla dalam gelapnya cahaya. Dia mendengar esak tangis yang cukup meruntun jiwa. Itu membuat dia tiba-tiba rasa pilu.

..........................................................................

TEASER 27
Perasaannya kosong. Dan dalam kekosongan itu, dia ketawa bagaikan orang gila. Tanpa henti dan tanpa mahu berhenti. Mak Cik Jie yang cuba sedarkan dia juga tidak mampu berbuat apa-apa. Khayla hanya ingat, dia menjatuhkan diri atas lantai dalam keadaan mengereng. Dia mengantuk. Dia letih. Dia mahu tidur dan keluar dari cerita ini.

 ...............................................................................

TEASER 28
Bahunya ditepuk lalu Kak Mila bangun meninggalkannya sendirian. Hampir setengah jam dia di dalam bilik itu mengemas segala keperluannnya untuk esok. Tiba-tiba pintu bilik diketuk. Mesti Aunty Laili. Tak pun, Nuh yang semejak dua ni asyik sibuk bekerja walaupun di rumah sendiri. Pintu dibuka. Terlepas tangan dari tombol pintu melihat tubuh yang terpacak. Mata bersabung. Jantung berdegup kencang.
“Luth…”
“Shh…”
Mati senyuman paksa yang Khayla cuba ukirkan. Tak lepas dia merenung wajah serabut Luth. Kumis dan jambang halus meliar di wajah itu membuatkan Luth nampak teruk. Dan mata yang merenungnya itu sembab dan bengkak.
“Saya…” Entahlah apa dia nak cakap. Akhirnya, dia kemam mulut. Hilang suara untuk berbicara pada lelaki ini.
“Why?” Khayla geleng. Tak semena, tangannya disambar. Dia dibawa Luth ke sebuah bilik dipenuhi buku. Hanya sebuah meja dari kayu, gah di tengah-tengah. Bilik bacaan Tuan Ibrahim. Terkesima Khayla saat Luth menutup pintu bilik.
 “Kenapa? Kenapa kau buat macam tu, Khayla?”
Sekembalian Luth dari menutup pintu, Khayla diterjah soalan itu. Agak payah dan kasar nada yang Luth gunakan.
“Just say… kenapa kau buat macam tu?” Khayla sebak. Entah dari mana tercetusnya rasa itu. Mungkin kerana Luth melarikan bebola mata yang cukup jernih. Luth nampak teruk di matanya. Lelaki itu seolah menahan diri daripada mengeluarkan perasaan sebenar. Perasaan hancur.
“Saya tak sedar…” Perlahan Khayla membalas.
“Tak sedar?” Luth tertawa kecil.
“Saya dah okey. Saya masih hidup dan…” Tak sempat dia habis bicara, tubuhnya dirangkul erat. Khayla terdiam. Degupan jantung Luth dapat dirasakan. Dibilang dalam diam. Sekeliling mereka berubah menjadi teramat sunyi. Dalam keadaan itu, dia dapat rasakan tubuh tegap itu mengigil menahan rasa. Apa ini? Tak kan hanya kerana kejadian pil tidur itu, Luth berubah mendadak? Erat tangan yang mencengkam tubuhnya seakan tidak mahu membenarkan dia pergi. Mahu mengunci dirinya selama-lamanya di situ. Luth risaukan diakah sehingga jadi begini?
“Satu minggu… aku tak henti fikir. Siapa antara kita yang bersalah? Aku? Kau? Semakin aku fikir, semakin aku sesak. Aku tak ada jawapan. Kenapa? Kenapa kau jadikan keadaan kita macam ni? Kau tahu betapa menyakitkan perasaan tu? Lebih sakit dari kau buat aku tinggalkan kau. Lagi pedih dari kau hina aku dulu. Rasanya berganda.”
Tubuh Luth ditolak lembut. Pelukan itu terungkai.
“Awak sangat bencikan saya….” Dahi berkerut. “Kenapa lebih sakit kalau saya menghampiri kematian? Bukankah itu yang awak nak? Khayla tak perlu hidup dalam dunia ni lagi?”
Lelaki itu membuang pandangan.
“Ya. Betul. Lebih menyakitkan kalau kau pergi dari dunia ni. Kalau kau mati hari tu, aku tak tahu apa akan jadi pada aku? Entah apa aku akan jadi?” Khayla mencari wajah luka Luth. “Kalau kau pergi selepas aku tahu kebenaran… macam mana aku nak hidup, Khayla?”


Share
Tweet
Pin
Share
No comments
Older Posts

About Me

Ieya Sya
View my complete profile

DEAR...

SEGALA YANG TERTULIS DI DALAM BLOG INI ADALAH TERPELIHARA. DILARANG SAMA SEKALI 'COPY AND PASTE' TANPA KEBENARAN.

Novel Khayla (Keluaran okt. 2019)

BAB1 BAB2 BAB3 BAB4 BAB5 T1-6 T7-11 T12-17 T18-23 T24-28 Review pembaca

HEY LAURA IT'S ME

SINOPSIS NOVEL HEY LAURA IT'S ME B1 B2 B3 B4 B5

AKU DI SINI (KELUARAN OGOS 2018)

SINOPSIS NOVEL AKU DI SINI B1 B2 B3 B4 B5

EPILOG KITA

SIPNOPSIS NOVEL EPILOG KITA B1 B2 B3 B4 B5

HANA DAN AYIE (RITMA JANJI KITA)

B1 B2 B3 B4 B5 B6 B7 B8 B9 B10 B11 B12 B13 B14 B15 B16 B17 B18 B19 B20

BACKUP CINTA

SINOPSIS NOVEL BACKUP CINTA PRO B1 B2 B3 B4 B5

DALAM KETERPAKSAAN

SINOPSIS NOVEL DALAM KETERPAKSAAN B1 B2 B3 B4 B5

pages

  • Home
  • Novel
  • Puisi Version story Suatu Hari Ketika Kita Bertem...

Blog Archive

  • ▼  2022 (1)
    • ▼  August (1)
      • SESUATU YANG MENGHENTIKAN DIRI DARIPADA MENULIS
  • ►  2021 (1)
    • ►  January (1)
  • ►  2020 (11)
    • ►  February (11)
  • ►  2019 (27)
    • ►  November (1)
    • ►  February (26)
  • ►  2018 (27)
    • ►  November (19)
    • ►  October (2)
    • ►  July (6)

Created with by ThemeXpose | Distributed by Blogger Templates