Bab 2 Hana dan Ayie

by - October 18, 2018


BAB 2 (HANA DAN AYIE)
 

Aku dah tolak lamaran dia. Puas hati kau sekarang?!" bentak Liana kasar. Giginya berlaga sesama sendiri menahan rasa sakit hati yang semakin memuncak.

"Baguslah kalau macam tu. Ingat Lia, aku nak kau putuskan hubungan kau dengan dia. Kalau kau masih dengan dia, aku tak teragak-agak untuk hasut papa tarik balik duit yang dia laburkan untuk pembedahan adik kau yang cacat tu!"

Senyuman sinis yang bertenggek di bibir nipis milik perempuan dihadapannya buat Liana mengigit bibirnya kuat. Hatinya sedih terpaksa lukakan hati satu-satunya lelaki kesayangannya. Demi adiknya dia sanggup biarkan Ayie terluka. Bodohkan dia? Dia memang rela jadi bodoh asalkan adiknya menerima wang pembedahan dari ayah tirinya.

"Kenapa kau buat semua ni Fizah? Dari dulu sampai sekarang, kenapa kau asyik nak ganggu hidup aku?!" soal Liana keras.
Sekeras mana pun suara Liana, Fizah tak gentar sebaliknya ketawa besar.

"Tak kan kau tak tahu kenapa? Kau tak ingat Faizal?"

Liana tersentak. Sepotong nama itu buat hatinya sayu. Kerana Faizal, Fizah membenci dirinya. Sampai bilakah kebencian itu akan tetap wujud?

"Sampai bila kau nak benci aku? Dan apa kena mengena dengan Faizal sampai kau suruh aku putuskan hubungan aku dengan Ayie?"

"Kau tak tahu kenapa? Betul kau tak tahu?" Fizah dah tergeleng dengan mata membulat. Sekali tengok macam orang sakit jiwa!

Liana sebak. Rasa hidupnya dikawal tanpa rela oleh Fizah. Wajah cinta hatinya buat jiwanya sayu. Ingin sekali dia menjerit maaf pada Ayie tapi dia tak mampu. Adiknya yang sindrom down tengah menunggu masa untuk dibedah kerana penyakit jantung berlubang. Pada siapa dia nak minta tolong kalau bukan pada bekas ayah tirinya?

Memang ayah tirinya bersetuju tapi masalahnya Fizah! Fizah satu-satunya anak ayah tirinya dan juga meletakkan dia sebagai anak kesayangan pak cik Firdaus. Fizah mengugu, jika dia tak ikut apa yang disuruh, maka dia akan hasut ayahnya supaya tidak membantu Liana. Jadi apa pilihan yang Liana ada selain mengikut telunjuk Fizah?

"Disebabkan kau, lelaki yang aku cinta mati! Kau ingat bila aku tak boleh bersama dengan lelaki yang aku cintai, aku akan biarkan kau hidup dengan lelaki yang kau suka? Langkah mayat aku dulu!" sambung Fizah lagi dengan muka ketat. Bibirnya terjongket naik.

"Tapi semua tu bukan salah aku! Aku tak sengaja!" bela Liana dengan air mata semakin merembes keluar.

"Tak sengaja? Kau dah bunuh dia, kau kata tak sengaja? Dia tunang aku! Tapi disebabkan kau, aku hilang dia! Aku tak akan maafkan kau sampai mati, Liana!" wajah Fizah sendiri keruh saat mengingati bekas tunangnya.

Liana terduduk tanpa kata. Bunyi esakan mula mengisi ruang. Faizal? Sebaris nama itu buat hidupnya terumbang-ambing. Kejadian itu seakan-akan terbayang di matanya.

Waktu itu hujan lebat. Sumpah! Dia tak nampak sesiapa dia atas di jalan raya. Entah datang dari mana satu tubuh tiba-tiba berlari terus ke arah jalan raya. Liana cuba membrek tapi tidak sempat. Tubuh itu sudah bertemu dengan keretanya dan melambung tinggi dan jatuh ke tanah.
Melihat Faizal yang mula basah dengan darah, dia mula menghubungi talian bantuan tapi Faizal menghembuskan nafas terakhirnya di dalam perjalanan. Waktu itu dia rasa betul-betul bersalah. Di hospital, dia semakin terkejut. Sungguh dia tak sangka, Faizal adalah tunang kepada adik tirinya. Mulai saat itu Fizah membencinya.

Dua tahun berlalu tapi Fizah masih tak dapat melupakan kebencian itu. Bagi Fizah, Liana telah buat hidupnya merana!

"Fizah tolonglah. Semua yang terjadi tu bukan salah aku! Faizal yang..."

"Kau nak salahkan Faizal pula sekarang ni?! Dia dah mati dan kau masih nak salahkan dia?!!!" jerit Fizah pantas saat Liana seakan ingin menyalahkan Faizal.

Memang benar semuanya salah Faizal. Faizal yang melintas tergesa-gesa sampai tak pandang kiri kanan. Tapi walaupun dia tahu itu kecuaian Faizal, dia tetap salahkan Liana. Liana tu sebenarnya pembawa sial!

"Aku nak putuskan hubungan kau dengan Ayie!" ujar Fizah tiba-tiba hingga mata Liana terbelalak sendiri.

"Apa kau cakap? Putuskan hubungan? Fizah, apa lagi ni? Aku dah tolak lamaran dia macam kau suruh dan sekarang kau minta aku putuskan hubungan kami. Aku tak akan!" balas Liana sambil mula berdiri. Muka Fizah dihadap.

Tiga kali Ayie melamarnya dan dia menolak. Dua lamaran awal memang dia menolak kerana tak bersedia namun dia saat dia sudah bersedia, dia terpaksa menolak kerana Fizah. Dia tak sanggup kehilangan Ayie. Sungguh tak sanggup. Macam mana kalau ini lamaran terakhir Ayie untuk dirinya?

"Betul kau tak nak? Tak apa. Kau teruskan hubungan kau dengan dia tapi ingat... Nyawa adik kau sebagai pertaruhannya."

"Fizah!!!"

Fizah tersenyum sinis. Tanpa memandang Liana, dia berlalu. Sampai di muka pintu, dia berhenti sekejap.

"Fikir baik-baik. Kalau kau tak ikut cakap aku, ucap takziah pada adik kau. Aku tak teragak-agak nak suruh papa aku tarik balik duit yang dia nak bagi. Aku sanggup bunuh diri asalkan adik kau tu tak dapat duit! Kau rasa papa aku akan keluarkan duit kalau aku nak ugut bunuh diri?" ucap Fizah sebelum keluar dari rumah Liana.

Hatinya puas! Kalau dia kehilangan orang yang dia cintai, Liana perlu kehilangan orang yang dia sayangi! Liana cuma ada dua pilihan. Pilih Ayie ataupun nyawa adiknya yang sindrom tu!
Lutut Liana terasa lemah. Perlahan-lahan kakinya longlai. Muka ditekup pada sofa dan tangisannya dihamburkan sepuas mungkin. Pilihan yang diberi memang susah!

"Ya Allah, tolong la bukakan jalan untukku..." doanya penuh sebak. Wajah kedua-dua orang kesayangan mula terbayang di ruang matanya.

...

Tangan Ayie terasa lemah longlai. Telefon di tangan jatuh terus di atas katil. Rasa sesak mula menyerang pangkal jiwanya. Panggilan telefon daripada Liana tadi betul-betul hampir membuat dia rebah.

Kenapa Lia? Apa salah aku sampai kau sanggup buat aku macam ni?!

Kasar tangannya meraup rambutnya ke belakang dengan rasa sebak yang mula hadir di ruang hatinya. Hatinya rapuh.

"Kita akhiri hubungan kita sampai di sini."
Kata-kata Liana di corong telefon seakan terngiang-ngiang di mindanya. Sungguh! Dia rasa Liana terlalu kejam! Ditolak lamaran pun dia rasa kecewa macam kena hempap kayu balak. Tiba-tiba Liana telefon ingin putuskan hubungan mereka. Kali ni dia rasa macam dibunuh oleh kedua-dua tangan Liana sendiri!

Kenapa Liana nak putuskan hubungan? Sebab lelaki lain? Tapi dia tak pernah langsung nampak Liana dengan lelaki lain. Apa makna hubungan selama lima tahun buat Liana? Sampah?!

"Apa? Jangan cari dia lagi?" ucap Ayie sendiri. Mengajuk cara Liana bercakap dengan dia sebentar tadi.

Hati yang sebak tiba-tiba terasa membara. Liana melampau!

"Fine! Kalau itu yang kau nak, aku bagi! Kau buang aku, kau ingat aku akan melutut lagi dekat kau? Cukup berkali-kali kau tolak lamaran aku. Memang patutnya semua ni ditamatkan!"

Jiwa yang remuk mula diamuk rasa marah. Tanpa kata, Ayie bangun dari birai katil dan melangkah ke almari solek. Wajahnya yang terbias ditenung garang.

"Kau fikir kau saja perempuan dalam dunia ni? Kau buat aku macam sampah! Kau ingat aku akan kejar kau sampai mati! Kali ni jangan harap!" hambur Ayie keras dengan kata-kata ibarat satu sumpahan.

Seketika kemudian dia kembali diam memandang wajahnya. Rasa marah tadi tiba-tiba menyusut hilang dan digantikan dengan rasa sedih dan kecewa yang tak mampu dibendung.

Dia cintakan Liana. Sungguh dia cintakan gadis itu tetapi sanggup Liana permainkan perasaannya. air matanya bertakung di kelopak mata.

Kenapa perlu menangis untuk perempuan tu?! Kenapa perlu dera jiwa demi perempuan tu?!

"Argh!!!" tiba-tiba Ayie menjerit kuat dengan tangan serentak dihala pada muka cermin.

Prang!!!

Tangan dijatuhkan dan saat itu matanya terhala pada cermin yang sudah retak. Sama retak dengan hatinya yang dibalun kemas oleh kekejaman insan bernama Liana. Seperti mana cermin itu retak dan tak boleh dicantum, begitu juga dengan jiwanya. Mulai hari ni, Liana mati untuk dirinya!

Bromm... Brommm.... Brommm...

Ayie tersentak. Tangan yang mula berdarah langsung tak dijeling sebaliknya dia lajukan kakinya ke arah jendela. Langsir diselak dan saat itu dia mengeluh berat.

Hana? Matanya merenung Hana yang sedang duduk di atas motor sambil membuat bunyi bising. Rasanya budak tu nak pergi kedai tapi sebelum pergi kedai sempat lagi buat bising. Bukan Ayie tak tahu, Hana saja buat macam tu sebab nak tarik perhatiannya.

Hidup ni memang tak adil! Perempuan yang disukainya, tinggalkan dia. Perempuan yang tak disukainya pula tergila-gilakan dia. Kan bagus kalau Liana tergila-gilakan dia macam Hana? Tanpa sedar Ayie dah membuka tingkap biliknya.

Tersenyum Hana dibuatnya saat melihat Ayie membuka tingkap bilik. Spontan tangannya terangkat dan dengan senyuman manis dia melambai-lambaikan tangannya. Yes!!! Dia dah berjaya buat Ayie buka tingkap. Memang aktiviti rutin dia buat bising depan rumah semata-mata nak tarik perhatian Ayie.

Mula-mula buka tingkap nanti dia buat Ayie buka pintu hati pula. Melihat Ayie yang diam tak berkutik memandangnya, Hana pantas memberi senyuman paling manis di abad ini sebelum mula berlalu.

Dapat tengok abang Ayie sekejap pun jadi la. Niat di hati nak tengok lama-lama tapi kalau mak dia dapat tangkap dia skodeng anak teruna orang, macam mana? Membebel nanti Puan Azura. Jadi, sebelum kena bebel, baik dia pergi dulu.

Abang Ayie, I Love you!!! Jerit hatinya sambil membawa motosikal. Senyuman tak payah nak cakap. Tertampal di bibir dua puluh empat jam!

Ayie tersenyum sinis memandang Hana yang sudah menghilang. Tangannya yang terasa perit diangkat tinggi.

'Baik Liana! Kau tak nak aku, ingat aku kisah? Aku akan buktikan yang aku boleh hidup tanpa kau!' bisik hatinya bagai telah membuat satu keputusan aneh tiba-tiba.

Tapi apa keputusan yang dia buat tu?

You May Also Like

0 comments