Bab 5 Aku di Sini

by - July 21, 2018


BAB 5



“DAH balik pun anak kesayangan kau tu,” perli Mak Long Rina sambil mencerlung pada langkah selari Ara dan Dollah. Bila kedua-dua tubuh itu menolak pintu kedai, mulutnya sekali lagi terbuka.
“Masuklah. Silakan masuk puteri Ara Elisya.” Tangan Mak long Rina bergerak bebas, mengalu-alukan kedatangan Ara. Kononnya!
Ara dan Dollah saling berpandangan sebelum kedua-duanya menggeleng serentak. Mereka tahu dah. Mesti Mak long Rina sudah bersedia nak menembak dengan mulut tak berkunci dia tu.
Namun, belum sempat disembur oleh Mak Long Rina, Razif terlebih dahulu mendapatkan Ara. Berdiri di depan Ara sebelum bahu gadis itu ditarik ganas dengan sebelah tangannya.
“Hei, apa tarik-tarik anak orang ni?” bentak Dollah terkejut. Laju dia menolak tubuh Razif.
“Kau diam la bodoh! Kau tak ada kena mengena. Ni hal aku dengan dia,” hambur Razif kuat. Sekali lagi dia mahu menarik Ara tetapi digagalkan oleh Dollah.
“Hal kau? Hei, kalau kau sakitkan Ara, kau ingat aku boleh duduk diam? Kau ni…”
“Apa masalah kau sebenarnya, hah?” Belum sempat Dollah menghabiskan ayatnya, Ara mencelah.
“Masalah aku, kau!” jerit Razif seperti dirasuk.
 Ara gigit bibir. Mencerlung, menikam anak mata Razif.
“Razif, Ara sabar dulu. Kita bincang elok-elok.” Rogayah cuba menenangkan keadaan yang sedia panas menjadi lebih panas.
“Sabar apanya mak ngah? Tangan ni patah sebab perempuan ni tau tak?” jerkah Razif kasar.
“Razif!” Lantang Ara menjerit. Turun naik nafasnya bila Razif meninggikan suara pada emaknya. Pantang betul!
“Kau jangan nak tinggikan suara dekat anak aku. Kau kena sedar, kau yang buat dia jadi macam tu!” Mak Long Rina mara dengan sokongan.
Bela sangat anak dia tu. Tak sedar jantan tu kurang ajar gamaknya.
“Mak long diam!” tengking Ara tanpa sedar. Sakit hatinya melihat muka Rogayah berubah biru menahan rasa.
“Kau berani tengking mak aku?” Lengan Ara dicapai Razif. Mencengkam kuat dengan mata yang mula naik merah.
Dollah mara mahu menarik sepupunya tetapi dihalang dengan jelingan Ara. Isyarat bahawa Ara mahu berdepan semua itu sendiri.
“Kau boleh naikkan suara pada mak aku, kau fikir aku tak boleh naikkan suara pada mak kau? Puih!”
“Kau!!!”
Razif tak dapat menahan sabar. Pantas dia menarik Ara ke depan sebelum menolak kuat tubuh gadis itu ke belakang. Ara yang tak bersedia terdorong ke belakang. Saat terdorong secara terundur, dia pusingkan badannya. Alih-alih kepalanya bertemu dengan salah satu rak yang menempatkan bunga. Buat seketika, jarum jam seperti berhenti dari berputar. Pandangannya berpinar-pinar.
“Ara!” Rogayah terpanar sebelum laju mendapatkan anaknya. Matanya membulat besar.
“Dasar Dayus!” tengking Dollah sebelum menghadiahkan satu penumbuk tepat pada wajah Razif. Terduduk lelaki tu dibuatnya.
“Dollah, Kamu jangan melampau!” Terjegil biji mata Mak Long Rina.
“Anak kesayangan mak long tu yang melampau!” lawan Dollah. Hilang terus rasa hormatnya pada kakak emaknya.
“Ara tak apa-apa ke?” soal Rogayah bila Ara tidak mengangkat wajah.
Ara memejamkan mata menahan rasa pedih. Mustahil dia tak apa-apa. Rasa macam baru jatuh dari bangunan KLCC! Dia mengagahkan diri menggerakkan kepala. Sebaik saja wajahnya dipusing, semua terkejut. Terbungkam!
“Ara...” Air mata Rogayah menitis sebaik saja melihat cecair merah yang mengalir dari dahi anak gadisnya.
“Tak guna!” Dollah mendapatkan Ara dengan dengusan keras yang dituju pada Razif. Laju dia menekap dahi Ara dengan kain tudung gadis itu.
“Gayah tak sangka sampai macam ni sekali Razif buat pada Ara. Apa ni kak long? Kak long datang tuduh anak saya, lepas tu anak kak long cederakan Ara.” Rogayah berdiri. Menentang wajah kakak sulungnya. Terpancar kemarahan dari mata itu.
“Dah anak kau salah, terima la balasannya. Apa dia buat dekat Razif lagi teruk. Sampai patah tangan anak long!” Tiada langsung rasa bersalah di wajah Mak Long Rina.
Rogayah menggeleng kesal. Tubuh dijauhkan dari kakaknya sebelum raut wajah anak saudaranya direnung geram. Rasa mengigil setiap kali terbayang darah yang mengalir dari dahi anak tunggalnya.
“Baik kamu bawa mak kamu keluar sebelum aku panggil polis. Keluar. Keluar!” jerit Rogayah sekuat hati.
“Kau halau aku Gayah.” Kecil mata kakak sulungnya.
“Kalau tak nak anak kesayangan akak ni masuk penjara, keluar sekarang. Keluar dari sini.”
Mak Long Rina mengangguk. Wajah dendam terpancar. Bibirnya diketap kuat. Muka Ara dipandang lama sebelum dia menjerit pada anak lelakinya.
“Jom Razif. Kita balik. Jangan buang masa menghadap muka betina-betina tak guna ni!” maki Mak Long Rina sebelum menghilangkan diri bersama Razif.
Hilang saja dua tubuh itu, Dollah mengucap panjang. Rasa malu nak mengaku perempuan tadi adalah mak saudaranya.
“Ara...” Rogayah duduk di tepi anaknya.
“Mak...” Air mata gadis itu menitis.
“Ara tak upah orang rompak Razif.”
“Mak tahu.”
“Ara tak nak kahwin dengan Razif.” Ara menggeleng pedih. Meminta simpati dari emaknya yang selama ini mendesak.
“Jangan fikirkan tu. Jom mak bawa pergi klinik.”
“Ara tak nak kahwin...” rengek Ara penuh simpati.
Dollah di tepi hanya mendiamkan diri. Membiarkan anak beranak itu bersoal jawab.
“Mak pun tak ingin menantu kurang ajar macam tu.” Rogayah tersenyum sedikit.
“Betul ke mak?” Kain tudung yang menutup dahi melurut jatuh. Dia tak salah dengar kan?
“Mak minta maaf sebab desak Ara. Lepas ni, mak akan ikut keputusan Ara. Okey?”
Ara tersenyum. Dollah angkat kening. Berakhirnya episod desak mendesak dalam perkahwinan. Drama sangat paksa-paksa kahwin ni tahu.
“Mak... Dollah...” panggil Ara tiba-tiba.
Dua muka menilik wajah Ara yang tiba-tiba menyeru.
“Ara... Ara... Ara rasa nak pengsan.” Serentak dengan itu kepala gadis itu longlai ke bawah. Nasib disambut pantas oleh Dollah. Terkejut dua makhluk Allah tu.
“Mak ngah, Ara...” Dollah blur.
“Ara apa lagi? Bawa hospital la!”



TANGANNYA kuat mencengkam palang putih yang berada di hujung katil. Jantungnya bergolak seakan tidak mahu dia bernafas tenang. Bagaimana dia mahu menghirup udara dengan tenang seandainya apa yang sedang dilihat ketika ini buat seluruh tubuhnya bergetar hebat?
Mata Ara yang terpejam erat membuat perutnya terasa sebu. Bibirnya terkemam menahan amarah yang muncul setiap kali terbayang gadis itu dicempung ke kereta oleh sepupunya. Ara pengsan. Semua itu disebabkan Razif. Huh! Lelaki tu memang tak serik! Patutnya dia patahkan tengkuk lelaki tu bukannya tangan.
Iyan Naufal ingin melangkah menghampiri sisi Ara. Ingin duduk bersebelahan tubuh itu. Ingin menilik wajah si gadis sepuas hati. Ingin mencari garis kelukaan pada wajah suci Ara tetapi otaknya melarang. Kakinya bagaikan digam. Hanya matanya saja dibenarkan melihat. Tangannya tak bisa mencapai.
“Apa yang patut aku buat Ara?” Iyan tertunduk lemah.
Hanya seketika sebelum dia memandang tajam wajah yang tidak bergerak itu. Anak mata hitamnya yang beku menilik setiap inci wajah Ara. Dari dahi, jatuh pada kelopak mata gadis itu. Kemudian, mata helangnya menjalar ke hidung sebelum melurut pada bibir yang tidak bersuara itu.
Argh! Dia tak patut melihat gadis itu dalam keadaan begini. Hatinya mendidih dan fokus utamanya saat ini semestinya Razif. Lelaki tu mesti bayar balik dengan apa yang dia telah buat pada Ara! Disaat dirinya diserbu rasa marah, telefon bimbitnya bergetar. Iyan tersentak.
Apa kau buat dekat sana? Kau tak patut ada dekat situ dan... Lupakan kalau kau nak apa-apakan sepupu perempuan tu. Leave the past, Iyan Nafual. Leave!
Telefon bimbit digenggam erat dengan mata terpejam. Pesanan itu membakar hatinya. Pesanan itu membuat kepalanya tidak berhenti untuk berfikir. Perasaannya saat ini seakan melihat dua tumbukan dihala padanya. Namun, dia tidak tahu tumbukan mana yang perlu di elak. Sadis!
“Mak...”
Mata Iyan terbuka. Tegang kulit wajahnya melihat gerakkan pada tubuh Ara. Saat gadis itu membuka matanya secara perlahan, saat itu juga Iyan bergerak ke arah katil pesakit sebelah. Wajahnya disembunyikan di sebalik topi.
“Mak...
“Kau dah sedar?” Dollah yang baru tiba, cepat-cepat berlari ke arah katil sepupunya.
Berkerut dahi Ara saat matanya terbuka luas. Kepalanya seakan sedang ditusuk-tusuk benda keras. Dengan tangan di kepala, dia menaikkan tubuhnya untuk bersandar.
“Mata aku terbuka, tak kan tak sedar lagi kut? Soalan kau klise sangat.” Ara mencebik walaupun kerutan masih tidak padam dari dahinya.
Ternaik bibir Dollah. Dengan muka seposen, Dollah duduk di kerusi bersebelahan katil Ara.
“Habis tu, kau nak aku tanya apa? Apa macam rasanya pengsan? Ada macam perjalanan ke alam Barzakh tak?”
“Tu soalan minta lipat tu.” Ara tunjuk siku.
Dollah tersengih. Pengsan atau tak, Ara tetap Ara.
“Dah kau tak nak soalan klise, aku bagi soalan yang mencabar sikit.”
Ara menjelir. Nasib kepala berdenyut kalau tak memang dia berdebat habis-habisan dengan si Dollah ni.
“Mak aku mana?”
“Ada tu. Dia pergi tandas tadi.”
Ara mengangguk. Tak sabar nak peluk Rogayah. Alasannya? Sebab mak dia dah gugurkan paksaan kahwin dengan Razif. Sayang mak dua ratus persen!
“Tiba-tiba senyum kenapa? Tak kan gila lepas terhantuk tadi kut,” seloroh Dollah.
“Mulut kau bela puaka ke, hah? Aku senyum sebab aku tak payah nak kahwin dengan Razif bengap tu dah. Aku rasa ada tuah juga kepala aku terhantuk.” Lega gila hatinya.
Dollah mengeluh. Alahai sepupunya ni. Orang punya risau bila dia pengsan, boleh pula dia bersyukur sebab terhantuk. Berdarah pula tu. Ara oh Ara. Suka hati dia saja nak cakap apa.
Tanpa mereka sedar, Iyan ikut mengeluh. Rasa ingin tampal mulut Ara yang menyebut perkataan ‘tuah’. Nafasnya semput bila melihat luka itu tetapi Ara buat seperti luka itu hanya luka disebabkan gigitan semut. Itu sangat menyakitkan hatinya!
Nafas ditarik sedalam yang mungkin. Walaupun geram tapi ada rasa lega melihat gadis itu sudah mampu tersenyum. Topi ditarik sedikit ke bawah sebelum dia berlalu meninggalkan wad. 
.............

-Ara Elisya-
.........................................

pesanan penulis : Ini raw version yang mungkin ada kesalahan ejaan dan tatabahasa. Untuk mendapatkan novel AKU DI SINI, boleh wassap ke nombor 0174990467
pre order : RM 26 + postage RM 7
enjoy!



You May Also Like

0 comments