Teaser Novel Khayla 7-11

by - February 04, 2020





Teaser Novel Khayla (Teaser 7 - 11)

TEASER 7
Ada dua pintu saling berhadapan. Kepala digaru. Yang mana satu? Perlahan-lahan dia melangkah ke pintu yang terdapat papan tanda kecil bertinta emas. Pada tinta itu tertulis ‘mine’ Baru saja nak ketuk, satu suara menegur.
“What? Cuba untuk goda aku?”
Berpaling saja, dia dihidangkan kelibat Luth yang baru masuk dari balkoni.
“Dah tahu aku kaya, baru nak datang? Okay, jom masuk,” sindir Luth seraya menghampiri Khayla lalu pintu bilik dibuka.
Terlepas keluhan Khayla. Dia telan saja sindiran Luth tanpa membalas. Mungkin itu caranya Luth mahu lampiaskan rasa sakit hatinya.
“Saya ingat ini bilik Tuan Ibrahim.”
“Kau cari bilik atuk?”
“Aunty Laili minta saya kejutkan Tuan Ibrahim.”
“Jadi kau ambil kesempatan untuk ke bilik aku padahal kau patut ke bilik lain?” Jari Luth terarah pada bilik bertentangan dengan biliknya.
“Saya tak tahu yang mana satu bilik Tuan. Saya tersalah bilik.”
“Alasan!”
“Luth…”
“Jangan sebut nama aku!”
Khayla terdiam. Tuduhan Luth tadi menyakiti hatinya dan bentakan Luth buat jiwanya goyah. Kerana tahu jika dia melawan lelaki itu akan semakin berang, Khayla ambil keputusan untuk terus ke bilik Tuan Ibrahim.
“Aku tak suka kalau orang pergi sebelum aku habis bercakap!” Tangan Khayla disambar. Mendadak gadis itu berpaling.
“Bukan ke awak yang selalu pergi sebelum dengar orang lain habis bercakap?” bidas Khayla kerana itu salah satu sikap Luth yang dia tak pernah lupa. Luth yang gemar memotong percakapan orang.
“Jangan pernah kenang siapa aku dulu!” Lengan dalam genggamannya ditarik sehingga Khayla terdorong mendekatinya. Mata Luth membesar, menikam anak mata Khayla. Dada kencang lelaki itu dapat dirasai oleh Khayla. Itu tandanya Luth sedang mengawal marah.
“Kenapa tak boleh?” duga Khayla.
Semakin besar biji mata Luth. Kali ini mata itu seperti dilingkari kilasan api.
“Sebab kau tak layak Khayla. Aku mengaku yang aku memang macam tu tapi kau tak ingat hari itu? Hari itu, aku berdiri depan kau, minta segala penjelasan. Aku cakap pada diri aku, jangan pergi selagi kau tak selesai bercakap. Tapi, kau tak cakap apa-apa melainkan satu perkataan. Kau masih ingat perkataan tu?”
Mustahil dia lupa pada sepotong ayat yang buat dunianya dan Luth terpisah menjadi dua. Kolam mata Khayla bergenang tapi dia tahan dari menjatuhkan air mata walaupun hanya setitis.
“Go away…” sebutnya. Ketawa panas Luth menampar wajahnya.
“Kau berani sebut lagi perkataan tu depan aku!” Luth mencengkam lengan Khayla tanpa simpati sehingga gadis itu menyeringai.
“Sekarang, dengarkan aku,” kata Luth dengan suara yang datangnya dari celah gigi.
“Sakit!” Khayla cuba menarik lengannya tapi tidak berjaya. Rahang Luth bergerak-gerak laju, menakutkan dia.
“Get out from my life, perempuan!”
Seiring lantangan suara itu, Khayla tersungkur ditolak kasar. Secara tak sengaja, pipinya terhentak pada tepi sofa. Air matanya mengalir tanpa sedar. Luth tergamam tapi dia hanya membatu. Dia nampak Khayla menyeringai sambil menyentuh pipinya tapi dia hanya mampu memandang puas.
“You’re gone!” bisik Khayla, dia memaksudkan Luth yang dulu. Lelaki yang dia kenal dahulu sudah hilang digantikan dengan Luth yang baru.
 “You’re the one that made me gone!” hambur Luth yang jelas mendengar bisikan Khayla sebentar tadi. Pintu dibuka dan Luth terus hilang di sebalik pintu, meninggalkan Khayla yang masih kesakitan.

 .........................................................................


TEASER 8
Air mata terus mengalir sedangkan bibirnya galak menghamburkan segala perasaan. Jiwanya sudah hilang suatu ketika dahulu dan dia yakin, hari ini dan hari seterusnya, sebelah hatinya pula akan hilang. Andai kata dia kembali ke Malaysia, dia hanya akan hidup dengan sebelah hati.
“Khayla kuat. Khayla kuat. Khayla kuat. Ya Allah, kuatkanlah hatiku.” Dia hancur sepenuhnya. Dan alasan kali ini adalah, Luth. Luth Razel!

 ............................................................

TEASER 9
Orangnya tegap. Meskipun berjalan mengunakan bantuan tongkat kaki satu, Tuan Ibrahim masih nampak gagah. Wajahnya sedikit bengis tapi Khayla tahu di sebalik kebengisan itu terselindung hati murni. Buktinya, Tuan Ibrahim selalu membantu seperti memberi pekerjaan kepada Abdullah. Menaja pembelajaran Felicia suatu ketika dahulu dan juga memberi tempat tinggal pada Ishak dan ibu saudaranya di tanah asing ini.
“You look different.” Khayla tersentak. Wajah tua yang merenungnya dipandang tanpa lepas.
“Kamu nampak lebih cantik di dalam video berbanding nyata.” Kalau tadi Khayla senyum, kali ini senyuman itu memudar. Dia perasan Ishak dan Abdullah cuba menahan tawa cuma Felicia dan Aunty Laili saja membulatkan mata. Dua wanita itu pasti faham rasa pedih bila dibidas begitu. Lain pula reaksi Luth. Lelaki itu membeku seolah tidak mendengar apa-apa.
“Mungkin Nuh gunakan kamera kualiti tinggi,” balas Khayla, cuba mengelak rasa sumbang. Seketika, Tuan Ibrahim berdehem.
“Macam mana dengan Felicia? Dia lebih cantik di luar atau di dalam kamera?” sampuk Abdullah yang tadinya diam menikmati Puding Karamel yang disediakan oleh Khayla.
“Dia wanita kedua tercantik yang pernah atuk jumpa.” Hati Khayla terasa. Memang betul, jika dibandingkan dia dan Felicia, gadis kacukan itu lebih cantik dan ayu. Tapi entah kenapa, duduk di meja itu buat hatinya terguris. Dia tidak menolak bila Tuan Ibrahim memintanya duduk bersama mereka tadi. Sekarang, dia rasa seperti dibuli. Tiba-tiba Felicia bersuara dalam bahasa Turki. Khayla tak memahami tapi dari air muka Felicia, dia yakin gadis itu seperti tidak senang dengan kata-kata Tuan Ibrahim dan Abdullah. Dan untuk membalas kata-kata Felicia, Tuan Ibrahim juga menggunakan bahasa asing.
“Apa yang kamu semua bincangkan? Saya tidak mengerti bahasa Turki.” Ishak angkat tangan dengan muka tak puas hati. “Nothing, Ishak. Kami cuma bercakap pasal Tuan Ibrahim yang minta Abdullah hantar dia ke Göreme. I tak bagi sebab Tuan sepatutnya lebihkan rehat. Blood pressure dia semalam tak normal,” terang Felicia. Sesekali mengerling Khayla.
Mereka menipu. Khayla sedar itu tapi dia lebih senang buat seperti dia tidak mempedulikan semua itu. Dia bukan bodoh untuk faham, yang mereka sedang bercakap tentang dirinya. Dan dia bukannya manusia super yang tidak akan berkecil hati dengan perbuatan mereka.
“Menipu tak sesuai dengan awak Felicia,” celah Luth tak semena.
Semua mata memandangnya tapi dia hanya selamba menguyah buah-buahan. Khayla paling lama memandang Luth tapi tidak ada sedetik pun lelaki itu membalas pandangannya.
“Berapa lama kamu akan tinggal di sini?” tanya Tuan Ibrahim selepas segala kekecohan disebabkan dia tadi reda.
“Ikut kata Nuh, empat bulan.” Tuan Ibrahim mencebik sebelum menaikkan kedua-dua keningnya. Tersiat hati melihat riak itu. Sedaya upaya, dia cuba senyum sedangkan hatinya menangis parah. Hari itu, Khayla rasa seperti dia tidak dialu-alukan lagi di situ.
“Tapi saya di sini hanya untuk satu bulan. Saya dah maklumkan pada Nuh. Saya cuma di sini sementara Nuh jumpa pembantu yang sesuai,” terang Khayla berselit penipuan. Dia masih tidak memberi tahu tentang itu pada Nuh tapi dia pasti akan beritahu. Lagipun, Nuh sudah berjanji, sekiranya dia tak selesa di sini, dia boleh pulang ke sana selepas satu bulan. Nampaknya, dia memang tidak sesuai bersama mereka.
“Bagus la macam tu. Pendek jawapan Tuan Ibrahim tapi cukup mampu melukakan sekeping hati Khayla.
Tanpa alasan, dia diperlakukan begitu. Sakit dan pedih tapi dia cuba bertahan. Ikutkan hati, sekarang juga dia tempah tiket ke Malaysia tetapi dia tak akan buat begitu. Di sini atau di sana, sama saja. Satu persatu wajah di situ diperhatikan. Mereka semua sudah kembali berbual sesama sendiri dan juga menikmati minuman petang. Perlahan-lahan Khayla menolak kerusinya ke belakang. Perlahan-lahan juga dia bangun tanpa dihalang oleh sesiapa dan tanpa ditanya oleh sesiapa.

.....................................................................

TEASER 10
“KAU nampak semuanya, kan?” Berpusing saja, dia nampak Luth bertenggek tepi kabinet dapur. Khayla abaikan dan terus membasuh pinggannya. “Atuk tak selesa dengan kau. Mungkin dia tersalah menilai saat melihat gambar kau. Selalunya, kalau atuk suka seseorang itu dia akan bersikap ramah. Tapi kalau dia tak suka… macam tadilah. Dia akan jadi sinikal. Sekarang kau faham, apa maksud aku?”
“Saya tak bodoh untuk faham.” Khayla berpaling.
“Kalau kau faham, kenapa kau tak kemas baju-baju kau sekarang?”
“Sebab saya tak boleh. Nuh dah bayar chef dari luar untuk gantikan posisi saya di restoran Kak Mila. Kalau saya balik ke sana, Nuh akan rugi.”
“Itu cuma alasan!” Bibir digigit. Luth bijak menilai. Ya, itu hanya alasan.
“Kenapa semua orang tak sukakan saya, Luth?” Khayla menapak hingga kedudukan mereka bertentangan. Lirih suaranya seakan merayu Luth memberikan dia jawapan sepatutnya.
Tiba-tiba lelaki itu ketawa. Kemudian, lelaki itu menggeleng seolah pertanyaannya kelakar.
“Jangan cuba melawak, Khayla. Itu tak kelakar.” Terus Luth berlalu ke singki, membasuh tangannya walaupun dia tidak menggunakan tangan pun untuk makan tadi.
“Itu kelakar buat awak?” Khayla tahan bila Luth mahu kembali ke ruang tamu.
“Ya. Sangat!” Tegas Luth. Dalam masa yang sama, dia gerakkan kepalanya sebagai isyarat Khayla ke tepi.
“Awak tahu, kadang-kala sesuatu yang awak anggap kelakar sebenarnya satu yang serius pada orang lain. Dan mungkin saja, ‘sesuatu’ itu akan mengubah hidup seseorang,” selar Khayla seraya bergerak ke tepi.
Luth menjeling tidak peduli. Saat dia melintasi Khayla, sekali lagi bibir itu bersuara.
“Awak puas hati selepas sakiti saya?”
Luth berpaling.
“Awak puas hati bila tengok saya jatuh pagi tadi? Awak puas ke, Luth?”
Terketap gigi Luth. Bingkas dia mencerlung pada wanita itu.
“Kenapa kau bercakap bagaikan kau mangsa?” Luth mendekat. “Tapi sebenarnya, aku yang mangsa. Kau yang sakitkan aku terlebih dahulu, Khayla. Kau buat aku macam aku ni lelaki tak guna. Kau pergunakan aku bila kau kesunyian dan bila kau sedar, aku tak boleh pulihkan kesunyian kau tu… kau singkirkan aku macam aku ni kain buruk. Kau suruh aku berambus Khayla. Aku dah berambus macam kau nak. Sekarang, kau patut bersyukur sebab aku tak halau macam mana yang kau buat pada aku dulu. Keep it on your mind!” Ditujah kepala gadis itu hingga terteleng ke tepi.
Tidak ada setitis air mata Khayla pun yang jatuh. Dia menerima dengan tenang. Tanpa sesiapa tahu, apa yang Luth tuturkan membuat secebis hatinya mula mati.
 “Saya selalu ingat, Luth.”
“Kau tak ingat semua tu. Disebabkan kau tak ingat, kau berani persoalkan tindakan aku pada kau. Kalau kau ingat, kau akan menyesal atau mungkin kau akan minta maaf. Sayangnya, kau tak pernah minta maaf dan buat seolah semua itu bukan salah kau. Senang kan jadi kau? Tunding jari pada orang lain dan semuanya selesai. Tak guna!”
Terpejam mata Khayla bila perkataan akhir yang Luth lantangkan menusuk kemas tepat pada jantung. Bila dia buka mata, lelaki itu sudah menghilangkan diri.
“Itu ke sebabnya kenapa awak kejar saya hingga ke sini? Untuk sakitkan hati saya?” Khayla tersandar pada kabinet sambil mengenang kisah semalam yang buat Luth membenci dirinya. Andai saja dia mampu menceritakan sebuah kisah. Sayangnya, dia tak mampu.


.................................................................
TEASER 11
 “Kamu tahu maksudnya bila mencintai seseorang?”
Tersentak Khayla.
“Cinta itu adalah diri sendiri. Sebelum mencintai, kamu patut mencintai diri sendiri. Dengan itu, barulah hati kamu akan dipenuhi cinta. Kemudian, baru kamu boleh membahagikan cinta kamu pada orang-orang yang kamu mahukan.”
Diam.
“Orang kejam wujud disebabkan mereka tidak mencintai diri sendiri. Bila tiada cinta di hati, mereka tak akan dapat memberi cinta itu pada orang yang mereka mahukan walaupun terlalu ingin untuk dicintai. Akhirnya, sekuat apa pun mereka cuba kerahkan rasa cinta, mereka akan mengkhianati di akhirnya.”
Kedudukannya jauh dari Tuan Ibrahim kerana tidak mahu lelaki tua itu rasa tidak selesa. Namun, dia mula mendekati kerana tutur kata Tuan Ibrahim menarik perhatiannya.
“Macam mana kalau kita memberi hati kita pada seseorang tapi akhirnya orang itu meninggalkan kita?” duga Khayla.
Tuan Ibrahim bergerak mengambil tempat duduk pada kerusi batu yang tersedia di laman itu. Senyuman tergaris di bibir.
“Cinta akan pergi dan sebahagian diri kita juga akan pergi.”
“Sebahagian diri tuan hilang bila Puan Nara…” Khayla jeda kerana tak sanggup lanjutkan perkataan ‘meninggal. Tapi dia tahu, Tuan Ibrahim pasti faham maksudnya.
“Ya, sebahagian diri saya hilang.”
“Jadi apa yang tinggal?”
“Cinta saya pada yang lain. Walaupun saya kehilangan sebahagian cinta, saya masih perlu teruskan hidup kerana masih ada yang saya cintai.”
Khayla duduk di sebelah Tuan Ibrahim tanpa dipelawa. Dia juga memandang langit kelam.
“Siapa yang tuan cinta?” duganya.
“Nuh, Luth, Felicia, Abdullah, Ishak, Laili… Saya hidup kerana kasih sayang mereka menghidupkan saya dan saya mencintai mereka semua.”
Dan dia tak termasuk dalam senarai itu. Pastilah, kerana dia hanya pendatang baru yang tidak akan memberi kesan pada hati sesiapa.
“Kata Ishak, tak ada undang-undang dalam rumah ni. Semua bebas bersuara. Semua bebas bertanya. Tapi saya tahu, saya perlu sedar diri di mana tempat saya. Walaupun diberi kebebasan, saya perlu berhati-hati dalam pertuturan.”
“Jadi?” Pendek balasan Tuan Ibrahim.
“Saya mahu ikut kata Ishak, bertanya bila mahu bertanya. Apa yang Felicia katakan pada Tuan di meja makan tengah hari tadi?”
Terpaling wajah Tuan Ibrahim pada gadis yang wajahnya sering kelihatan mendung.
“Felicia nasihat saya supaya jangan membandingkan-bandingkan orang. Semua orang ada keunikan tersendiri kerana itu, perbandingan antara manusia tak dipatut dilakukan dalam dunia ni.”
Tersenyum Khayla. “Felicia gadis yang baik.”
“Sebab tu saya mahu dia menjadi cucu menantu saya.”
Pap! Khayla rasa seperti ditampar. Tak berkerdip dia memandang Tuan Ibrahim.
“Kenapa? Kamu fikir saya hanya mahukan menantu dari keluarga besar atau yang sama taraf? Taraf itu dibuat oleh manusia bukannya Allah. Allah melihat kita semua sama sahaja.”
Mata dipejamkan. Kata-kata Tuan Ibrahim terserap dalam minda. Selalunya dia memberi kata-kata hikmat begitu pada Sonia, sekarang dia pula yang mendengar.
 “Kalau tuan tak bezakan taraf seseorang, kenapa tuan bezakan pandangan tuan pada orang lain sebelum berusaha untuk mengenali diri mereka?” “Apa maksud kamu?”
“Tuan bencikan saya. Tuan benci sebab saya tak seperti yang tuan lihat dalam video yang ditunjukkan oleh Nuh. Tuan jatuhkan hukuman pada saya dan buat saya nampak kerdil pada mata orang lain.” Dia hanya mahu tahu bukannya dia lancang bertanya. Dari bicara Tuan Ibrahim, Khayla simpulkan bahawa lelaki berkumis itu bukan seseorang yang mudah menilai orang lain. Tapi kenapa mudah sekali dia dinilai?
“Saya tak bencikan kamu.” Mata mereka bersabung. “Saya cuma tak suka pada orang yang tak disukai oleh orang yang saya cintai. Seseorang yang buat orang yang saya cintai sakit hati dan hampir hilang nikmat hidup.”
Berkerut pelipis Khayla. “Siapa?”
“Luth!” Terpempan Khayla dibuatnya. Kering tekaknya.
“Luth bukan orang yang mudah membenci orang. Tapi, dia bencikan kamu. Apa yang kamu dah lakukan pada dia, Khayla?”
Air mata Khayla menitis tanpa sedar.
“Saya nampak kamu dan Luth di depan pintu bilik Luth pagi tadi. Saya nampak cucu saya tolak kamu hingga tercedera. Saya tahu, salah menyakiti seorang perempuan tapi… Luth bukan seseorang yang mudah mencederakan orang lain melainkan seseorang itu yang buat dia hilang segala pedoman. Berapa lama kamu kenal Luth?”
Setitis lagi air mata Khayla menitis. Tapi terselindung dari pandangan lelaki tua itu.
“Mungkin Tuan patut tanya Luth sendiri.”
“Kamu tak menjawab bermakna kamu tak kesah jika saya tidak sukakan kamu.”
Khayla berdiri lalu menapak ke depan, seolah-olah dia sedang menapak untuk menghampiri langit.
“Sangat gelap di atas sana.”
Tuan Ibrahim hanya memerhati tindak-tanduk gadis itu. Tubuh belakang itu tampak sunyi dan sepi. Dari hadapan, dia rasakan gadis itu sedang menyorokan sesuatu dari pandangan mata orang lain. Tapi apa?
“Perasaan tak disukai seseorang itu sama seperti kegelapan di atas sana. Bila seseorang tidak sukakan kita, itu akan memberi impak pada hati. Semakin ramai yang tidak sukakan diri kita, semakin bertambah kepingan hati yang gelap.”
“Apa yang kamu cuba sampaikan?” Khayla lap air mata. Dia berpaling bersama senyuman yang cuba diceriakan tapi yang terhasil hanya senyuman pahit.
“Tak apa jika tuan tak sukakan saya, cuma izinkan saya tinggal di sini selama satu bulan. Selepas satu bulan, saya akan pergi dan menghilang dari hidup orang yang tuan cintai.Janji Khayla.
Hairan Tuan Ibrahim tapi dia mengangguk juga, berpegang pada janji gadis itu.
“You weird.” Khayla renung kaki sendiri. ‘Orang di dalam dunia ini yang mengubah saya jadi begini Tuan.’ Mahu dilontarkan ayat itu tapi suaranya tidak terkeluar. Dia hanya mampu menyambung kata-katanya dan itu pun tidak mampu terkeluar dari bibirnya. ‘Dan tuan juga mungkin menjadi salah satunya.

You May Also Like

0 comments