BAB 1 EPILOG KITA

by - February 12, 2019

BAB 1


Ryan duduk berteluku di depan pusara yang mula ditumbuhi rumput-rumput halus. Galak tangannya mencabut rumput-rumput yang tumbuh melata dengan hati sebak. Senyuman seorang gadis riang terbayang di ruang mata.
‘Saya datang Riana. Awak macam mana? Maafkan saya sebab tak jaga awak elok-elok. Saya tahu maaf saya mungkin belum cukup untuk awak tapi percayalah, saya sanggup buat apa saja asalkan awak maafkan saya.’ pedih hatinya berbisik.
Tangan yang berselaput tanah, digenggam kuat. Gigi diketap sebalik bibir. Menahan air mata yang hampir menitis bila-bila masa. Enam tahun berlalu namun hatinya setiasa terikat dengan rasa bersalah pada gadis itu. Kalau bukan kerana dia, gadis itu mungkin masih hidup untuk menghirup udara di muka bumi ini.
Kenapalah dia ditemukan dengan Riana? Kalau begini pengakhirannya, dia rela tak bertemu dengan insan bernama Riana. Pertemuan mereka hanya disulami penderitaan. Hanya memberi kesakitan dan kini walaupun enam tahun berlalu, rasa sakit itu seperti baru dirasakan semalam.
Sayup-sayup kedengaran alunan surah Yasin di cuping telinganya. Alunan merdu itu membuatkan Ryan mengangkat muka. Matanya menangkap satu susuk tubuh yang leka mengalunkan ayat itu. Sungguh hatinya disapa ketenangan. Ingin diintai pemilik suara itu namun gagal. Gadis bertudung hitam itu membelakanginya.
“Ryan..”
Ryan tersedar. Mata hitam miliknya dijulingkan ke atas. Entah mengapa, hatinya terus diselaputi rasa sebak.
“Sampai bila Ryan nak macam ni? Riana dah lama tiada Ryan.”
Ryan bangun saat kata-kata itu seakan cuba menyedarkan dia akan hakikat yang terbentang luas di depannya. Tanpa kata, tangan tua milik lelaki separuh abad itu diraih.
“Ryan minta maaf pak cik. Ryan betul-betul minta maaf. Ryan gagal jaga Riana. Riana menderita kerana Ryan. Riana mati kerana Ryan.”
“Semua ni bukan salah Ryan. Semua ni kehendak Ilahi. Sudah la tu. Ryan perlu teruskan kehidupan. Apa yang pergi, biarkan pergi dengan tenang.” pujuk Pak cik Zubir. Bahu sasa milik lelaki berumur dua puluh sembilan tahun itu disentuh.
Enam tahun berlalu, tapi sikap Ryan seperti baru semalam Riana pergi meninggalkan mereka. Walaupun hati tuanya sedih atas kepergiaan anak gadisnya, namun ada rasa bangga kerana lelaki yang dipilih adalah seorang yang baik. Pasti arwah anaknya bahagia saat dicintai lelaki ini. Namun, siapa kita ingin mengubah takdir yang dicorakkan oleh-Nya. Sesungguhnya, ajal dan maut itu adalah ketentuan yang tak mampu diubah.
“Tak pak cik! Selagi orang yang bertanggungjawab atas kematian Riana tak merasa penderitaan yang arwah rasa, Ryan tak kan berhenti. Ryan janji dengan pak cik yang Ryan akan pastikan dia menderita seperti arwah Riana!”
Muka tekad dan penuh kebencian milik Ryan buat Pak cik Zubir hampir saja mengeluh. Itu la janji yang selalu Ryan lafazkan padanya. Rasa bersalah pada arwah Riana, menjadikan Ryan seorang lelaki yang tekad.
Sejujurnya dia tak mahu Ryan berdendam. Dia sudah menerima kepergian Riana dengan hati terbuka. Siapa dia ingin melawan takdir yang setiada ada hikmahnya? Namun dia juga yakin dia tak kan mampu melumpuhkan rasa dendam di hati anak muda itu.
“Sampai bila Ryan nak berdendam. Ryan cukuplah tu. Jangan seksa lagi hati Ryan. Ryan perlu teruskan hidup Ryan.” lembut suara pak cik Zubir menasihati.
Namun gelengan yang dia dapat sebagai balasan. Wajah yang keruh tadi bertukar menjadi bengis. Melihat gelagat Ryan, dia tahu lelaki itu tak akan berhenti.
Ryan mendengus kasar. Sampai nafas terakhirnya dihembus pun, dia tak akan lupa kesakitan yang menyala di dalam hatinya. Orang yang memberi dia penderitaan dan kesakitan ini perlu membayar semuanya. Dia akan buatkan orang yang bertanggugjawab itu hidup penuh kesedihan.


Cermin tingkap diturunkan. Sepasang mata tajam memerhati susuk tubuh Ryan dan seorang lelaki yang sedang berbual tentang sesuatu. Matanya dipincingkan ke arah wajah pemuda itu. Jelas dimatanya wajah itu bertukar menjadi bengis.
Tiba-tiba dadanya terasa sesak. Pantas tangan diangkat dan dilekapkan ke dada.
“Datuk tak apa-apa ke?” suara dari si pemandu membuatkan dia tersedar.
Perlahan-lahan Datuk Fatimah menarik nafasnya supaya rasa pedih yang sedang mencucuk-cucuk jantungnya, menghilang.
“Datuk tak sihat ni. Saya bawa Datuk ke hospital ya.” suara penuh kebimbangan dari sang pemandu buat Datuk Fatimah menghela nafas pendek.
“Saya tak apa-apa. Kita balik sekarang.”
Sejurus arahan keluar dari bibirnya, cermin kereta dinaikkan kembali. Sempat dia menjeling wajah Ryan yang tampak seperti marah. Hatinya terasa lemah tiba-tiba. Sampai bila nak? Sampai bila? Mungkinkah sampai dia memejam mata dan berlalu dari dunia yang hanya bersifat sementara ini?
“Maafkan nenek Ryan. Maafkan nenek.” hanya itu yang mampu hatinya luah sebelum dia memejam mata dan mulai bersandar.
Jiwanya terasa luluh melihat sikap cucunya sendiri. Hatinya terasa bagaikan dilumat-lumat saat memikirkan kebencian yang tak pernah surut dalam sepasang mata cucu kesayangannya. Tubuh tuanya seakan tak mampu menampung lagi kebencian dan kemarahan dari satu-satunya pewarisnya.
‘Andai saja kau masih ada, Riana...’ bisik hatinya pilu.
Buat kesekian kalinya wajah tuanya berkerut menahan kesakitan dalamannya. Kini semuanya sudah tercatat. Pintu kemaafan untuknya sudah tertutup rapat dalam hati seorang lelaki bernama Ryan.

P/S : Ini adalah versi Raw. 

You May Also Like

0 comments