BAB 20 Hana dan Ayie

by - November 02, 2018



Tali berwarna merah di dalam genggamannya disentuh lembut. Tali leher yang terbiar selama setahundalam almarinya. Tali leher yang dibeli khas pada Ayie setahun lalu, semasa hari lahir lelaki itu. Malangnya lelaki itu memulangkan kembali seakan tak sudi menerima pemberiannya.

Merah, warna yang dia rasa paling sesuai untuk Ayie. Setelah setahun, tali leher bercorak jalur itu dikeluarkan dari almarinya. Jika sudah buat keputusan untuk melupakan dan melepaskan semuanya, maknanya benda-benda yang ada kaitan dengan masa silam pun patut dibuang. Supaya kisah silam itu tak memburunya lagi.

"Sayang betul la. Bukannya murah tali leher ni. Kalau dijual balik, laku tak?" desis hati Hana perlahan.

Dia bangun keluar dari bilik bersama tali leher melenggok-lenggok di tangannya. Keluar saja dari bilik, kakinya terhenti.

Ayie?

Pantas dia berlari ke arah tangga untuk turun.

"Apa abang Ayie buat dekat sini?" Mata Hana membulat.

"Acik Hana..."

Sekelip mata saja terasa kakinya dipeluk. Mata terhala pada budak kecil dibelakang Ayie yang meluru ke arahnya. Spontan dia tersenyum.

"Zara... bila Zara datang ni?" Hana melutut dan tangannya mula mengusap rambut Zara yang dibiarkan lepas.

"Rindu acik Hana."

"Acik Hana pun rindu juga." ubun-ubun Zara dicium.

"Ayie pun..."

Dua pasang mata serentak berpaling pada Ayie yang tersengih-sengih. Berkerut dahi Hana melihat Ayie yang terliuk macam sotong kurita. Apa hal?

"Uncle Ayie cakap apa tadi? Uncle Ayie pun rindu acik Hana ke?" petah suara kecil itu menyoal.

Bila Ayie dengan muka tak malu mengangguk, Hana rasa nak je dia sula biji mata lelaki tu.

"Bila sampai ni, Zara?" Hana ubah topik.

"Baru tadi. Datang dengan papa."

"Papa Zara yang kacak tu, eh? Kenapa tak ajak papa datang sekali?"

Papa kacak? Memang maut jelingan Ayie kali ni. Bukan main puji abang dia yang duda tu. Kan orang cakap, duda hot gitu. Hesy, tak boleh jadi!

"Zara ajak tadi, papa pun nak datang tapi uncle Ayie tak bagi. Dia marah-marah papa." jujur Zara sambil menjeling Ayie. Kuku besi!
Bam!!! Ayie dah rasa kena ketuk sepuluh kali dengan mertun. Kenapa la budak kecil ni jujur sangat?

"Uncle jahat tau Acik Hana. Dia tolak-tolak papa, tak bagi papa datang sekali." Semakin suka Zara bercerita.

Laju biji mata Hana terhala pada Ayie namun Ayie ambil langkah selamat. Dia julingkan mata ke atas seolah-olah tak mendengar. Hesy! Dia ni dah kenapa?

"Betul ke apa yang Zara cakap? Kenapa tak bagi abang Mizal datang? Hana dah lama tak jumpa dengan abang Mizal tau." Hana berdiri menghadap Ayie. Zara ditarik ke sisi.

Amboi, kecewa ke Mizal tak datang? Ayie berdesis geram. Kalau Mizal datang memang wajib hana tak layan dia. Dulu masa Hana cinta mati dekat dia, Suara Mizal pun dia buat-buat tak dengar sebabnya? Sebab dia akan asyik melihat Ayie. Tapi kalau sekarang, mungkin dia pula yang bakal jadi orang yang tak dipedulikan.

"Hana percayalah cakap Zara tu. Budak kecil cakap pun nak percaya," dalih Ayie.

Kecil-besar-kecil-besar je Hana pandang wajah Ayie yang nampak teragak-agak. Comel. Hana, tolong ketuk kepala kau supaya jangan tergoda dengan wajah comel mamat tu!

"Budak kecil selalunya tak akan menipu. Budak besar yang selalunya menipu macam..." Hana tak menghabiskan ayatnya sebaliknya jari telunjuk dihala pada Ayie.

Besar biji mata Ayie jadinya. Mula la mulutnya terjongket naik ke atas.

Tapi...

"Tu..." mulut Ayie dah memuncung ke arah tali leher ditangan Hana. Langkahnya dibawa terus ke depan Hana.

Menyedari Ayie melihat tali leher di tangannya, pantas Hana menyembunyikan dibelakangnya.
"Itu tali leher yang Hana bagi dekat abang

setahun lepas kan? Hana masih simpan?" Memang muka Ayie nampak terkejut habis.
Hana menunduk. Kantoi!

Ayie mengeluh perlahan. Perasaannya terhenyak. Kali ini baru dia sedar yang hana memang betul-betul cintakan dirinya. Rasa bersalah mula menyerang benaknya. Tali leher bewarna merah yang pernah dipulangkan kembali pada Hana buat dia rasa menyesal dan bodoh!

"Bagi abang..." Tangan dihulurkan.

"Nak buat apa? Hana nak buang la!"

"Buang???"

"Jangan jerit la uncle. Tak malu ke? Ni rumah orang!" Zara yang diam mula membahasakan bapa saudaranya sendiri.

Hampir tergelak Hana dengan nasihat dari Zara. Ambil kau! Budak kecil pandai berfikir, kau besar gajah otak kecil.

Mencerlung biji mata Ayie. Hailah... Nasib badan ada anak saudara yang bijak cakap macam ni. Kena daftar ambil kelas undang-undang awal untuk budak seorang ni. Melihat Hana yangmenahan ketawa, Ayie bingkas menyambar tali leher dalam genggaman Hana.

"Tali leher cantik macam ni, nak buang pula." Ayie mula merungut kecil.

Cantik? Setahun lepas bukan Ayie suruh dia buang ke? Lelaki tu amnesia agaknya. Orang nyanyuk jangan dilayan.

"Suka hati Hana la. Hana yang beli! Bagi balik!" tangan diunjuk.

"Tak nak." Ayie sengaja tayang muncung.
Ingat cantik muncung kau?

"Bagi la uncle. Berdosa tau ambil barang orang." Zara menyampuk.

Zara. Boleh tak diam sekejap? Biar pak cikmu ni selesaikan masalah dengan acik han mu? Sibuk betul nak nasihatkan orang.

"Ambil barang orang nanti masuk api neraka," sambung Zara lagi.

"See? Budak kecil pun tahu dosa. Tahu adab. Bagi balik benda tu!" Hana cuba merampas tapi gagal dek tangan Ayie yang tangkas.

"Ada hati nak rampas konon. Tak da.. Tak da... Ni abang punya kan? Hana yang bagi tahun lepas."

Dia ni kan, memang nak kena sekeh kepala baru ingat kut. Dulu menolak sekarang mengaku hak. Banyak kacak!

"Sejak bila pula jadi hak abang Ayie? Lupa yang abang Ayie tak pernah terima pun benda tu. Sekarang bagi dekat Hana."

"No way. Dulu biarkan. Sekarang abang nak."
Hana mengeluh pendek. Tak guna kalau bertegang leher dengan Ayie. Sampai esok pun tak habis. Silap hari bulan, perangai mereka pengaruhi Zara yang tercengang melihat mereka. Lebih kecik dari budak kecik!

"Serius abang nak? Kalau macam tu ambil la."Tiba-tiba Hana tayang muka gembira bila hadiahnya yang tak diterima Ayie kini diterima.

"Tapi..." Hana menyambung dengan nada meleret.

"Tapi apa?"

"Hana ada hadiah lain yang Hana simpan untuk abang. Nak tak?"

"Hadiah? Apa?"

"Abang Ayie tunggu sekejap, Hana ambil. Ada dalam bilik. Dah lama Hana simpan hadiah tu untuk abang."

Hana berlalu dengan senyuman gembira. Ayie melihat Hana pergi sebelum dia tersengih melihat muka Zara yang pelik melihatnya. Tapi kenapa Hana berubah tiba-tiba? Agaknya Hana gembira bila hadiah diambil kut.

Tak lama kemudian Hana kembali berdiri di hadapan Ayie dengan tangan dibelakang sambil menyorokkan sesuatu.

"Apa tu?" Leher dipanjangkan sambil mencari tahu apa yang Hana sembunyikan.

"Kira satu sampai tiga. Nanti Hana tunjukkan."
Arahan diikut. Ayie mula membilang.

"Satu... Dua... Tiga..."

Tali leher ditangan Ayie yang sedikit terjuntai ditarik dan sedar-sedar tali leher selamat dibahagi kepada dua bahagian.

"Hana!"

"Apa macam? Tu la hadiahnya." Hana tersenyum puas sambil menayang gunting ditangan.

Nak sangat hadiah tu. Padan muka kau!

"Membazir tahu tak!" pinggang dicekak.

"Kesah pula. Duit Hana bukan duit abang Ayie."

"Uncle dengan acik Hana ni macam budak-budak la!" Zara tak tahan melihat mula menyampuk.

Tersentak Ayie dan Hana. Spontan mata terhala pada Zara yang tayang muka marah. Marah la sebab dia dah macam tak wujud. Sedih.

"Ni semua abang Ayie la ni! Dah besar badak pun macam budak. Nama engginer, pasal tali leher pun nak bertekak." marah Hana berapi.
Aik? Dia pula yang kena.

"Hana tu yang macam budak-budak! Mana ada orang dewasa musnahkan harta benda sebab bergaduh. Hana tu yang macam kanak-kanak ribena!"

Dua-dua keras kepala. Dua-dua tak reti nak mengalah. Dua-dua saling berpandangan macam tak sabar-sabar nak membunuh.

"Bagi sini benda tu. Hana nak buang." Hama meminta tali leher yang sudah digunting.

"No way!" Ayie simpan dalam poket.
Terketap bibir Hana dengan telatah Ayie. Lantak kau la!

"Zara, jom masuk bilik acik Hana nak tak? Kita main dalam bilik." ajak Hana dengan tangan mencengkam tangan Zara.

Bilik? Tempat paling selamat untuk jauhkan diri dari Ayie. Sah-sah la Ayie tak boleh masuk dalam bilik sekali. Kalau masuk sekali, mahu ada orang lebam biji mata keluar dari bilik.

"Jom..." polos Zara bersetuju.

"Kenapa nak ke bilik?" Mata Ayie dah mula terbesar sendiri. Mula menggelabah.

"Nak berbual dalam bilik. Nak main dalam bilik. Abang Ayie sila la keluar," halau Hana dengan cara paling lembut sekali.

"Tak boleh!" Sebelah lagi tangan Zara digenggam pula oleh Ayie.

"Kenapa tak boleh?" Hana menarik Zara.

"Sebab aku kena jaga Zara. Kalau kau nak cakap atau main dengan dia, dekat sini je." Ayie menarik Zara kearahnya pula.

"Tak nak!"

Zara terhumban ke arah Hana.
"Orang cakap tak boleh!"

Zara terdorong ke arah bapa saudaranya.

"Sakit!!!"

Adegan tarik menarik terhenti. Terlepas genggaman pada Zara dek suara jeritan yang maha dasyat oleh Zara. Merah padam muka Zara. Alamak, mampus!

"Zara, acik Hana minta maaf ya. Sakit ke? Zara ikut acik Hana ya."

Tangan Zara dicapai lembut. Membelek tangan kecil itu kalau ada kesan merah. Nanti kena tuduh mendera pula. Mati kutu dia nak jawab dengan abang Mizal.

Zara mengangguk bersetuju.

"Zara!"

Zara berpusing ke arah bapa saudaranya yang menyeru namanya. Elok Zara berpusing, Ayie terus mencapai tangan Zara dan menarik anak saudaranya sedikit ke belakang dan mendorong dirinya berhadapan dengan Hana. Muka serius dipamerkan.

"Hana pekak ke, tak dengar apa abang cakap?" keras suara Ayie.

Satu tapak ke depan.

"Abang cakap, abang kena jaga Zara. Kalau nak main dengan Zara, depan abang!" Satu tapak lagi ke depan dengan mengulang ayatnya sebentar tadi.

Gulp! Rasanya kalau satu tapak lagi Ayie mara, sah dia terpeluk mamat tu. Muka tengang dan suara ketat lelaki yang memakai baju biru biru itu buat jantung Hana mula berdegup tak sekata.

Melihat Hana berubah riak, pantas Ayie menghampirkan lagi dirinya ke arah hana. Gerakkan tubuh lelaki kening tebal itu buat Hana mengundur selangkah. Melihat muka tak ketahuan Hana, akal nakal Ayie mula merangsang tindakannya. Sengaja dia melangkah dan terus melangkah dengan senyuman senget. Terjojol biji mata Hana dengan kaki galak mengundurkan diri.

Pap!

Belakang Hana berlanggar dengan dinding. Badannya melekat di situ.

"A.. abang Ayie na..nak bu..buat apa?" sumpah! Jantungnya dah jadi macam gergasi ganas nak keluar dari penjara.

"Tak buat apa-apa." Ayie menggeleng dengan senyuman tersangat miang.

Serius! Dia dah tak tahan gelak tengok muka Hana yang macam kena asma. Ini rupanya kelemahan Hana.

"Uncle buat apa tu?"

Dua manusia tersedar. Spontan ayie menjauhkan dirinya dari Hana dan berpusing melihat Zara yang tersengih-sengih. Kenapa pula budak ni sengih lain macam?

"Uncle buat macam filem cinta. Uncle ayie nak cium acik Hana eh?"

Bang! Ayie rasa kena tembak manakala Hana dah naik pitam.

.......

Ayie menyuap nasi ke dalam mulutnya sambil memandang anak saudaranya yang tersengih-sengih. Tak habis lagi sengih dia tu. Ada juga budak kena tarik tocang sampai botak.

"Kenapa Zara tengok uncle Ayie macam tu?" tanya Puan Hamidah aneh.

Tersedak Ayie dek soalan itu.

"Cuba makan elok-elok. Ambil air ni." Cawan berisi air kosong dihulurkan.

Menggeleng Puan Hamidah dengan gelagat anak bongsunya. Rakus Ayie meneguk air ditangan. Zara punya pasal la semua ni.

"Ni apa dah jadi ni? Zara dari siang papa tengok asyik senyum tengok uncle Ayie, kenapa? Yang kau Ayie, tersedak bagai. Apa yang tak kena?" Mizal yang tadi tenggelam dalam keenakan lauk-pauk mula bersuara.

"Mana ada apa-apa bang," nafi Ayie pantas.
Jangan biar Zara bersuara lagi. Budak tu terlebih jujur.

"Ye ke?"
Mizal menghidu rasa pelik.

"Zara..."

"Ye, pa?"

"Zara ada benda nak bagi tahu papa ke?" Kening Mizal terangkat.

Terangguk Zara dengan soalan dari papanya. Mulut celoparnya memang nak berbunyi ni.
"Apa dia?"

"Tadi kan, un..."

"Zara, kan tengah makan ni. Makan diam-diam!" Ayie mencelah.

Mati la kalau Zara ulang apa yang dia cakap dekat rumah Hana tadi. Ketukan bisa Hana dekat kepala dia pun belum sembuh lagi ni.
Cemberut muka Zara bila ditegur tegas.

Pap! Senduk berlabuh di tangan Ayie.

"Kamu ni kenapa? Cakap lembut sikit dengan budak tak boleh ke?" tegur Puan Hamidah.

"Cakap dengan opah sayang. Apa benda yang Zara nak bagi tahu?"

Darah naik ke kepala Ayie. Ketar lutut. Mana ada dia cium, dia cuma nak duga Hana je. Diam-diam dia menyeret kerusi sedikit ke belakang. Ruang untuk dia lari sebentar nanti.

"Tadi kan opah, uncle Ayie..." Zara berjeda. Senyum lebar dia pandang muka biru Pak ngahnya.

Mati. Mati. Mati la nak!

"Uncle Ayie kenapa?" kata Zara menggoda Tuan Hashim untuk tahu.

"Uncle Ayie nak cium Acik Hana."

Dengan ini, matilah Aish Mikael di dalam dunia ini!

"Apa?!"

"What?!"

"Ayie!"

Tiga suara bergabung serentak. Antara mati di tangan keluarga sendiri atau hidup dengan kederat sendiri, Ayie pilih hidup. Berdesup dia lari naik ke bilik. Kunci rapat-rapat.
Zara, tahu la uncle Ayie kerjakan kamu. Capoi betul mulut anak saudaranya. Lepas ni wajib tak bawa Zara kalau Hana dengannya.

You May Also Like

0 comments