BAB 8 Hana dan Ayie

by - November 02, 2018



Gerakan kecil tangan Hana menyentakkan Hani. Pantas matanya memandang tangan adiknya yang mula bergerak.

"Hana... Hana dah sedar ke?"

"Mak, tangan Hana bergerak." ujarnya kemudian pada Puan Azura yang mula mendekati anak bongsunya.

Kelopak mata Hana sedikit berkelip-kelip sebelum perlahan-lahan terbuka.

"Ya Allah... Mak, Hana dah sedar." terlepas kalimah syukur dari bibir Hani.

"Mak, Hani pergi panggil doktor sekejap." pesan Hani sebelum berlari keluar dari wad. Ingin memanggil doktor yang memantau adiknya.

Tangan Hana digenggam erat oleh Puan Azura. Mata tuanya berkaca-kaca. Setelah empat hari dia risaukan Hana yang tidak sedarkan diri, akhirnya Hana sudah sedar. Tak terkira ucapan syukurnya pada Ilahi.

Dahi Hana berkerut dengan mata sedikit kabur. Tangan yang diangkat menyentuh dahi. Berbalut!

"Hana... Hana..." panggil Puan Azura sambil mengusap tangan kiri anaknya.
Hana membuka besar matanya dengan kekaburan yang mula menghilangkan diri. Wajah Puan Azura yang memandangnya ditenung lama. Siapa?

"Hana..."

Hana tersedar. Mak! Di depannya itu adalah Puan Azura. Ingatannya mula mengecam wajah yang nampak risau.

"Mak..." terlepas perkataan itu dari bibirnya.

"Ya, mak ni. "

"Hana dekat mana ni mak?"

"Hana dekat hospital, sayang."
Hospital? Hana mengigit bibir perlahan. Mindanya mula mengingati apa yang terjadi.

"Hana..."

Hana berpaling ke tepi dia nampak wajah Hani tersenyum padanya. Kakaknya berjalan ke arahnya bersama seorang berjubah putih di sisi.

"You dengan mak cik keluar dulu. I nak periksa adik you," ujar si lelaki berjubah putih.

Doktor. Tapi macam mana dia tahu Hana adik Hani? Lupa! Kakak dia kan doktor di sini juga!

"Mak keluar sekejap ya sayang." bisik Puan Azura sebelum beransur keluar. Hana mengangguk lemah sebelum menghantar tubuh kakak dan emaknya yang menghilang disebalik pintu.

Dia mengeluh saat lelaki berjubah putih itu menghampirinya. Tiba-tiba saja setitis air matanya menitis. Kepalanya mula mengingati apa yang terjadi padanya.

....

Hana tersenyum memandang emaknya dan Hani yang asyik memandangnya. Risau sangat mereka dengannya. Alhamdulillah, dia tak apa-apa cuma perlu ditahan sehari dua lagi. Mereka ingin memeriksa jika ada kesan sampingan akibat kepalanya yang dihentak kuat. Nasib dia tak lupa ingatan macam dalam drama.

"Hana ni buat kak long risau. Tahu tak kak long ambil cuti demi tunggu Hana sedar. Kesian dekat pesakit kakak. Mesti rindukan kakak tu." riuh Hani dengan muka mencebik-cebik.

"Eleh! Poyo! Pesakit rindu atau doktor lelaki tu yang rindu?"

Pap!

Hani terasa tertampar perlahan.

"Mak, rupanya ada orang tu main cinta dalam diam. Tak lama lagi mak terima menantu doktor la," usik Hana sambil menjelir lidah pada Hani.

"Apa Hana mengarut ni? Pandai je buat cerita." Muka Hani sedikit merah.

Aik? Macam mana Hana tahu?

"Ye ke Hani? Akhirnya dapat juga mak merasa menantu sulung." Puan Azura turut mengusik.

"Mak!"

Hana dan Puan Azura ketawa besar melihat muka cemberut Hani.

"Kak long jangan berlakon la. Masa abang tadi periksa Hana, Hana dah korek rahsia. Patut la senyum je dia masa berjalan tepi kak long tadi. Rupanya chenta hati dekat sebelah."

Hani membeliakkan biji mata. Amboi orang sakit ni sempat lagi korek rahsia. Hesy! Zafril ni nak kena dengan dia gamaknya. Suka hati bocorkan rahsia.

"Mak tahu tak, tadi masa Hana panggil dia doktor, dia cakap panggil dia abang. Sebabnya, nanti dia bakal jadi abang long Hana." cerita Hana lagi tanpa menghiraukan Hani yang berkerut muka.

"Hana!!!"

Puan Azura menggeleng perlahan melihat tingkah Hana dan Hani. Dua orang kesayangannya dalam hidupnya. Tanpa Hana dan Hani, hidupnya pasti tak lengkap.

"Kenapa pula kamu marah ni Hani? Kalau betul pun apa salahnya. Mak lagi suka. Dapat menantu."

Mendengar kata-kata setuju tak rasmi dari emaknya, pantas Hani tersengih macam kerang busuk. Hana yang nak mengusik tadi terdiam. Kepalanya sedikit berdenyut.

"Maaf la mak. Hana tak sempat nak bagi menantu dekat mak." ucap Hana tiba-tiba dengan senyuman pahit.

Sekelip mata, suasana menjadi sedikit sayu. Laju tangan Puan Azura berlabuh di bahu anaknya. Bahu itu diusap lembut.

"Hana..."

"Tapi bagus juga tak jadi. Hana tak kan tinggalkan mak. Hana boleh hidup dengan mak dan kak long lagi." potong Hana ceria.

Tipu! Kalau siapa tak nampak wajah terkilan di sebalik ceria itu, dia menipu. Hakikatnya Hana sedang berusaha menyembunyikan hatinya yang pedih. Namun riak wajah Hana sememangnya dapat dibaca oleh Hani dan Puan Azura.

"Hana, ay..."

Belum sempat Hani menyebut nama Ayie, Hana dah mengeleng perlahan dalam senyuman pahit. Seakan faham adiknya tak mahu mendengar nama itu, Hani mendiamkan diri. Tangannya meraba wajah adik kesayangannya.

"Jadi macam mana Hana rasa sekarang? Dah okey?" Hani menukar soalan lain.

"Dah okey. Rasa dah boleh balik ni tapi doktor pula sibuk nak tahan. Hana dah sihat tau!" Hana mengomel geram.

"Ye la tu kuat. Cik adik oi, doktor tahu la apa yang terbaik untuk pesakit. Luar je nampak sihat. Dalam tu belum tahu lagi. Kalau pengsan lagi macam mana?" Hani dah mula menegakkan Doktor. Mentang-mentang dia doktor.

"Ye la. Baik bakal puan, doktor."

Hani merengus geram sebelum buat gaya nak gigit Hana sampai Hana ketawa mengekek-ngekek. Saat ketawa, kepalanya terasa berdenyut. Pantas mukanya berkerut.

"Ketawa la lagi. Kan dah sakit." sindir Hani dengan kening terangkat.

"Mak, tengok kak long ni!" adu Hana manja.
Puan Azura tak menajwab sebaliknya memandang bahagia ke arah dua anak perempuannya. Saat mereka ketawa, pintu bilik wad ditolak. Hana yang muncung, terkaku di atas katil.

Mak cik Hamidah?! Jangan cakap mamat tu pun ada sekali!

Hana tersenyum kecil saat Mak cik Hamidah dan Tuan Hashim melangkah ke arahnya.

"Macam mana Hana? Dah okey? Alhamdulillah Hana sedar." ujar Puan Hamidah saat melangkah ke arah Hana.

Hana menyuakan tangannya terlebih dahulu sebelum menjawab. Tangan Puan Hamidah disalam.

"Hana dah okey mak cik." balas Hana perlahan.

"Berdua je ke, Midah?"
Soalan Puan Azura buat Hana sedikit gementar. Matanya galak memandang mulut Puan Hamidah untuk menanti jawapan.

"Tak la. Datang sekali dengan Ayie. Tapi dia cari parking. Ramai pula orang hari ni sampai parking pun susah nak cari."

Jawapan Puan Hamidah buat Hana melarikan matanya ke depan. Saat itu mata Hana bertatapan dengan anak mata Hani. Hani nampak kelukaan yang cuba disembunyikan Hana saat nama itu muncul. Hana menunduk sedikit kerana tidak mahu Hani melihat luka yang cuba disorokkan.

"Hana... Mak cik nak minta maaf pasal kejadian tu. Mak cik terkilan sangat dengan apa yang jadi. Mak cik tahu, Ayie dah salah pada Hana. Mak cik harap Hana dapat maafkan anak mak cik tu." tiba-tiba saja tangan Puan Hamidah menekap tangan Hana dengan muka sedikit keruh.

"Kita tak payah cerita pasal tu ya mak cik. Bukan salah siapa-siapa pun. Keadaan tiba-tiba tak terkawal. Mak cik jangan risau ya." genggaman Puan Hamidah berbalas.
Buat apa dia bermasam muka dengan Puan Hamidah. Mak Ayie tak bersalah tapi yang bersalah Ayie! Kalau dah tahu tak nak kahwin, pergi lamar dia kenapa? Dia pun bodoh! Tak sedar diri! Pergi terima lamaran tu siapa suruh?

"Bila boleh balik ni?" tiba-tiba Tuan Hashim yang sedari tadi diam, mula bertanya.

"Lagi dua tiga hari, balik la dia." Puan Azura membalas.

Saat mereka berbual, tiba-tiba pintu bilik wad terbuka. Semua mata terhala pada tubuh yang baru melangkah masuk. Ayie menuju ke arah Puan Azura dan menyalami tangan wanita tua itu dengan penuh hormat. Tangan bersalam, mata pula sibuk mencari Hana yang sudah berpaling wajah darinya.

"Hana sihat?" soalnya pula pada Hana yang langsung tidak memandang dirinya.

Hana mencebik dalam diam. Sejak bila Ayie panggil dia Hana? Bukan kau ke? Apa punya soalan tu. Dah dia masuk hospital, mestilah dia tak sihat. Itu pun tak belajar ke? Mana ada orang sihat masuk hospital?

"Hana..." tegur Ayie bila Hana seaka berdegil tidak memandang dirinya.

Dia tahu Hana marahkan dia. Ayie mengeluh seketika. Dia memang bodoh! Hana sanggup dipukul untuk menghalang dirinya dari disakiti. Namun, dia langsung tak perasan. Hatinya asyik risaukan Liana hinggakan dia buta tak melihat kesakitan yang dialami Hana. Memang patut la gadis itu marahkan dirinya.

Hana yang menunduk, mengigit sedikit bibirnya. Orang lain di sekelilingnya diam tak bersuara. Mungkin menanti dia menyahut panggilan Ayie. Perlahan-lahan wajah diangkat dengan keluhan berat. Wajah Ayie dipandang sedikit tajam.

Tersenyum Ayie saat mata Hana mula menikam mata anak matanya.

"Awak siapa?"

Senyuman mati. Biji mata Ayie membesar tanpa kata.

"Siapa awak? Kita kenal ke?" soal Hana lagi dan kali ini mulut Ayie terus ternganga.

Hana tak ingat dia???

You May Also Like

0 comments