BAB 18 Hana dan Ayie

by - November 02, 2018



Tergeleng Ayie melihat Hana yang duduk di atas rumput sambil memeluk lutut. Muka pula disangkut di lutut sambil menunggu masa berjalan. Tak ada tempat lain nak duduk ke minah ni? Perlahan-lahan Ayie menapak ke arah Hana.

"Ehemm..."

Deheman itu buat Hana tarik muka. Tak perlu dilihat, dia dah maklum siapa jejaka yang terlebih rajin berdehem.

"Daripada berdehem macam tu, ada baiknya bagi salam. Bagi salam tu memang la sunat tapi sebagai umat islam, lebih baik ringankan bibir tu memberi salam. Bukan setakat buat suara nak test microphone tu." perlahan tapi macam bertih jangung mulut itu bersuara.

Tanpa mempedulikan nasihat Hana berbaur tarbiah sentap, Ayie meletakkan dirinya di depan Hana. Hana panggung kepala dengan mulut mencebik memandang Ayie yang berdiri di depannya.

'kenapa aku nampak minah ni comel pula tiba-tiba ni?' Ayie menggeleng.

"Kenapa?" soal Hana bila muka Ayie nampak aneh. Apa hal?

"Tak takut seluar tu kotor ke duduk macam tu?" tanya Ayie cuba menenangkan jiwanya yang buat kenyataan gila. Memang la Hana comel tapi selama ni tak pernah pula hati dia memuji.

"Apa susah? Masukkan dalam mesin basuh lepas tu sidai. Bersih la balik."

Mendengar kata-kata Hana, Ayie tanpa meminta izin terus melabuhkan punggun di atas rumput. Betul-betul berdepan dengan Hana.

"Tak takut seluar tu kotor ke?" soalan Ayie tadi hana ulang.

"Tak la. Mesin basuh boleh tolong basuhkan." balas Ayie dengan sengihan.

Hana mengangguk namun terdiam tiba-tiba. Tiba-tiba rasa aneh la pula. Berdua dengan Ayie tapi diam. Dia nak pergi dari situ tapi... Hati dia tak rela la tinggalkan Ayie. Amboi! Dalam marah-marah, masih boleh tengok muka kacak mamat tu kan. Keinginan dan hati kau ni memang sampai bila-bila tak sekufu!

Lama juga mereka terdiam sampai Hana mengeluh bosan. Tak suka sungguh. Mana Ayie yang selalu mulut longkang tu? Yang selalu marah-marah dia bila dia nak tackle Ayie? Aku nak kena tackle dia baru dia bunyikan suara dia tu ke?

"Siapa orang dekat depan rumah Hana tadi?"

"Rasanya?"

Ayie menggeleng. Tak tahu.

"Monster gila kuasa." beritahu Hana lemah. Malas betul nak sebut benda tu.

"Nenek kau?" kali ni Ayie dah agak siapa gerangan orang tu.

"Nenek? Dalam kertas je la bukan dalam hati!"
Jawapan pantas Hana buat Ayie mengeluh kecil. Bukan dia tak tahu kedinginan hubungan Hana dan nenek dia. Rasanya mamanya pernah cerita pasal keluarga Hana. Hana ni bukannya sebarangan orang. Nenek dia bukan calang-calang orang dalam dunia perniagaan.

"Tak rasa bersalah ke bencikan nenek sendiri?" duga Ayie.

Senget sekejap mulut Hana. Bersalah? Patutkah?

"Tak ada masa la nak bazirkan waktu dengan rasa bersalah pada dia. Macam la abang Ayie tak tahu apa yang terjadi. Apa yang dia buat pada kami. Mak abang tu tahu, mustahil abang tak tahu."

"Tahu tapi saja bertanya."

Ergh!!! Saja nak naikkan angin aku la tu.

"Malas la cakap pasal tu. Abang Ayie pergi tengok sekejap. Baik ke tak lagi tentera gila dia tu." suruh hana dengan muka tak suka.

Aik? Aku pula yang dia suruh? Tapi aneh! Ayie ikut. Dia mulai bangun dan melangkah masuk ke rumah. Langsir diselak dan kosong! Semua askar dah hilang. Laju langkahnya kembali ke laman belakang rumah.

"Dah balik ke belum?" selidik hana bila wajah Ayie muncul semula.

Ayie tak menjawab sebaliknya diam. Wajah Hana dipandang. Lama!

"Abang Ayie..."

"Belum." bohong Ayie.

Mati dia kalau Hana tahu dia menipu. Mahu kena cabut kepala dengan minah ni. Tapi kalau dia bagi tahu yang sebenarnya, dia yakin Hana akan pergi dengan senang hati. Tapi hati dia tak rela lagi kalau Hana pergi. Dah lama Hana lancar mogok padanya, sampai dia pula jadi penyekodeng tegar disebalik jendela.

Tiba-tiba saja situasi terbalik. Betul la apa yang selalu digembar-gemburkan. Allah kalau dia ingin terbalikkan sesuatu, sekejap je boleh jadi. Kun Faya Kun. Jadi maka jadilah ia.

"Ye ke? Hana nak tengok la."

Hana mula bangun tapi tangan Ayie menghalang.

"Apa ni?" tangan Ayie yang berlabuh di bahunya ditepis-tepis. Macam gaya nak tepis ulat bulu.
Terkulat sekejap Ayie. Mampus! Kalau Hana pergi depan, memang Hana tahu dia menipu. Tak boleh jadi.

"Hana lapar tak?" soalan cepumas tiba-tiba terlontar dari mulut Ayie.

"lapar?" Hana pengang perut sendiri. Sejujurnya, ya!

"Mak abang Ayie ada buat kek red velvet. Nak?" goda Ayie. Hana dan kek red velvet, memang tak boleh dipertikaikan.

"Red Velvet?" sumpah tergoda.

"Abang Ayie ambil sekejap."

Hana mengangguk pantas. Sedapnya. Dua puluh minit tuntun motor, memang dah banyak tenaga dia dermakan. Sekarang memang dia perlu top up tenaga. Red velvet? Abang Ayie ni macam tahu-tahu je dia tengah lapar. Buaya mana akan tolak daging kalau dipelawa.

Walaupun masih marah pada Ayie, dia tak boleh tegakkan ego. Nanti melepas red velvet buatan Puan Hamidah yang memang sedap!
Ayie di dapur melepaskan nafas lega. Nasib ada red velvet. Hesy! Tipu pun tipu la asalkan Hana ada depan mata. Hesy! Hana dah guna-gunakan dia ke?

......

"Sedapnya..."

Dicubitnya kek di depannya. Mata dipejam menikmati kelazatan yang baru menerjah tekaknya.

"Sedap sangat ke?"

Hana mengangguk dengan senyuman. Tangannya semakin galak mencubit kek red velvet di dalam pinggan kecil ditangannya.
Melihat Hana tersenyum, spontan Ayie tersenyum. Senyuman Hana macam berjangkit dengan dia pula. Gembira sungguh wajah Hana kali ni berbeza saat Hana meluahkan perasaannya ditaman hari tu.

Sejujurnya, sejak hari tu hidupnya seakan tak tenang. Malamnya dihantui dengan wajah marah bercampur sedih Hana. Matanya dibawa ke wajah gadis di hadapannya. Menilik setiap inci pelusuk wajah itu. Mata bundar seperti kebanyakan perempuan lain. Namun mata Hana mempunyai daya tarikan sendiri. Anak mata hitamnya mampu memakukan orang lain untuk melihatnya. Hidung Hana pula tak la mancung seperti hidungnya tapi tak juga penyek. Bibir gadis itu terbentuk cantik. Semula jadi tanpa calitan warna yang mencemarkan.

Walaupun Hana bukan kategori gadis cantik yang mampu membuat orang lain terpaku saat pertama kali melihat, tapi Hana mempunyai keistimewaannya sendiri. Wajah polos dan ceria itu mampu menarik perhatian.

"Abang Ayie tak nak makan ke?"

Ayie tersentak. Berdeham seketika dia menghilangkan rasa tersentak. Mata dipalingkan sedikit supayan debaran yang tiba-tiba hadir dapat diredakan. Perlahan-lahan juga tangannya naik meraba dadanya sendiri. Kenapa ada rasa sesak?

"Abang Ayie ni kenapa? Terima kasih untuk kek ni tau." pinggan kek diunjuk pada Ayie sebagai tanda terima kasih.

Hana membesarkan matanya sedikit melihat kebisuan Ayie. Dah kenapa mamat tu? Tanpa menghiraukan Ayie, kek disumbat lagi ke mulutnya. Paradise!

"Dua tiga hari ni Hana rasa bertuah sangat. Hari ni dapat kek red velvet. Semalam dapat brownies. Memang sedap la brownies yang abang Adam tu bagi." cerita Hana tanpa sedar.

"Tapi dekat mana abang Adam tu beli ya? Nak kena minta dia tolong belikan lagi ni." sambung Hana lagi namun kali ni hanya untuk diri sendiri.

Adam? Adam Syah! Ayie tarik muka menyampah. Hesy! Ingatkan lelaki tu pun dia dah meluat, inikan pula, Hana memuji. Kalau nak dibandingkan dengan dia, dia lagi kacak. Adam Syah tu cuma segak. Lagi-lagi dengan motor Ninja dia tu, ramai la anak dara taman ni gila. Tak kisah la berapa orang nak gilakan Adam Syah tu, tapi Hana tak boleh!

"Abang tak nak makan sekali ke? Sedap ni." Hana menegur bila pandangan Ayie nampak aneh. Serius! Dia tak selesa!

"Suapkan..."

Apa? Suap? Mulut Hana mula menyenget.

"Allah dah bagi tangan tu guna. Tak payah nak bersuap bagai. Tangan tu dah lumpuh ke?" tempelak Hana dengan jelingan kecil.

Ketawa Ayie dibuatnya. Dia tak rela lumpuh sebab kalau tangan dia lumpuh macam mana dia nak genggam tangan gadis yang mula mendapat tempat dihatinya.

"Hana..."

"Apa?"

"Hana..."

"Apa?" Hana berkerut seribu. Orang tengah sibuk dengan kek, dia asyik Hana...Hana. Kalau nak cakap, cakap je la.

"Kita kahwin."

Pap!!!

Tangan Hana pula yang lumpuh sampai pinggan ditangannya jatuh ke rumput. Anak matanya mula membesar mendengar kejutan dari bibir Ayie.

"Kita teruskan majlis yang terhenti hari tu. Kita kahwin."

Bibir Hana bergetar. Lama dia dan Ayie berpandangan. Benarkah semua tu keluar dari bibir Ayie? Kahwin? perkataan itu buat mindanya teringat kembali hari yang menyedihkan itu. Bibir Ayie dipandang. Mudahnya bibir itu melafazkan satu kata yang tak patut diungkapkan.

"Hana.."

Hana bangun. Pinggan yang sudah tertekup atas rumput tak dihiraukan. Bibir digigit bila hatinya mula bergetar. Bergetar menahan rasa pedih yang mula menyusup tangkai hatinya.
Melihat Hana bangun, Ayie turut bangun. Berdiri di hadapan gadis yang mula terkerdip-kerdip biji matanya. Jelas mata itu menjelingnya terkejut namun jauh dia sudut anak mata itu, Ayie dapat melihat sesuatu. Kemarahan!

"Apa abang cakap ni? Kah..Kahwin?" automatik kedua-dua tangan Hana terkepal.

Apa yang Ayie tengah fikirkan sebenarnya? Kahwin? Kahwin tu mudah bagi Ayie ke? Selepas dia ditinggalkan dan juga menerima segala tomahan dari orang lain, Ayie masih boleh sebut perkataan itu. Hilang akal apa lelaki tu?

"Hana... Abang sanggup bertanggungjawab atas semua yang terjadi. Abang tahu Hana terseksa dengan kata-kata orang. Kita kahwin, tutup mulut semua orang." selangkah Ayie menapak ke depan.

Hana berundur satu tapak. Tanggungjawab? Tutup mulut orang?

"Jadi abang ajak Hana kahwin untuk tutup mulut orang? Maksudnya abang kesian dengan Hana?" entah kenapa hatinya mula sakit dengan alasan Ayie.

"Abang anggap perkahwinan tu apa? Permainan? Hana tak sangka boleh dengar semua ni dari orang yang lebihtua dari Hana. Perkahwinan tu bukannya satu permainan!"

"Ya... Abang tahu.."

"Tahu? Kalau abang Ayie tahu, abang tak kan cakap macam ni! Ajak Hana kahwin untuk tutup rasa malu. Kononnya nak selamatkan Hana dari mulut orang? Kenapa? Kesiankan Hana?" Hana ketawa sinis.

Perkahwinan bukan hanya dua jasad yang bersatu dan hidup aman dan damai. Semua itu hanya fairy tale! Perkahwinan juga satu tanggungjawab. Perkahwinan juga satu dakwah. Berkahwin bermakna dua orang bersatu untuk melengkapi kelemahan antara satu sama lain. Perkahwinan bukan bermakna cinta semata-mata tapi ada banyak benda lain lagi yang perlu difikirkan. Kesabaran, kesetiaan, kepercayaan, kesanggupan menghadapi senang dan susah bersama. Cara pengaturan hidup. Keserasian dan bertolak ansur, semua tu perlu ada dalam perkahwinan.

"Hana cuba benci abang tapi Hana tak boleh. Jadi Hana biarkan perasaan tu hilang. Hana marahkan abang Ayie tapi bila difikirkan balik, Hana rasa abang tinggalkan Hana sebelum menikah itu sebenarnya keputusan yang tepat. Kalau pernikahan tu terjadi, Hana tak rasa kita akan bahagia. Mungkin abang hanya akan memaksa diri menerima Hana. Sebab fikirkan semua tu, kemarahan Hana hilang. Walaupun Hana rasa abang jahat sebab tinggalkan Hana, tapi Hana terima sebagai satu takdir. Sebab tu Hana masih boleh berdiri depan abang macam tak pernah berlaku apa-apa."

"Tapi... Hana cuma manusia biasa. Rasa sedih, marah, malu semuanya ada dan kadang-kadang Hana teremosi. Sedaya upaya Hana, cuba lupakan semua. Tapi hari ni abang cakap pasal perkahwinan. Abang ingatkan balik Hana pada hari tu. Abang fikir Hana ni apa? Barang mainan yang boleh tolak ke tepi ke tengah? Abang tinggalkan Hana pada hari tu dan sekarang abang cakap nak kahwin dengan Hana. Abang memang melampau!" hambur Hana bengang.

Terasa darah menyerbu terus ke segenap uratnya. Terasa seperti Ayie ingin permainkan dirinya. Ya! Dia suka Ayie tapi jangan jadikan itu alasan untuk tarik dan tolak dia! Dia pun ada maruah dan ego! Perkataan 'kahwin' dari Ayie hari ni betul-betul buat dia kecewa.

Rasa bersalah mula memenuhi ruang hati Ayie. Terasa ingin menundukkan pandangan dari riak marah gadis di hadapannya. Kenapa dia bodoh sangat? Tanggungjwab? Untuk tutup mulut orang? Apa alasan yang kau dah cakap tu? Susah ke kau nak cakap yang kau sukakan Hana. Susah ke kau nak cakap yang kau rasa kau kehilangan Hana bila Hana melayan kau hambar? Susah ke kau nak cakap yang sebenarnya kau dah mula sukakan dia? Kenapa kau sakitkan hati dia dengan alasan bodoh kau tu?!

"Hana balik dulu." ujar Hana sedikit kasar sebelum melangkah. Lima langkah dia mara, dia berhenti. Kembali memandang Ayie yang nampak resah.

"Abang Ayie pernah tanya Hana, apa yang Hana faham pasal cinta? Cinta tu bukan sekadar untuk difahami tapi untuk dirasai. Sebelum Hana pergi, Hana minta satu je dekat abang. Tolong faham betul-betul makna perkahwinan. Bukan sekadar ucapan!"

Dengan ayat terakhir itu, Hana melangkah pergi meninggalkan Ayie yang nampak sedikit terhenyak dengan kata-katanya. Hilang saja hana dari matanya, Ayie meraup rambutnya kebelakang.

Bodoh! Dia dah buat Hana jauh lagi sekali! Matanya jatuh pada pinggan yang terdampar atas rumput. Satu keluhan mula terlepas dari ulas bibirnya.

You May Also Like

0 comments