BAB 2 HEY LAURA ITS ME

by - February 12, 2019

BAB 2


TANGAN yang dihiasi gegelang hitam, ligat menyusun buku demi buku. Badan yang sekejap menunduk dan sekejap berdiri saat mencapai dan mengangkat buku, meliuk-liuk. Pinggang dan bahu berselang-seli digoyang. Irama muzik Bollywood dari filem Main Prem Ki Diwani Hoon semakin merancakkan setiap pergerakannya.
Ayi Main Ayi neele gagan se
Layi main layi taaron ke chun ke
Mere liye jo bana hai
Sun le jahan tu chupa hai
Paana mujhse mushkil hai
Phoolon jaisa mer dil hai
Aakar dekhle
Papa ki pari hoon main
O... O... Ho... Ho... Ho...
“Bukan main lagi akak bergolek. Masuk dek pelanggan, seminggu malu tak habis,” tegur satu suara di belakang.
Laura tersentak. Laju dia berpaling. Tersengih sebaik saja kelibat Farisya menyapa mata. Tarian dihentikan. Lagu dari telefonnya dimatikan.
“Sebab tak ada orang la, akak berani nak bergolek. Kamu ni datang awal kenapa? Nak over time?” Rambut lurus bergulung di bahagian bawah, disanggulkan.
“Tak la kak. Singgah sekejap, letak beg. Fari nak keluar sekejap lepas ni. Nanti pukul dua, Fari datang balik,” maklum Farisya sebelum menghampiri laci meja di kaunter. Beg kecilnya diperosok dalam ruangan kecil itu.
“Akak ingat nak teman akak dekat sini. Nanti kalau Fari masuk, akak keluar tau. Akak ada kelas zumba hari ni. Hari ni dalam pukul lima, akak nak balik. Fari boleh balik awal hari ni,” ujar Laura. Ear phone ditarik dari telinga.
“Betul ke, kak? Kiranya Fari kerja tiga jam aje hari ni?” Gadis muda itu terkejut. Namun dalam terkejut, bukan main hati bersorak.
“Akak ingat nak tutup kedai awal hari ni. Sebab malam ni, akak ada satu lagi  kelas.”
Farisya angguk.
“Kalau macam tu, Fari pergi dulu. Tengok la, kalau Fari habis jumpa kawan cepat, Fari datang cepat la.”
Farisya memasukkan dompet ke dalam poket. Bila bosnya mengangguk, dia melambai. Kemudian hilang dari muka kedai bersama senyuman gembira.
Siapa yang tak gembira kalau boleh balik awal?
Lenyap bayangan pekerjanya, Laura melabuhkan punggung di atas bangku bersebelahan meja kaunter. Apron merah ditubuhnya, disapu-sapu. Semua kerja penting dah siap. Sikit-sikit lagi tu, serah pada Farisya aje nanti. Nafas ditarik dalam. Alat kawalan televisyen dicapai.
“Encik Mohamed Mokhtar atau dikenali sebagai Mok, berjaya ditahan oleh pihak berkuasa di rumah persembunyiannya pada pagi semalam.”
Suara pembaca berita membuatkan tubuh Laura yang bersandar, tertegak. Alat kawalan jauh dilempar atas meja. Sekelip mata, bunyi tepukannya bergema di setiap sudut kedai.
“Dah kena tangkap pun. Kau ingat, kau boleh terlepas selepas bunuh orang? Apa masalah kau, hah? Seronok sangat ke membunuh? Dasar pentingkan diri sendiri. Hati manusia ke binatang! Meringkuk la kau dalam penjara! Kena gantung lagi bagus!” bebel Laura. Tangan mengipas muka sendiri. Hilangkan rasa panas sebelum semua organ dalam badan terbakar rentung!
Selang sesaat, dia memicit dahinya. Riak marahnya bertukar jadi gundah. Detak jantung cuba diredakan. Penjenayah bernama Mok tu memang la tak ada kena mengena dengan dia tetapi perbuatan lelaki tu mengingatkan dia pada seseorang. Seseorang yang menjadi alasan, mengapa dia terlalu membenci perkataan penjenayah.
“Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Kau lari ke mana pun, bayangan kejahatan kau akan menghampiri kau balik. Suatu hari nanti. Pasti! Dan aku akan tunggu bayangan kejahatan kau, bawa kau kembali pada aku, Iskandar!” getus Laura.
Kedua-dua tangan terkepal. Gigi diketap. Urat tepi matanya tenggelam timbul. Berkerut-kerut wajah menahan rasa sakit sekali gus kebencian yang tersimpan di dalam hatinya bertahun-tahun.
Mata dipejam erat.
“Kalau la kau muncul depan aku, Iskandar...” Laura ketawa kecil. Tawa yang berselirat dengan rasa pedih dan benci.
Reda dari rasa marah, dia buka mata perlahan-lahan. Saat matanya terbuka, satu imej berdiri tegak didepannya.
“Bodoh!” Terjerit Laura. Lantang. Hujung kaki di lantai, tertolak. Hampir saja kerusi yang didudukinya terbalik ke belakang.
Sorry... Sorry. Saya tak sengaja. Tak bodoh. Pandai... Pandai.” Bingkas Laura berdiri. Mulut ditampar perlahan.
Biasa tu, melatah maki orang!
Dah gila agaknya dia ni. Dalam banyak-banyak perkataan, kenapa perkataan bodoh juga yang terkeluar. Serba-salah jadinya. Bukan senang pelanggan nak masuk dalam kedai menjual buku lama ni.
“Ya, encik?” Laura tenangkan suaranya. Tersengih-sengih dia di situ. Dalam diam, dia cuba mengamati wajah yang tertunduk itu. Namun, cermin mata hitam yang dipakai oleh lelaki itu menyukarkan dia untuk mengecam.
Perlahan-lahan Laura merendahkan kepalanya. Nak usyar anak teruna orang!
Seperti tahu Laura ingin mencari wajahnya, lelaki itu berpusing. Berpura-pura menilik buku-buku yang tersusun di rak.
“Saya cari sebuah buku lama. Ada?”
Laura di belakang lelaki itu, berkerut.
“Buku apa? Tajuk? Nama penulis?” Kalau buku lama memang la banyak. Sekurang-kurangnnya beritahu tajuk buku. Senang nak cari.
“Penulis, Laura,” beritahu lelaki itu.
“Laura?” Laura tersentak. Itu namanya.
“Laura Isabella.”
Laura mengangguk. Komputer ribanya dihampiri.
“Tajuk buku tu apa ya?” Tangan galak mengetik tetikus. Dia pun tak berapa tahu kalau ada penulis nama Laura Isabella.
“Iskandar...”
Tangan Laura membeku. Hujung matanya bingkas mengerling lelaki itu. Rentak jantungnya berubah. Bibir terkemam rapat. Rasanya tak ada penulis bernama Laura Isabella menulis buku bertajuk Iskandar. Yang ada cuma seorang Laura yang mengenali Iskandar.
Dan itu adalah dia!
Cepat-cepat dia sekolahkan wajahnya biar tenang.
“Sekejap ya. Saya cari dekat belakang.” Laura berdiri tegak. Dengan senyuman palsu, dia berjalan melalui lelaki itu.
Bila lelaki itu menunduk saat sekali lagi dia cuba mengecam wajah itu, hati Laura semakin tak enak.
Miss Laura...” Tak semena-mena, suara garau itu mengalunkan namanya.
Langkah Laura termati. Nafasnya terasa semput. Tanpa menghiraukan lelaki itu, dia meneruskan langkahnya.
“Aku tahu, kau Laura.”
Laura tergamam sejenak. Bebola mata dibawa ke tepi. Saat terasa derap kaki itu merapatinya, dia berganjak mendekati rak buku paling hampir dengannya. Tanpa sebarang amaran, laju dia menarik beberapa buah buku. Sepantas kilat, Laura berpaling. Buku di tangannya dicampak secara rambang.
Namun, tangkas dielak oleh lelaki itu. Pergerakkannya dapat dibaca oleh lelaki itu. Saat dia melompat, cuba melarikan diri, bahunya ditarik. Tubuhnya terdorong ke dada itu. Bila dia angkat wajah, lelaki itu cekap membalikkan tubuhnya. Tangan keras itu melintang dilehernya. Nafas kencangnya mendominasi setiap ruang kedai.
“Apa kau nak?” Mata gadisnya mencerlung garang.
“Aku nak cakap dengan kau.” Terasa bibir lelaki itu hanya seinci dari telinganya.
“Aku tak kenal kau...” Kempis perut Laura saat mata sebilah pisau bersentuhan dengan perutnya.
“Tapi kau kenal Iskandar.”
Tangan Laura sudah mencengkam erat tepi seluar jeans. Kepala lututnya menggeletar.
‘Apa masalah yang kau bawa kali ni, Iskandar?’

 ......................

“NAIK!”
Laura keraskan badan. Tangan yang dikilas, cuba direntap.
“Sementara aku cakap elok-elok, baik kau naik. Jangan sampai aku lupa yang aku ni manusia. Masa tu baru kau akan menyesal.” Fateh tolak Laura supaya mara ke depan. Sesekali betis itu ditendang perlahan sebagai isyarat kepada Laura yang masih berkeras.
Tak semena-mena, Laura ketawa kecil. Rontaannya termati.
“Lupa jadi manusia? Kalau kau sedar kau manusia, kau akan berlembut? Jangan buat lawak la.”
“Apa yang lawak?” Fateh dekatkan bibirnya pada rambut itu. Berbisik perlahan dengan suara seakan mencabar gadis itu.
“Manusia zaman sekarang, walaupun mereka sedar mereka manusia, tetap juga perangai serupa binatang!” hambur Laura penuh kebencian.
Fateh terkesima. Seketika kemudian, dia tersenyum sinis. ‘Lebih teruk, ada manusia yang berperangaikan setan!’
“Aku tak nak cakap banyak dengan kau. Naik sekarang. Naik!” Sekali lagi tubuh Laura ditolak.
Fine! Aku naik.” Laura lembutkan badannya.
Melihat Laura tak meronta seperti tadi, Fateh longgarkan cengkamannya. Namun, dia tersilap langkah. Lembutnya Laura bukan selembut gadis lain. Saat terasa cengkaman di tubuhnya semakin longgar, Laura bingkas menarik tangannya. Sepantas kilat dia memusingkan badannya. Sebaik saja dia terpusing sepenuhnya, mata sudah berada betul-betul di hadapan wajah lelaki itu.
Bertentangan!
Fateh terdongak dek kepantasan Laura. Sedar mereka saling berhadapan, laju dia mencengkam pinggang gadis itu. Kemudian, sekuat hati dia pusingkan kembali gadis itu. Laura tak mengalah. Tangannya terawang-awang cuba melepaskan diri, namun Fateh pantas menyilangkan kedua-dua tangannya sekaligus memeluk erat tubuhnya dari belakang. Sebelah tangan lelaki itu menutup mulut Laura, menghalang jeritan.
“Diam kau!” bentak Fateh. Belakang tubuh gadis itu ditekan rapat pada tubuhnya. Bila Laura masih cuba melepaskan diri, lagi kuat pautannya.
“Naik! Naik la perempuan!” Tubuh Laura didorong secara paksa menaiki tangga.
Laura menyeringai kuat. Bila lelaki itu semakin ganas menolak, dia terpaksa relakan kakinya memijak anak tangga menghala ke bahagian atas kedai bukunya itu.
Woi, apa hal aku kena pakai macam ni? Malu siot!” Satu suara muncul di belakang.
Terpejam mata Fateh saat suara Sairez bernada di belakang. Tak nampak ke dia tengah susah tahan minah yang asyik memberontak ni? Laju dia berpaling sampaikan Laura terpusing sekali.
“Lantak la, kau nak pakai apa sekali pun. Kau tak nampak ke malaun ni tengah histeria?” herdik Fateh.
Berhinggut bahu Sairez. Bila muka diangkat, dia tergamam. Cepat-cepat dia sorokkan muka di sebalik rambut panjangnya bila mata Laura terarah padanya.
“Kau tengok keadaan dekat bawah ni. Clear atau tak. Kalau ada orang datang, kau tahu apa nak buat, kan?”
“Ya bang... Saya tahu apa nak buat,” balas Sairez dengan rambut masih dibawa menutupi wajahnya.
Fateh tarik muka. Bang??? Nak termuntah dia dengar suara jantan yang dah bertukar jadi macam perempuan miang. Lagi nak termuntah bila Sairez muncul bersama jubah perempuan. Ketat pula tu.
Mata Laura tak berkelip pandang pondan di hadapannya. Make up macam badut! Merah sana sini.
Bukankah zaman sekarang, peratusan kecantikan pondan lebih tinggi dari perempuan ke? Tapi pondan di depannya buruk tahap nak muntah.
“Dah, naik atas sekarang,” arah Fateh. Tubuh Laura didorong kembali ke tangga.
“Bang... Lepas ni you kena sayang I lebih. I dah buat ni untuk you, tau. I love you, bang...” Sempat Sairez berlakon gaya-gaya sotong lembik saat Fateh dan Laura sudah tiba di muka tangga bahagian atas.
Meremang bulu tengkuk Fateh. Bengang aje dia dengan Sairez. Dia suruh menyamar ala-ala gugurlz. Tapi Sairez dah macam pondan sejati. Ni bukan buat iman tergugat tapi sekali jantung dan limpa nak terburai dari badan.
Satu lagi, minah ni. Tak habis-habis dok ‘umph-umph-umph!’ Dah tahu mulut kena pekup, diam aje la. Sibuk nak bercakap. Tanpa menunggu lama, Fateh terus menarik Laura masuk ke dalam ruang atas. Tanpa belas, tubuh itu ditolak atas katil.
“Kalau kau tak nak mulut kau kena sumbat dengan apa-apa, kau diam!”
Sebelum Laura buka mulut, Fateh dah beri amaran. Laura kemam bibirnya rapat-rapat. Mata pula meliar mengikut gerak-geri Fateh yang seperti mencari sesuatu. Dalam masa yang sama, pandangannya terarah pada pintu keluar. Namun, teringat si pondan berjaga di bawah, niatnya terbantut.
“Jangan fikir nak lari.” Fateh muncul di hadapannya.
Laura angkat wajah. Fateh cepat-cepat larikan mukanya. Beberapa saat kemudian, tangan Laura ditarik ke belakang dan diikat dengan selimut bujang milik gadis itu. Sapu tangan panjang dililitkan pada mata gadis itu.
“Kau kenal Iskandar?” soal Laura tak semena.
Fateh tak menjawab sebaliknya melepaskan nafas penat. Boleh tahan kuat juga perempuan ni. Sampai semput nafasnya sekejap. Punggungnya dilabuhkan di depan gadis itu. Seluruh wajah itu diratah dengan rasa aneh. Cermin mata hitamnya, dibuka. Kolar baju yang menutupi bahagian mulutnya, diturunkan.
“Kau pernah bercinta dengan Iskandar?”
Laura terkesima. Tangan dibelakang, terkepal.
“Iskandar...” Perlahan Laura menyebut sepotong nama itu. Kemudian, dia diam. Bibir merapat. Ada getaran di situ.
Fateh mengerutkan dahi. Anak matanya turun pada bibir itu. Setiap pergerakan itu direnung teliti. Gaya Laura seakan cuba menahan sesuatu. Dan semua terjawab bila perlahan-lahan air mata mula melewati pipi gadis itu. Menuruni dengan perlahan sehingga ke dagu itu.
‘Dia menangis...’ bisik suara Fateh.
“Saya bencikan dia!”

You May Also Like

0 comments