Bab 1 Aku Di Sini

by - July 21, 2018





BAB 1



Tahun 2016…
LANGKAH tetap dimajukan. Marah berkepul-kepul dalam dada. Cahaya sang rembulan indah tapi tidak mampu menarik perhatiannya. Ikutkan hati mahu saja dia bertempik. Tapi kalau semua kenderaan yang lalu lalang di tepi jalan berhenti mengejut, macam mana? Yang lebih parah, orang akan ingat dia gila. Tak pasal-pasal muncul ambulans hospital sakit jiwa nanti!

Sebab Razif. Lelaki tu memang sengaja cari nahas. Berbuih mulut suruh lelaki tu selesaikan masalah mereka tapi tak dilayan. Sengaja buat bodoh. Sebab itu dia dengan muka tak malunya pergi serang Razif dalam kedai makan. Tak pasal-pasal dia campurkan nasi lelaki tu dengan jus epal. Makan la nasi goreng berkuah jus epal. Padan muka!

“Dia ingat aku takut? Ni Ara la! Dulu kau boleh budak-budakkan aku, sekarang tak mungkin. Hak wanita mesti diperjuangkan! Hak sendiri perlu ditegakkan!” 

Ibu jari dilalukan secara melintang di leher. Isyarat ‘mati’. Lengan baju disingsing sedikit. Samseng la konon. Matanya penuh rasa tidak puas hati. Rasa macam nak pergi balik dekat kedai makan tu. Macam tak cukup lagi nak malukan si Razif.

“Patutnya aku buat lagi teruk dari tadi. Biar sampai dia segan nak tunjuk muka dekat situ,” ujarnya sendiri. Tangan kanan menumbuk tapak tangan kiri. 

Kerana rasa tidak puas hati yang bermaharaja lela, Ara berhenti melangkah. Berpusing menghadap tempat serangannya tadi. Mencari kelibat Razif tapi tiada. Kenapa lelaki tu tak kejar dia lepas apa yang dia buat tadi? Ara mencebik meluat.
Baru ingin meneruskan langkah, matanya menangkap satu figura yang berlari laju ke arahnya. 

“Lajunya lari.” 

Ara menggeleng. Lelaki itu lari dari apa agaknya? Bersungguh benar. Tak sempat otak buat telahan, tiba-tiba saja tubuh itu berhenti dihadapannya. Terjuling sekejap biji matanya ke atas.

‘Dah kenapa lelaki ni? Dia ni…’ 
Kata hati terjeda saat lelaki itu tiba-tiba membuka jaket coklat dari tubuhnya. Kemudian, sepantas kilat membalikkannya. Jaket dipakai secara terbalik. Tangan lelaki itu juga tangkas menyangkut cermin mata di hidung. Rambut diserabaikan dengan sebelah tangan.

Rasa kelopak mata hilang melihat tindakan pantas lelaki itu. Saat mata tak berkerdip, saat itu juga Ara menangkap tiga tubuh lain berlari dari arah belakang lelaki itu. Tanpa sempat otak mencerna apa yang terjadi, tubuhnya terasa didorong kuat. Sedar-sedar dia tersandar pada sebatang pokok. 

Dan. 

Di depannya ada lelaki tadi.

Lelaki dengan jaket terbalik. 

Kalau tadi kelopak mata hilang, sekarang rasa macam kornea mata pula berterabur. Pegun dia melihat lelaki yang mengepungnya di sebalik pokok. Sebelah tangan lelaki melintang betul-betul di tepi wajahnya. Sedikit lagi kulit hampir bersentuhan. Wajah mereka terlalu dekat sehingga nafas panas itu menyapa pipi. Tapi kenapa bukan hanya pipi yang terasa panas tetapi sekali hatinya terasa panas? Panas yang buat dia selesa.

‘Apa kau fikir ni Ara? Sedar diri. Lelaki tu depan kau. Dekat kau dan badan kau dah bersentuhan dengan lengan dia!’

Ara tersedar, laju tangannya naik menolak badan lelaki tegap tu. Tapi, belum sempat dia menolak, dia dibentak.

“Diam!” 

Pergerakan Ara terkunci. 

Bukan kerana arahan gemersik dari lelaki tu tetapi kerana pisau! Lambat-lambat dia menunduk. Kering air dalam badan. Hujung mata pisau betul-betul di perutnya. Ara boleh rasakan betapa dahaganya pisau itu terhadap darah manusia. Kalau dia mara ke depan, esok juga keluar dalam surat khabar, ‘seorang gadis mati ditikam berhampiran sebuah kedai makan’.

“Kau diam, kau selamat!” Sekali lagi suara tu berbisik tegas.

Dari manusia, dia jadi patung. Peluh merintik di dahi. Segala organ dalamannya bergetar. Ni dah kira macam kena bayar cash. Tadi dia cakap dia bakal bunuh Razif tapi sekarang dia pula hampir jadi mangsa pembunuhan.

Ya Allah, selamatkan aku.

“Cari dia sekarang. Aku tak kira, kita mesti dapat dia malam ni juga!” 

Mata gadisnya dilirik ke tepi. Jelas tiga orang yang berada tidak jauh dari mereka sedang berlegar-legar seperti mencari seorang. Malah suara kasar nekad itu juga kedengaran jelas di telinganya. Ara melopong.

“Jangan buat apa-apa kalau nak hidup!” 

Suara serak itu menampar lagi telinganya. Lelaki itu menyengetkan sedikit wajahnya ke bahu Ara. Pipi mereka hampir bersentuhan. Nafas dingin lelaki itu terasa meresap jauh ke dalam kulit lehernya.

“Bajingan! Teruskan cari. Dia masih ada dekat sini. Dia tak kan pergi jauh. Kalau dapat, mati dia aku kerjakan!” 

Ara telan air liur. Apa dah jadi dengan malam ni? Semua asyik sebut pasal mati saja. Dalam saat nyawanya tiada kepastian sama ada bakal diragut atau tidak, Ara menilik wajah di depannya. 

Mata di sebalik kaca mata hitam itu, dia tak tahu bagaimana rupanyanya. Tetapi hidung lelaki tu mancung. Bibir itu nipis di atas dan sedikit tebal di bawah. Kulit lelaki itu lincin tetapi bukan seperti selebriti korea. Lebih kepada kulit jantan. Kulit maskulin yang menambahkan lagi ke‘macho’annya.

Macho? Gila ke Ara? Macho apanya kalau dia tengah tunggu masa nak tikam kau? Tapi sekejap! Lelaki itu nampak seperti sedang menyembunyikan wajahnya. Mungkinkah, lelaki ini yang dicari oleh tiga orang lelaki tadi. 

Ara tercengang. Hati mula berdoa supaya tiga lelaki yang sedang berlegar-legar itu melihat mereka. 

Dan, zap!

Salah seorang dari tiga lelaki itu memandang ke arah mereka. Ara ingin bergerak tapi bibirnya ditekup. Begitu rapat tapak tangan keras itu pada mulutnya sampai semput. Buat sekian kalinya, mata terjuling ke atas. Menikam kaca mata hitam yang bergerak bila lelaki itu membengiskan wajah.

“Jangan berangan panggil mereka atau kau benar-benar mati!” 

Dan itu bunyinya seperti amaran terakhir. Laju Ara memejamkan mata. Kembali jadi patung. Dia belum mahu mati. Jangan la ajalnya sampai hari ni. Mak, tolong!
.............


pesanan penulis : Ini raw version yang mungkin ada kesalahan ejaan dan tatabahasa. Untuk mendapatkan novel AKU DI SINI, boleh wassap ke nombor 0174990467
pre order : RM 26 + postage RM 7
enjoy!



You May Also Like

0 comments