BAB 13 Hana dan ayie

by - November 02, 2018



Hana mengambil sepeket agar-agar sebelum menapak ke arah deretan tin susu cair. Sesekali dahinya berkerut bila terasa dirinya diperhatikan. Pantas dia berpaling ke tepi. Ada dua orang mak cik memandangnya aneh. Memandangnya seperti dia buat kesalahan besar.

Hana mengeluh berat. Tak perlu diberitahu pun dia dah tahu kenapa orang memandangnya pelik. Mesti hal perkahwinan tu. Malas nak melayan pandangan orang lain, laju saja dia menapak ke arah kaunter. Membayar semua barang yang diambil. Kalau dia berlama dekat situ, tak mustahil dia bakal campak serbuk cili pada orang-orang yang memandangnya dengan muka getik.

Ingatkan orang taman sekarang ni dah tak jaga tepi kain orang tapi ada juga rupanya. Hana melangkah keluar dari kedai runcit itu dengan perasaan geram. Ini semua sebab Ayie! Apa-apa yang terjadi dalam hidupnya sekarang ni, semuanya sebab mamat hidung tinggi depan rumah tu!

"Hana?"

Hampir saja Hana tersadung dek brek langkahnyanya dengan rasa terkejut. Matanya terhala pada high heel empat inci didepannya. Cantik kasut! Perlahan-lahan dia angkat wajahnya. Dari kasut naik ke kaki, kemudian baju dan akhir sekali matanya bertentangan dengan sepasang mata tajam yang merenungnya.

"Jadi kau Hana?"

"Ya." Hana mengangguk jujur.
Kenapa muka perempuan ni macam tergigit halia? Siapa perempuan ni? Aku kenal dia ke?

"Linda!" satu suara dibelakang menjerit sedikit.

"Kak Liana?" Mata Hana terbuntang. Saat Liana berdiri sebelah perempuan muka halia tu, mata Hana bersilih ganti memandang kedua-dua wanita di depannya.

"Aku ingat perempuan ni cantik sangat sampai Ayie sanggup tolak kau. Tapi aku rasa sekarang aku patut menyesal sebab bayangkan budak ni cantik macam bidadari." ujar Linda dengan senyuman sinis bergayut di bibir.

Dahi Hana yang berkerut sebentar tadi mula tegang. Dia memang belajar setakat STPM, tapi dia tak bodoh nak analisis apa yang keluar dari mulut perempuan halia tu.

Semua ni ada kena mengena dengan Ayie! Hana pasti!

"Apa kau dah buat pada Ayie sampai dia tolak Liana hah?"

"Linda... Cukuplah tu!" Liana disebelah cuba menarik tangan rakannya tapi direntap kasar.

"Ini la masalah kau Liana. Lembut sangat. Sebab budak mentah ni Ayie tolak kau! Kau lagi nak bela dia?" garang gila suara minah halia yang bergaya dengan high heel berwarna biru laut ni.
"Kau ni perempuan tak tahu malu kan? Muda lagi tapi dah pandai merampas hak orang. Kau hasut Ayie sampai dia tak nak kembali dengan Liana. Apa yang dah cakap dengan Ayie, hah?" hambur Linda dengan muka tegang.

Dia bengang saat Liana bercerita tentang Ayie sambil menangis-nangis sampai bengkak mata. Disebabkan itu dia ambil keputusan drastik! Dia mahu tengok muka perempuan yang buat Ayie tinggalkan kawan baiknya. Tak ada la cantik macam ratu dunia. Dah la pendek!

"Tak tahu la apa jenis perempuan kau ni? Kau tahu Ayie sukakan Liana tapi kau nak juga kahwin dengan dia. Tak sangka hari ni aku boleh berhadapan dengan perempuan yang tak tahu malu. Memang padan la kau kena tinggal sebelum menikah. Agaknya tu hukuman untuk perampas macam kau ni!" hambur Linda lagi tanpa rasa bersalah.

Liana disebelah tak senang berdiri. Mata ditunakkan pada wajah keruh Hana. Ada beberapa pelanggan di kedai itu mula memberi perhatian kepada mereka sambil berbisik-bisik. Liana hanya menunduk dengan muka serba salah. Tak sangka Linda akan buat macam ni.
Tak berkelip Hana pandang muka berlagak Linda. Bibir digigit menahan marah. Dia malu bila melihat orang mula berbisik sesama sendiri. Lepas ni lagi banyak berita hiburan dekat taman ni.

"Dah habis maki ke?" empat perkataan yang keluar dari mulut Hana buat mata Linda bulat.
"Kau..."

"Stop!" Hana mengangkat tangannya.

Kali ni biar dia pula yang cakap. Apa? Ingat dia perempuan yang diam bila dibuli. Maaflah, dia bukan perempuan melayu terakhir. Teringat pada mimi yang diheretnya suatu ketika dulu sebelum mencampakkan tubuh tu ke dalam kolam. Rasanya kalau orang macam Liana ni, patutnya heret dan campak masuk lombong. Untung-untung ada buaya ngap sekali!

"Kau ni siapa? Perempuan simpanan Ayie?" soal Hana dengan mulut senget tepi.

Terbeliak biji mata Linda dengan soalan itu. Liana sebelah mula mengangkat muka. Berkerut dahinya melihat muka Hana yang hilang keruhnya.

"Ops! Rasanya bukan perempuan simpanan ni. Kawan kak Liana eh? Kiranya pembela la ni?" sambung Hana lagi dengan muka sengaja dijahatkan. Kita tengok siapa yang bakal pulang dengan muka malu hari ni!

"Buat pengetahuan kau, aku dengan Ayie tak ada apa-apa dah. Kalau kau nak mengamuk sebab Ayie tak terima kawan kau ni, apa kata kau pergi serang Ayie. Aku tak hasut apa-apa tapi kalau dia tak nak terima kawan kau, itu bukan masalah aku. Dah la, sakit telinga tau dengar langau bising." sindir Hana dengan muka selamba.

Hana membalas senyuman sinis Linda sebelum berlalu. Baru dua tiga langkah dia melepasi Linda dan Liana, dia berhenti. Telinganya yang dilapisi kain tudung, dijolok.

"Ada tak putik kapas dekat rumah? Tiba-tiba rasa kena korek telinga sebab dengar langau berbunyi. Hesy!" soalnya sendiri dengan nada sedikit kuat. Saja nak bagi Linda sakit hati. Ambik kau!

"Hei!!!"

Hana terkaku. Aku ada nama la!

"Patutlah Ayie tak nak kahwin dengan kau, kurang ajar rupanya. Memang macam ni la perangai budak tak belajar tinggi kan? Tak tahu adab." Linda masih tak nak mengalah.

Liana di sebelah melepaskan tangan kawannya. Kali ni dia tak menghalang Linda lagi. Dia pun sakit hati dengar Hana membahasakan kawannya. Boleh tahan mulut budak ni.

Kurang ajar? Siapa kurang ajar ni? Orang yang datang serang orang tu la yang kurang ajar bukannya dia! Hana berpaling dengan muka bersahaja. Sedaya upaya menyembunyikan hatinya yang semakin berdarah. Ayie, semua ni sebab kau! Aku pijak juga mamat tu!

"Tak ada adab? Kau kata dekat aku atau diri sendiri? Kesian betul la aku dengan kau ni. Kau belajar setakat mana? Ijazah? Master? PhD? Hello, kalau budak tadika tengok kau sekarang pun mereka boleh bezakan siapa yang tak ada adab. Orang yang tiba-tiba datang serang orang tu yang tak ada adab. Kau tak belajar eh?" Hana mengangkat satu kening dengan muka mencabar.

"Aku yang belajar tak tinggi pun belajar pasal semua ni tapi kau yang belajar tinggi tak tahu bezakan yang ada adab dan yang tak ada adab." Jari hana terhala pada diri sendiri saat perkataan 'ada adab' keluar dari mulutnya. Bila mulutnya sebut 'tak ada adab' dengan muka badak, dia halakan jari pada Linda. Telan kau!

"Agaknya kau ni belajar tinggi dan dapat sijil dengan ngelat kut. Entah-entah kau goda pensyarah untuk dapat sijil kau yang kononnya tinggi tu. Kesian, baru pertama kali aku tengok orang belajar tinggi tapi bila bercakap macam orang tak ada akal. Kesian sangat." Hana menyindir sambil menggeleng dengan muka kesian. Tahap kesabaran dia rasanya berada di paras tengah ni. Kalau sampai tahap maksimum, jangan dibayangkan apa yang dia mampu buat.

"Hei budak! Jaga mulut tu sikit." Linda nampak sedikit teragak-agak lepas dibahasakan oleh Hana. Itu la, lain kali sebelum nak marah-marah, buat research dulu siapa Hana Fahira ni!

"Diamlah!" Hana menjerkah sedikit kuat.

"Aku tak tahu kau siapa, tiba-tiba datang serang aku. Kalau ya pun kau ni kawan kak Liana, kau tak ada hak nak masuk campur dalam hal kami. Sepatutnya kak Liana yang marah-marah bukannya kau yang ter 'over' marah! Kau tengok, kak Liana rileks je, kau yang melebih." marah Hana bengang sebelum matanya tertunak pada Liana yang sedari diam. Dia bahasakan Liana, kakak sebab dia masih hormat!

"Kak Liana, tolong la nasihatkan kawan kak Liana ni. Hana dengan abang Ayie dah tak ada apa-apa. Hana dah tak masuk campur dalam hal dia. Kalau ada benda yang dia buat kak Liana terkilan, Hana harap kak Liana bincang dengan dia dan bukannya malukan Hana macam ni. Hana tak tahu apa masalah kak Liana dan abang Ayie tapi satu benda yang hana minta. Jangan ganggu Hana lagi!" pesanan dititipkan pada Liana sebelum berlalu.

Tak sangka hari ni dia dimalukan tanpa tahu apa salah dia. Apa yang Ayie dah buat pada Liana sampai dia diserang? Sejujurnya dia malu bila hal perkahwinan itu diungkit. Depan ramai orang pula tu.

Memang dia pernah terhegehkan Ayie tapi semua tu dah berlalu. Dia dah terima kenyataan. Dia salahkah ganggu Ayie sedangkan tahu lelaki itu ada kekasih. Ya! Dia salah tapi patutkah dia dimalukan macam tu? Bukan dia yang minta cinta tu datang. Perasaan tu datang sendiri, kenapa dia pula dipersalahkan.

Tanpa sedar air matanya menitis perlahan. Rasa sedih membelenggu jiwa dan hatinya hingga buat pandangannya kabur dengan esakan tangisan yang mula hadir. Ni semua salah Ayie! Semua salah lelaki tu! Benci Ayie!!

You May Also Like

0 comments