BAB 19 Hana dan Ayie

by - November 02, 2018



Ayie gelisah dalam biliknya. Cukup lima hari Hana buat tak nampak dia. Marah betul perempuan tu. Bukannya dia buat apa pun. Ajak kahwin je. Itu pun Hana kata dia menghina. Tak faham betul la dengan perempuan. Tak faham!

Sabar Ayie...sabar!

Nafas ditarik berkali-kali sebelum mukanya dihalakan pada cermin meja solek biliknya.

"Minah gila...minah gila..minah gila! Kenapa aku asyik teringatkan kau hah?" jeritan Ayie bergema.

"Keluar! Keluar..keluar..." tangan galak mengetuk kepala sendiri. Nyah kau Hana! Berambus kau ke dunia ketujuh!

Namun...

Ayie kalah. Hana tetap duduk dalam ingatannya. Agaknya perempuan tu guna gam apa sampai kukuh macam ni sekali. Dengan Liana tak macam ni pun. Menyesal reject Hana dulu. Sebab dia berlagak tak nak dekat Hana, Allah dah terbalikkan hati dia. Padan muka, siapa suruh kau berlagak? Sekarang kau hidup la sambil teringat budak mentah depan rumah tu. Budak tu dah tak hairan dengan kau la.

Adam Syah! Teringatkan lelaki tu, buat darah Ayie naik mendadak. Lelaki tu jenis pandai berlagak padahal tak tahu apa-apa pun. Tapi hairan juga dengan jiran sebelah rumah Hana tu. Dalam seminggu, rasanya sekali je nampak dia dekat rumah dia tu. Dalam sehari pula, hanya beberapa jam je lelaki tu disitu. Adam Syah buat rumah tu sebagai rumah transit je ke? Tapi bagus juga dia jarang ada rumah. Tak ada la Hana jumpa mamat tu hari-hari.
Adam Syah! Poyo je lebih! Kenangan dua hari lepas mula terbayang di mata.

....
Kereta dipakir sambil kerutkan. Tanpa mengambil masa yang lama, Ayie pantas keluar dari kereta dan menghampiri mamanya dan Puan Azura di muka pintu.

"Assalamualaikum..."

"Waalaikumussalam. Balik dah pun anak bujang seorang ni." tegur Puan Rahimah dengan senyuman.

"Apa yang tak kena ni? Muka mak cik macam ada masalah. Ada apa-apa ke mak cik?" tanya Ayie bila menangkap seraut wajah Puan Azura yang seakan ralat.

"Ni hah, pili rumah mak cik tu tercabut. Anak dara ganas tu punya hal la. Mak cik nak datang tanya mak kamu ni kalau dia kenal siapa-siapa nak repair. Orang yang selalu mak cik panggil tu bercuti pula dengan keluarga dia." Puan Azura mengeluh panjang.

"Paip je ke? Kalau macam tu biar Ayie tengokkan. Mana tahu Ayie boleh tolong baiki." Pantas Ayie menawarkan diri.

Depan bakal mak mertua tak jadi, wajib ambil hati. Nasib Puan Azura ni jenis tak berdendam.

Ya la tu! Puan Azura ingat dia terpaksa tinggalkan majlis tu sebab nak selamatkan Liana. Kalau la mak Hana tahu dia memang ada niat nak buat macam tu, tak maknanya mak Hana ni nak baik dengan dia.

"Boleh ke? Hesy! Tak payah la. Kamu kan baru balik kerja, tak kan mak cik nak menyusahkan kamu."

"Tak apa la mak cik. Hari ni kerja dekat pejabat pun tak banyak. Tak penat pun. Setakat paip tu ada apa hal."

Siapa kata kerja pejabat tak banyak? Banyak sampai dia rasa pening. Penat jangan kata la, tapi demi mak Hana, dia rela! Penat pun penat la. Untung-untung boleh tengok muka Hana. Lama dah tak nampak perempuan tu berkeliaran depan rumah.

Rindu? Ye ke?

"Betul tu Zura. Tak pa, suruh je Ayie. Anak aku ni pun pandai juga baik membaiki ni. Kadang-kadang kalau ada apa-apa rosak, dia yang buat." Puan Hamidah mencelah.

"Kalau macam tu, baguslah. Tolong la mak cik ya. Paip utama tu dah kena tutup sebab nak sekat semua air. Kalau buka, memancut air keluar. Banjir pula rumah mak cik nanti." omel Puan Azura.

"Midah, aku balik kejap ya. Pinjam anak kau ni sekejap." tambah Puan Azura, sekali lagi dengan seloroh.

Puan Azura berlalu dan Ayie hanya membuntui langkah jirannya. Saat kaki hampir menapak masuk ke perkarangan rumah Puan Azura, kakinya terhenti.

"Mak..."

"Hana..."

Puan Azura dan Hana saling berpandangan. Hana menjeling lelaki yang tegak dibelakang emaknya. Kenapa pula mak panggil mamat ni? Matanya menilik wajah yang jelas kepenatan itu. Mesti mamat tu baru balik kerja sampai baju kerja pun tak reti nak tanggal.

"Hai mak cik..."

Ayie angkat muka dari memandang Hana. Rasa nak menjerit je bila melihat gerangan yang berada di sebelah Hana. Panas!

"Adam... Kenapa Adam ada dengan Hana?" Puan Azura mencari tahu.

"Hana yang panggil abang Adam. Mak, abang Adam cakap dia boleh tolong kita. Kata dia, setakat pili tercabut, hentak kaki je boleh siap." cerita Hana teruja. Tersenyum dia memandang Adam yang tersengih bila dipuji.

Ayie bengang. Apa? Hentak kaki boleh siap?
Ahli sihir ke? Cakap sikit punya besar mamat ni.

"Ye ke? Mak dah minta tolong Ayie ni."
Hana mencebik bila emaknya menyebut nama Ayie.

"Kalau macam tu, biar kami tengok sama-sama. Mana tahu dia ni tak boleh buat, saya boleh buat." Adam yang diam mula bersuara.
Ewah! Bukan main kau ya. Siapa yang tak boleh buat ni?

"Jom la masuk." Puan Azura mula melangkah masuk diikuti Adam yang tayang muka pandai.

Hana melihat emaknya sebentar sebelum memandang Ayie yang masih statik di tempat dia berdiri tadi. Satu jelingan tajam diberikan sebelum Hana sendiri laju mendapatkan Adam dengan senyuman. Bernanah hati Ayie.

Sampai di dalam bilik air, Adam dah tunjuk kehebatannya tapi...

"Macam mana nak buat ni?"

"Pusing sini?"

"Kenapa tak melekat?"

"Hesy! Kenapa tak boleh ni? Bla..bla... Bla..."

Ayie mengeluh sinis. Tadi kata pandai buat sangat. Ni la orang cakap bodoh sombong! Tak reti tak payah nak tunjuk hebat la. Sakit matanya melihat Adam memegang pili di tangan sambil cuba mencantumkan dengan paip. Bongok betul mamat ni.

"Abang Adam ni pandai buat atau tak? Tadi kata pandai." Hana mula bengang. Lama dah tunggu. Sempat la dengar Adam asyik cakap dengan diri sendiri.

"Biar aku buat." Ayie mara malah cuba merampas tapi badannya ditolak Adam.

"Tak payah menyibuk la. Aku tahu la nak buat." keras suara Adam sambil berusaha gigih mencari akal.

Terdorong badan Ayie kebelakang. Hampir saja dia terjatuh, nasib ada tangan Hana menyelamatkan dia. Segaris sengihan diberi tapi dibalas dengan muka toya Hana. Mula la dia nak maki dalam hati.

"Sudah la tu Adam. Cuba bagi Ayie tu buat." Puan Azura mula masuk campur.
Kalau tunggu Adam, mahu sampai malam tak siap.

"Mak cik tunggu sekejap ya. Ayie balik rumah sekejap, ada benda nak ambil." beritahu Ayie tiba-tiba sebelum berlalu ke rumahnya.
Berkerut dahi Adam melihat Ayie. Tidak! Dia mana boleh kalah! Dia mesti kena cari jalan macam mana nak baiki benda alah tu. Tak kan la orang bijak pandai macam dia bodoh sangat sampai tak reti nak baiki pili tu.

"Abang Adam ni pandai buat ke tak? Dari tadi asyik pegang benda tu. Kerja tak jalan-jalan juga. Pandai buat ke tak?" Hana dah bercekak pandai.

"Abang tahu la!"

"Tahu? Abang dah nak dekat setengah jam abang renung benda tu. Abang tengah tengah fikir formula untuk betulkan paip tu ke? Cakap dengan Hana, abang pernah baiki benda macam ni atau tak?" Mata Hana dah terjegil besar.

Lenguh kaki berdiri dari tadi. Tengok muka Adam, rasanya macam otak lelaki tu kosong. Habis tadi yang dengan bangga kata semua benda tu boleh siap dengan hentak kaki, kenapa?

Adam mula berdiri tegak dengan mulut mula mengembung. Rasa nak sepak-sepak je benda yang rosak tu.

"Tak pernah buat tapi abang boleh buat la."

"Apa?" mulut hana ternganga. Hesy! Rupanya tak pernah buat benda ni semua. Jatuh saham beb!

"Sini Ayie betulkan."

Ayie yang menghilang muncul semula. Kali ni dia muncul dengan satu gulungan benda bewarna putih. Macam salotip tapi bukan salotip. Pelik je Adam yang melihat.

"Pergi la!" bisik Ayie kasar sebelum menolak badan Adam.

Fair! Satu sama!

Terbeliak biji mata Adam saat terdorong ke belakang. Siot punya mamat! Di melihat Ayie yang mula membuat kerja. Pandai sangat ke lelaki tu buat? Kita tengok.

"Dah siap!"

Terbeliak biji mata Adam mendengar suara Ayie. Dah siap? Mata menjeling jam ditangan. Wow, Pantas!

"Simple je benda ni mak cik. Kalau biar saya yang buat tadi dah lama siap agaknya." sindir Ayie tepat pada batang hidung Adam.

Menggelegak hati Adam. Hana disebelah mencebik. Berlagaknya Ayie ni"

"Terima kasih Ayie. Nasib kamu ada."

Puan Azura menepuk bahu Adam tiga kali.tak nak anak muda itu berkecil hati.

Apa lagi? Tersengih macam kerang busuk la Ayie tu. Sekarang kau tahu siapa lebih hebat kan, Adam?

Tidak! Aku kalah dengan mamat ni. Aku tak boleh terima. Malu wei! Malu! jerit hati Adam Syah. Rasa nak pekup muka dah ni.

"Abang Adam okey ke? Kesiannya abang Adam sampai berpeluh macam ni. Apa-apa pun terima kasih dekat abang Adam sebab sanggup susahkan diri untuk tolong kami walaupun tak berjaya nak baiki paip tu." hana tersengih dalam.

"Jom la ke depan. Hana buatkan air untuk abang Adam." dengan kata-kata itu, hana berlalu. Puan Azura turut berlalu.

Apa Hana? Air untuk abang Adam? Untuk abang Ayie kau tak pelawa. Memang bagus betul kau ni hana. Orang lain yang berjaya baiki, orang lain pula kau layan. Oh dunia? Mengapa kau tak adil pada lelaki yang hatinya tengah bengkak tu. Ayie menggumam geram.
....

"Woi!"

Ayie terkesima. Hilang terus kenangan semalam. Memang bengang betul dengan Hana. Memang betul minah tu buatkan minuman untuk Adam je. Dia? Hana buat tak layan. Bila Puan Azura menegur baru hana rajinkan diri untuk buatkan minuman untuk Ayie. Itu pun dengan muka tertelan baking powder! Adam lagi tak boleh tahan. Senyum sinis macam dia pemenang tempat pertama.

"Woi, Ayie!"

Sekali lagi Ayie terkesima. Tadi dia terkejut pun sempat nak berangan. Hesy! Muka diangkat dan dia sedikit tergamam.

"Abang long? Bila sampai wei?"

"Lama dah. Aku terjerit dekat bawah tapi kau tak dengar. Aku naik atas, nampak la kau tengah termenung. Apa yang kau termenung?"

Ayie diam. Tanpa menghiraukan Mizal, dia menapak kembali ke katilnya. Melabuhkan punggun di birai katil.

"Kau apa hal bro? Tak semangat je aku tengok. Kau teringatkan Liana ke apa?"

Liana? Dah lama tak dengar khabar perempuan seorang tu. Dah sampai ke Singapura atau masih dekat Malaysia?

"Bukanlah. Aku dengan Liana, over." jari yang dicantum dirungkaikan. Kononnya dah putus.

"Serius? Aku ingat kau dah tahu kenapa dia tolak kau, kau nak terima dia balik." Mizal turut mengambil tempat di sebelah adiknya.

"Entahla abang long. Hati ni macam suram nak terima dia balik. Walaupun dia tak salah, Ayie rasa macam..."

"Perasaan tu hilang?" sampuk Mizal pantas.
Ayie mengangguk. Binggo!

"Sejujurnya, abang long dah lama agak benda macam ni akan jadi. Bila kau kata nak sambung balik cinta kau orang tu, abang long dah nampak kamu tak excited macam dulu. Tapi tadi tu kau termenung apa? Masalah kerja?"

"Tak la..."

"Habis tu?"

"Susah nak cakap." Ayie mengeluh.
Kalau muka macam ni, mesti masalah perempuan. Tapi perempuan mana pula yang bawa masalah pada adik dia ni?

"Abang long rasa perasaan tu mudah berubah ke?" tanya Ayie lagak budak tak tahu apa-apa.

"Apa? Kenapa tanya abang long macam tu?" Mizal sedikit aneh.

"Relevan ke kalau kita putus dengan seseorang tu dan dalam masa yang singkat tu kita rasa kita sukakan orang lain. Seseorang yang kita tak suka. Yang rasa nak tolak dia jauh-jauh sebelum ni. Tapi bila dah berjaya tolak, rasa macam nak tarik balik. Bila dia jauh mula rasa..."

"Menyesal?" pintas Mizal dengan senyuman. Rasanya dia dah boleh agak kenapa adik dia serabut macam mati bini.

"Siapa perempuan tu?" soal Mizal bila Ayie hanya diam seolah berfikir.

"Abang long, kenapa abang tak cari peganti kak Mila?" soalan Mizal dibiarkan tak berjawab sebaliknya dia menyoal pula.

"Apa yang kau expect dari abang untuk soalan kau tu?"

"Tak la, abang ni dah tiga tahun membujang. Tak ada hati nak cari mak untuk si Zara ke? Tak kan abang tak jatuh cinta dengan mana-mana perempuan kut." selidik Ayie.

Tersenyum Mizal dengan soalan adiknya itu. Umur je dua puluh lapan tapi benda macam tu pun tak tahu nak fikir.

"Mencari orang yang kita suka tu mudah tapi mencari orang yang kita cintai tu susah. Lagipun dengan keadaan abang sekarang, abang tak boleh mendirikan rumah tangga semata-mata abang cintakan seorang perempuan. Dalam perkahwinan, cinta bukan segala-galanya. Banyak yang perlu difikirkan." jelas Mizal. Bayangan wajah arwah isterinya, terbayang. Rindu menyusup tangkai hatinya.

Hana minta satu je pada abang. Cuba fahami maksud perkahwinan. Bukannya sekadar ucapan, kata-kata terakhir Hana bermain di telinga ayie.

"Abang long, sebab abang dah pernah kahwin dan berpengalaman, apa maksud perkahwinan pada abang?" serius Ayie ingin tahu.

"Lah... Kenapa tanya abang macam tu?" Mizal sedikit aneh.

"Tak la... Cuma nak tahu. Se..sebab ada kawan dekat pejabat tu dia cakap perkahwinan bukan sekadar ucapan." tersekat sikit suara Ayie. Kalau dia petik nama Hana, banyak soalan dari Mizal nanti.

"Betul la tu. Perkahwinan bukan sekadar ucapan. Bukan macam kita cakap, jom kahwin dan dia terima. Dalam perkahwinan, cinta saja tak cukup. Tanggungjawab, bertolak ansur, pengorbanan dan toleransi, semua tu patut ada. Dalam perkahwinan dua orang tu perlu menerima pasangan seadanya. Pasangan yang bahagia bukan bermaksud mencari pasangan yang terbaik tapi perlu tahu cara untuk maaf dan memaafkan. Korban dan mengorbankan. Perkahwinan yang berjaya pula bukan mencari pasangan yang kita rasa terbaik untuk kita tapi mencari pasangan yang kita yakin dia adalah satu-satunya," hurai Mizal panjang lebar.

Tekun saja Ayie mendengar pensyarah di depannya berhujah. Dah macam pensyarah perkahwinan pula abang dia ni. Tapi itu la abang dia. Sekali cakap tak pernah mengarut. Kalau masa serius dia serius. Kalau masa berlawak dia berlawak. Tak macam adik dia yang kadang-kadang boleh tahan masuk air.

"Bila kita kahwin, baru kita tahu siapa sebenarnya pasangan kita. Sikap dia, cara dia. Benda yang aneh-aneh tentang dia. Tapi kita kena bukakan hati untuk terimanya seadanya. Itu baru namanya perkahwinan. Bukannya perkahwinan kerana cinta dan keinginan yang datang tiba-tiba."

Ayie mengangguk faham. Jadi maksud Hana, nak suruh dia terima Hana seadanya? Patut la Hana marah masa dia bongok ajak Hana kahwin dengan alasan nak tutup mulut orang. Bodohnya dia.

"Tapi abang masih pelik la. Kau tak pernah sentuh soal perkahwinan selama ni."

"Saja la nak tahu. Kan Ayie cakap ada kawan asyik merungut pasal perkahwinan dia. Oh ya, mana Zara?" baru teringat dekat anak buahnya yang berumur lima tahun. Kesian Zara, kecil-kecil dah hilang mak.

"Ada dekat bawah dengan opah dia. Asyik merengek nak jumpa Hana. Dari dalam kereta tadi asyik bising nak jumpa dengan Hana." adu Mizal.

Indahnya bila abang nya sebut nama tu. Stop. Jangan nak gila dekat sini. Walau baru semalam jumpa Hana kenapa dia rasa rindu lagi? Rasa macam nak jumpa Hana sekarang. Tapi macam mana?

Zara! Mata Ayie bercahaya tiba-tiba. Dah dapat jalan nak pergi tayang muka kacak dia depan anak jiran.

"Ye ke? Kalau macam tu nanti Ayie tolong bawa Zara jumpa Hana." Ayie tersenyum penuh agenda.

Berkerut sekejap dahi Mizal. Dah kenapa adik dia ni? Bukan selama ni dia paling liat kalau suruh Zara jumpa Hana ke? Kalau hana datang sini pun, Ayie macam tak nak keluar dari bilik. Dulu kalau Ayie cakap pasal Hana yang selalu kacau dia, Ayie mesti tayang muka panas ala bigfoot. Sekarang senyum sampai ke telinga pula.

"Sekejap. Kau dengan Hana macam mana? Lepas majlis hari tu, abang tak dengar dah berita pasal kau dengan dia." Mizal mula buka siasatannya.

"Macam tu la."

"Tu la, tu macam mana? Dia tak marahkan kau ke sebab majlis tu batal?"

Marah? Ayie menunduk dengan senyuman yang mula hilang. Memang Hana marah tapi hana bagi tahu yang dia cuba buang rasa marah. Tapi disebabkan kesilapannya ajak Hana kahwin dengan alasan bodoh tu, Hana dah marah balik padanya. Kadang-kadang dia rasa Hana anggap dia macam hantu. Hantu yang tak boleh nampak!

"Entahlah..." lemah sangat dah muka Ayie ni.
Muka Ayie lemah macam tu, lagi la buat Mizal tertanya-tanya. Teringat balik kata-kata Ayie tadi.

'Relevan ke kalau kita putus dengan seseorang tu dan dalam masa yang singkat tu kita rasa kita sukakan orang lain. Seseorang yang kita tak suka. Yang rasa nak tolak dia jauh-jauh sebelum ni. Tapi bila dah berjaya tolak, rasa macam nak tarik balik. Bila dia jauh mula rasa...'

Jangan-jangan perempuan yang Ayie maksudkan adalah... Hana! Hanya itu satu-satunya perempuan yang adiknya pulun nak tolak.

"Kau sukakan Hana?"

Kepala terangkat secara automatik. Macam mana pula mamat rambut cacak ni tahu? Ayie pandang wajah Mizal yang menunggu jawapan.

"Entah..."

"Kalau dah entah tu, maknanya suka la tu. Ingat dulu abang long pernah cakap apa. Jangan nak tolak sangat. Nanti dah terlebih tolak, diri sendiri menyesal. Macam masin je mulut abang long ni," ejek Mizal.

Muncung Ayie dibuatnya. Jatuh ego lelakinya macam ni.

"Rileks la bro. Keadaan macam tu biasa. Ingat apa yang abang pernah cakap. Allah kalau nak terbalikkan hati, cepat je. Kalau dah suka tu, pikat je la."

"Masalahnya, dia dah tak pandang aku!" jujur jawapan Ayie. Pertama kali dia berterus terang sampai kelopak ego terasa jatuh bertaburan.

Ketawa kecil Mizal dengan ayat tu. Kesian pula dia tengok adiknya yang muncung. Siapa yang ajar adik dia ni muncung? Hana ke? Tak pernah Ayie muncung itik masa berkawan dengan Liana dulu. Parah ni.

"Ala... Perempuan biasalah. Kalau hati dia sakit memang la dia jadi macam tu. Kita sebagai lelaki jangan mengalah. Apa lagi, pikat la balik." hasut Mizal.

Pikat balik? Ingat senang? Ingat senang nak dapat Hana balik? Kalau la nak dapatkan Hana semudah ambil, letak, ambil barang dekat rak, dah lama dia buat.

"Kau rasa boleh ke orang yang dia anggap hantu macam aku ni, pikat dia balik?"

"Hantu???"

"Ha ah! Dia marahkan aku sampai dia cakap dia akan buat aku tak wujud. Dia cakap aku ni macam hantu yang dia tak boleh nampak."

Tertayang sebaris senyuman Mizal. Macam-macam!

"Apa masalahnya kalau hantu pun? Kalau jadi hantu lagi senang. Boleh merasuk orang. Kau rasuk la dia dengan cinta kau. Senang."

"Kalau dia boleh cuba pikat kau dulu, kenapa kau tak buat yang sama?" Mizal mengangkat keningnya sekali lagi.

Ayie terdiam. Lama dia berfikir sebelum dia tersenyum lebar.

"Bro, kau tahu sesuatu tak?" tanya Ayie dengan senyuman penuh makna. "Kau abang yang paling terbaik, bro!" terlompat dia memeluk Mizal. Terjerit Mizal dibuatnya.

You May Also Like

0 comments