Bab 4

by - February 04, 2020





BAB 4
~Takdir itu ada. Ketika dia menyatakan pertemuan itu harus, maka kaki tak mampu berlari lagi~

SELEPAS dua hari, barulah mereka tiba di rumah atuk Nuh di Cappadocia. Itu pun, mereka sampai waktu semua orang sudah kaku di bawah selimut sambil dunia diterangi bulan.
Ikutkan, saat dia sampai ke Turki, mereka akan terus ke Cappadocia. Tapi, disebabkan Abdullah ada sedikit kerja, mereka terpaksa bermalam di Istanbul. Ingatkan boleh berangkat sehari kemudian tapi sekali lagi Abdullah ada hal.
Perjalanan dari Istanbul ke Cappadocia bukan dekat kerana itu mereka memilih menginap sehari lagi di rumah kawan Felicia di Istanbul.
“Ambil ni.”
Khayla berpaling lantas menyambut bagasi yang dihulurkan oleh Felicia.
“Abdullah tak nak bawa untuk you. Dia masih merajuk dengan you,” maklum Felicia sambil mencebik. Kali ini, gadis itu berbahasa Melayu.
Dikerling Abdullah yang memunggah barangan di dalam but kereta. Dia salah. Dia tak patut kata apa-apa tentang warna kulit lelaki tu. Baru dia tahu, Felicia tinggal di Malaysia sebelum berhijrah ke Turki saat berumur lapan belas tahun. Tak hairan la jika gadis itu fasih berbahasa Melayu.
Abdullah pula memang orang Malaysia, kacukan Melayu dan Afrika. Patutlah wajahnya tidak sama dengan orang tempatan di sini. Dan bahasa seharian mereka di rumah atuk Nuh memang bahasa Melayu. Tapi, kerana dia tegur Abdullah dalam bahasa Inggeris, lelaki itu ikutkan saja bertutur dalam bahasa Inggeris.
Awak rasa, saya patut pujuk dia?” Khayla cuba minta pendapat.
“I rasa tak kut. Biarkan dia. Abdullah tak senang dipujuk. Lagipun…”
“Lagipun…”
“I bukan kekasih Abdullah. Dia memang selalu kenalkan I sebagai kekasih dia sebab… dia sukakan I.”
Felicia tayang gigi. “Dan I baru tolak cinta dia. Jadi, apa yang you cakap dalam kereta mesti buat dia lebih rasa rendah diri. Tapi percayalah, penolakan I tak ada kena mengena dengan fizikal. Sebenarnya kan, kalau you tengok Abdullah betul-betul, dia kacak. Dan, kalau you kenal dengan dia lebih dalam, tak mustahil you akan jatuh cinta pada dia. Kind, gentleman, strong, tall, dark… Cuma satu saja kelemahan, suka merajuk.
Sekali lagi, Khayla merenung Abdullah. Ada benar juga kata Felicia. Abdullah sebenarnya kacak cuma terselindung dengan pakaian besar menggelebeh yang tampak kusam. Kalau pakai Tuxedo mesti nampak sempurna.
“Apa yang you all bercakap lagi? Sudah lupa cara untuk berjalan ke?” Tak semena, Abdullah menolak kedua-dua gadis itu sebelum mencelah antara mereka.
“Abdullah, sakit!” Felicia mencerlung.
Abdullah berhenti lalu berpaling.
“Awak tak nak marahkan saya Khayla?” cabar Abdullah dengan mata separa menyepet.
“Dia tengah pancing you bergaduh tu. Ignore,” bisik Felicia di telinga Khayla.
Terkebil-kebil Khayla dibuatnya. Dia ambil jalan selamat dengan palingkan wajahnya ke arah kanan, melihat kawasan yang gelap.
“Jom masuk sebelum kepala Abdullah tumbuh tanduk.”
Khayla tersedar dan bila dia lihat depan, Abdullah sudah hilang di sebalik pagar.
“You tahu, dia saja berhentikan kereta di luar sebab nak dera kita berdua. Abdullah tu memang baik tapi kalau dia marah, dia akan jadi licik.”
“Kalau awak tahu, kenapa awak tak marahkan dia?” duga Khayla.
“I tak nak dia bertambah marah. Dia kawan baik I.”
“Kawan baik walaupun selepas awak tolak perasaan dia?”
Kening Felicia terangkat. “Sebab dia tahu, untuk siapa hati dan perasaan I. Jom masuk sebelum Abdullah buat licik, tutup pagar. Tak pasal-pasal, kita kena panjat pagar untuk masuk.”
Lantas, Felicia berlari masuk sambil menggalas travel bag. Bila gadis cantik itu sudah meninggalkannya, terkedek-kedek Khayla mengheret bagasinya. Tekaan Felicia tentang pagar tadi betul. Elok dia hampir melepasi pagar, pintu pagar itu tertutup secara perlahan-lahan.
Abdullah memang licik.

 .................................................................

TERCUNGAP-cungap Khayla saat tiba depan lima anak tangga di hadapan pintu utama. Dia mengerling Abdullah. Lelaki itu hanya tersenyum sinis. Felicia pula tengah cekak pinggang sambil menggeleng.
Khayla berdiri tegak usai melepaskan penat. Baru kali ini, dia melihat dengan jelas, rumah yang bakal didudukinya selama beberapa bulan. Separuh dari rumah ini dibina di dalam batu, bercantum dengan sebahagian lagi yang bercorakkan moden. Dia mengira, kesemuanya tiga tingkat. Ada balkoni terpisah di setiap tingkat, mungkin balkoni untuk setiap bilik.
Cantik!
Dari bawah ini, dia dapat lihat bulan menjadi latar rumah itu. Kakinya diundur ke belakang. Masya-Allah, pemandangan yang sangat cantik. Kedudukan bulan betul-betul di tengah-tengah belakang rumah agam itu dan sekeliling cahaya rembulan, bergemerlapan bintang-bintang.
“Cantik,” desisnya tanpa sedar.
“You tengah berdiri di tempat yang selalu arwah Puan Nara berdiri. Itu sudut pandangan yang paling digemari arwah. Dan you tahu, setiap kali arwah Puan Nara berdiri di sini, Tuan Ibrahim akan pandang isterinya dari balkoni bilik. Tuan sangat cintakan Puan.” Terpacul Felicia di sebelah.
Gadis itu sedang merenung balkoni yang terletak lurus dari arah dia berdiri. Mungkin itu bilik Tuan Ibrahim, atuk Nuh.  
“Dulu, bilik tu selalu bercahaya setiap malam. Tuan Ibrahim tidak akan tidur selagi Puan Nara tak naik ke bilik. Sekarang, bilik itu akan malap tepat ketika bulan terlihat jelas menyinari dunia,” tambah Felicia.
“Mereka mesti bahagia,” komen Khayla sebelum menatap Felicia. Ada genangan air mata yang dia nampak pada kedua-dua mata gadis itu.
“Dulu,” balas Felicia sebelum berlalu menghampiri Abdullah.
Sejenak, Khayla pandang balkoni yang malap. Rasanya, antara semua balkoni, di situ paling suram dan gelap.
“Akhirnya, kamu sampai semua.”
Tersentak Khayla bila pintu rumah terbuka dan terpacul seorang lelaki berkulit cerah dan bermata sepet. Tanpa bertangguh, Khayla menghampiri Felicia dan Abdullah sambil memandang lelaki yang berbicara dengan susunan ayat yang agak pelik.
“Kenalkan, ini Khayla kita.” Abdullah meniti anak tangga lalu meletak beg dan segala benda yang dibawanya di muka pintu.
“Bila Abdullah sebut ‘kita’ maknanya dia dah terima you dalam keluarga kecil ni tapi… dia tetap merajuk dengan you.” Buat sekian kali, Felicia jadi pemberi maklumat.
“Nuh tak cakap, Khayla kita ini cantik. Kenalkan, saya Ishak.”
Termanggu-manggu Khayla bila lelaki yang longhat Cina pekat merampas bagasinya.
“Nama dia dulu, Michelle. Sekarang, dia dah jadi saudara kita. Nama barunya Ishak, dari China. Antara kita semua, dia paling kerap gunakan bahasa Melayu walaupun bahasa Melayunya yang paling teruk. Tagline dia, practice make perfect. Jadi, kalau dia tersalah subjek dan prediket, tolong la dia betulkan,” laung Abdullah dari dalam.
“Dia betul. Sila tunjuk ajar ku sifu.” Ishak tundukkan kepala sebelum membawa bagasi Khayla masuk.
Tunjuk ajar ku sifu? Bukan ke itu salah satu lagu tema rancangan nyanyian Mentor? Berkerut dahi Khayla.
“Dia pernah ke Malaysia. Waktu tu, dia peminat setia rancangan Mentor. Sejak hari tu, kalau dia nak minta sesiapa tunjuk ajar, dia akan cakap begitu. Tunjuk ajar ku sifu.” Felicia ketawa di muka pintu.
Terukir senyuman nipis Khayla. Terhibur juga dengan orang di situ. Tak ada la dia rasa teruk sangat kerana meninggalkan Malaysia. Khayla ikut saja mereka semua masuk ke dalam rumah.
Langkahnya terhenti.
Terpegun seketika melihat ruang tamu rumah. Dindingnya berwarna putih dan di dada dinding tergantung dengan lukisan pemandangan. Tergantung juga barang-barangan kraf tangan yang pastinya datang dari buah tangan orang tempatan di Turki.
Ruang tamu rumah itu luas tapi tidak terlalu padat dengan perabot. Hanya ada satu set sofa merah yang dibawahnya berkarpet dan diatasnya, tergantung sebuah chandeliar yang sangat besar.
Ke depan sedikit, ada ruangan untuk menonton televisyen dan sekitarnya dipenuhi rak-rak buku yang rendah. Jauh sedikit di penjuru, tersergam indah sebuah piano putih. Di sekeliling ruangan piano itu ada beberapa anak tangga. Jalan ke depan sedikit, bertemu dengan meja makan yang mampu memuatkan dua belas orang.
“Dia dah sampai?”
Tersedar Khayla bila suara Felicia menyoal Ishak. Siapa yang Felicia maksudkan?
“Saya tak mahu jawab soalan awak. Saya nak layan tetamu kita dahulu.” Ishak berpusing menghadap Kahyla.
“Awak nak makan atau mahu saya tunjuk bilik dulu?”
Ikutkan penat, mestilah dia pilih bilik. Belum sempat Khayla menjawab, Felicia mencelah antara dia dan Ishak.
“Ishak, you saja kan. Dia dah sampai ke belum? Soalan I bukan soalan menguji minda. Soalan senang.”
“Beritahu aje pada dia, Ishak. Dia dah kerinduan tu,” sampuk Abdullah. Ceria wajahnya semakin malap.
Khayla diam saja kerana dia tak tahu siapa ‘dia’ yang mereka maksudkan. Dia lebih senang menganalisis gerak-geri tiga orang di hadapannya. Felicia, muka merah seperti tidak sabar mahu berjumpa dengan si ‘dia’. Ishak pula tersengih-sengih, sengaja mahu bermain tarik tali. Abdullah pula mengeluh beberapa kali. 
“Ishak…” Felicia merengek.
“Habis, siapa mahu tunjukkan bilik pada Khayla?” Ishak masih tetap bermain tarik tali.
Spontan Felicia pandang Khayla.
“Saya boleh tunggu. Lagipun, saya boleh makan sebelum naik ke bilik,” putus Khayla sebab dia kesian pada Felicia.
“Dah makan banyak dalam perjalanan tadi pun, masih tak kenyang?” sindir Abdullah tak semena.
Khayla tersentap. Tiba-tiba Ishak ketawa.
“Awak buat Abdullah marah, ya?” Ishak goyangkan jari telunjuk pada Khayla bila dapat menangkap ketidakpuasan hati Abdullah pada tetamu baru mereka.
“Ishak, you ni kan…” Felicia nak meletup bila tak ada sesiapa pedulikan pertanyaannya.
Ishak mencebik, tetap tidak pedulikan gadis itu.
“Suka hati you la. Khayla, jom I tunjuk bilik you,” bentak Felicia lalu menghampiri Khayla.
“Dia dah merajuk.” Ishak sengih, geli hati.
“I benci you!” Felicia menceber.
“Dia ada ke tak?” Abdullah pula soal Ishak sebab dia kesian Felicia dipermainkan.
Khayla perhatikan Abdullah. Betul la, Abdullah sukakan Felicia. Semuanya jelas dari tindakan lelaki itu. Biarpun wajahnya berubah seperti rungsingkan sesuatu, tetap saja dia mempertahankan Felicia.
“Dia ada dalam bilik game. Sampai petang semalam lagi.” Ishak mengalah akhirnya.
Tidak jadi Felicia membawa Khayla ke bilik.
“You makan dulu, nanti I tunjuk bilik you. Tapi kalau you tak kesah, Abdullah atau Ishak boleh temankan. Cuma… you berani ke nak naik tingkat atas sambil ditemani lelaki-lelaki ni?”
“Hey, awak ingat kami ini apa?” Terjegil biji mata Ishak. 
Felicia tidak menjawab sebaliknya menjelirkan lidah. Abdullah menggeleng saja. Entah kenapa, Khayla rasa sedih pula tengok Abdullah. Mungkinkah, ‘dia’ yang mereka maksudkan adalah lelaki yang disukai Felicia?
“Aku ingat kau orang semua dah tidur. Apa yang bising-bising?” Satu suara lain menegur.
Tiga pasang mata kecuali Khayla tertancap pada pemilik suara garau yang tiba-tiba muncul.
Welcome to Turki, bro,” sapa Abdullah. 
Khayla ingin berpaling, mahu tahu siapa yang muncul di belakangnya. Tapi, suara itu buat pergerakannya menjadi lambat. Jantungnya tiba-tiba berdegup kencang. Suara yang menyapa langsung tidak asing pada telinganya.
‘Mustahil dia,’ getus hati Khayla lalu berpaling.
Sebelum imej yang menegur jelas di mata, suara Felicia terlebih dahulu singgah di telinga.
You buat kami menunggu terlalu lama, Luth.”
Luth? Sepotong nama itu buat urat saraf di dalam kepala Khayla berdenyut. Dan tepat saat itu juga, imej lelaki bernama Luth itu menyapa mata.
‘Ya Allah,’ ucap Khayla. Memucat wajahnya.
“Siapa dia?” soal Luth tak semena. Mata menikam tajam anak mata Khayla.
“Dia Khayla, orang yang akan gantikan Aunty Khadijah sebagai pembantu dapur.” Felicia tersenyum indah di tepi Luth.
“Khayla.”
Dua mata saling bertentangan. Khayla telan liur bila Luth tiba-tiba menapak ke arahnya. Kalau tadi jantung hampir luruh, kali ini dia rasa mahu terjelepok jatuh.
“Aku Luth. Luth Razel. Selamat datang ke Ibrahim’s house.”

You May Also Like

0 comments