Teaser Khayla 18-23

by - February 04, 2020



Teaser Novel Khayla (Teaser 18-23)


TEASER 18
“Apa yang tuan katakan ni?” Khayla berdebar. Tak berkerdip dia melihat Tuan Ibrahim. Tak semena, Tuan Ibrahim mengeluarkan sesuatu dari kocek coat winter. Objek itu disua pada Khayla.
“Tuan…” Khayla hampir melorot jatuh melihat objek itu. Perlahan-lahan air matanya gugur.
“Saya minta maaf kerana menceroboh bilik kamu tapi… saya tak tenang selagi saya tak tahu apa-apa tentang kamu. Tapi semuanya berbaloi sebab saya dah tahu alasan kenapa cucu saya terluka. Tapi… kenapa kamu sembunyikan semuanya? Sembunyikan tentang hakikat, kamu lebih terluka dari Luth.”
Dia terjelepok jatuh juga akhirnya. Rahsia yang dia simpan sekarang bocor. Pen yang mengandungi rakaman luahannya setahun lalu ditenung tanpa lepas.
“Jangan beritahu sesiapa tentang ini. Saya merayu pada tuan,” pinta Khayla sambil berjalan secara melutut mendekati Tuan Ibrahim. Pen itu diambil kembali.
 “Kenapa kamu nak rahsiakan?”
“Sebab saya tak nak terluka lagi.”
Tuan Ibrahim melepaskan renungan penuh tanda tanya.
“Tak ada apa-apa yang berubah kalau Luth tahu tentang ini. Hakikat yang semuanya berlaku kerana sikap terburu-buru saya tak akan terpadam. Dan… kalau Luth tahu isinya, sama ada dia akan rasa bersalah ataupun kemarahannya akan meledak. Kedua-dua itu akan buat dia terluka lagi. Luth dah senyum sekarang tuan. Jangan padamkannya. Kalau Luth terluka, saya akan terluka. Dan saya tak nak terluka lagi.”
Menitis juga air mata Tuan Ibrahim. Ini kali pertama air matanya jatuh bukan kerana mengenang kepergian isteri yang dicintai. Hari ini, air matanya tumpah kerana seorang gadis naif yang menyimpan dukakanya sendiri. Tak tahukah Khayla, mungkin rahsia ini akan pulihkan sesuatu?


.......................................................
TEASER 19
Cengkaman yang longgar tadi diketatkan. Bunyi gigi Luth berlaga menampar gegendang telinga Khayla. Malah, rahang lelaki itu mengigil tanpa henti.
“Kalau kau sakitkan hati aku untuk kali pertama, kau masih boleh selamat. Tapi, bila kau memilih untuk sakiti orang yang sama untuk kali kedua, hanya ada dua kemungkinan. Satu, kau akan selamat sekali lagi. Kedua, kau tak akan selamat. Dan kau tak selamat hari ni, Khayla. Tak akan!”
Dicengkam leher Khayla sehingga waktu untuk urat pernafasan itu putus semakin pantas. Terginjat Khayla bila Luth seakan sedang mengangkatnya. Hujung jarinya saja menyentuh lantai. Luth benar-benar dirasuk. Saat itu, satu persatu kenangan menjelma di mata Khayla. Kenangan itu hanya berhenti saat emaknya menelefon di Derinkuyu. Kalau hari ini nyawanya ternoktah, dia tidak perlu bertemu abangnya. Dia tak perlu memberi kemaafan pada abangnya tanpa kerelaan hati. Jika semuanya berakhir, kelukaan dia juga berakhir. Kalau tadi Khayla meronta juga walaupun sedikit, sekarang tubuhnya berhenti membuat sebarang pergerakan. Kuyu matanya menikam bara dalam anak mata Luth. Luth semakin marah, Khayla tahu itu. Luth bertambah marah kerana lelaki itu memikirkan rahsia yang semua orang tahu. Luth takut mereka semua disakiti.
‘Kesakitan mereka sajakah yang awak nampak, Luth? Kesakitan saya? Kenapa awak tak nampak apa-apa kesakitan yang saya tanggung? Sangat menyakitkan bila awak masih tak nampak apa-apa sedangkan mata kita berdua saling bertemu, Mungkin ditakdirkan awak tak akan pernah nampak. Tak akan…’ bisik hati Khayla penuh sendu. Perlahan-lahan dia menyentuh rahang Luth walaupun saat itu nyawanya di hujung tanduk. Luth nampak tergamam tapi lelaki itu sedikit pun tidak berhenti dari melakukan apa yang sedang dia lakukan.
‘Tak apa, Luth. Lakukannya. Tak apa…’ Dia hanya mampu biarkan hatinya berbicara. Lambat-lambat mata ditutup seakan tidak rela lepaskan wajah Luth dari pandangannya. Tetapi dia tetap harus melepaskan wajah itu kerana dia rela andai ini waktu terakhirnya.
‘Semuanya akan okey kerana saya tak pernah berhenti untuk mencintai awak.’

.........................................................

TEASER 20
Khayla berpusing seolah tiada apa-apa berita yang dia terima. Ketika tubuh terpusing 180 darjah, susuk Luth sedang berpeluk tubuh menjamah mata.
“Ada apa-apa yang awak nak?” soal Khayla sedangkan dia sendiri tak sedar apa yang dia pertanyakan. Luth diam. Lalu Khayla berjalan melepasi lelaki itu bersama pandangan kosong. Saat itu, tangan kekar itu menyambar pergelangan tangannya.
 “Aku tak suka tengok kau senang,” beritahu lelaki itu.
Khayla angguk tanpa perasaan. Dia tak dengar pun apa yang Luth katakan. Dia hanya nampak kenyataan yang Kak Mila baru katakan.
Pelik Luth melihat tindakan Khayla. Difokus pada wajah itu. Dia nampak kekosongan. Sangat kosong seakan gadis itu tidak berpijak di bumi nyata. Bila dia lepaskan tangan itu, Khayla pergi begitu saja. Terkesima Luth. Dia pandang ganggang telefon. Kak Mila, kakak sepupu Khayla. Dia kenal wanita yang menghadiri pernikahan mereka dahulu. Tanpa suara, Luth mengekori Khayla. Dia melihat gadis itu membantu Ishak dan Aunty Laili mengemas meja tanpa suara. Biarpun gadis itu berulang alik dari dapur ke meja, mata Khayla masih sama. Kosong! Sangat kosong. Luth tersedar bila suara Khayla tanpa nada menampar telinga.
“Aunty Laili, boleh saya jumpa Tuan Ibrahim di bilik?”

................................................................

TEASER 21
Khayla berpaling padanya. Api kemarahan tiba-tiba menggunung di jiwa Luth. Kenapa dia perlu ambil tahu pasal gadis ini? Baguslah kalau ada sesuatu yang buat Khayla hancur. Bagus sangat!
“Luth… please…”
“Ni waktu rehat atuk. Jangan ganggu dia.”
“Tapi saya ada…”
“Aku cakap tak!” Khayla terdiam. Riaknya kelelahan. Bibirnya memucat. Tak ada kudrat mahu menelan perbuatan Luth.
“Bagi tahu aku, apa kau nak dari atuk?” Menggeleng Khayla. Kalau diberitahu, mungkin Luth hanya mentertawakan dia. Ditepis tangan lelaki itu dari tubuhnya. Sudahlah kalau Luth tak bagi. Dia mahu kembali ke bilik. Dia penat dan sangat penat. Tapi lelaki itu tidak faham kepenatan dia. Sekali lagi bahunya disambar kasar dan dia dipaksa berpaling semula.
“Wajah apa ni, Khayla? Kau sedih? Kau tahu tak betapa nikmatnya aku tengok kau saat ni? Tapi sayangnya, sedih kau belum puaskan aku. Aku tak tahu la kenapa aku baik hati lepaskan kau? Patutnya malam tu…” Luth diam. Mengingatkan malam itu, dia lebih marahkan diri sendiri. Entahlah. Kekesalan hanya datang seketika dan kemudian kemarahan muncul membuatkan dia menyesal lepaskan Khayla. Patutnya dia buat lebih teruk dari mencekik!
“Cukup la Luth. Sampai bila awak hanya nak ungkit keinginan awak untuk bunuh saya. Kalau nak bunuh, bunuh terus.”
Mencerlung biji mata Luth. Ego terus mencanak naik. Lantas, ditarik gadis itu mendekat pada tubuh. Tanggannya mencengkam kepala Khayla dari belakang.
“Kau sindir aku? Kau perlekehkan aku? Kau ingat aku takut? Ingat aku tak mampu?” Sakitnya belakang kepala kerana cengkaman Luth, hanya Allah saja yang tahu. Khayla pejam mata. Dia tak mampu tanggung lagi. Dia tak mampu simpan lagi. Mata dibuka. Matanya mencerlung seperti mana Luth merenungnya. Tiba-tiba dia rasa marah. Marah amat sangat. Dia rasa mahu mencakar wajah Luth. Lelaki ni jahat. Sangat jahat!
“Stop it!” jerkahnya tak semena sekali dengan tindakan drastik, menolak lelaki itu sekuat hati. Luth terkebelakang.
“Cukup la Luth. Saya dah bosan la. Sampai bila hanya awak nak zahirkan kelukaan awak? Awak… apa awak nak? Susah sangat ke nak lupakan semua? Pergi teruskan hidup awak. Kenapa awak hidup dalam kebencian dan heret saya sama? Cukup la, Luth. Tolonglah. Saya letih. Saya letih!” Khayla mengundur. Tubuhnya sedikit membongkok. Tanpa dapat ditahan, air mata meluncur. Dia kalah. Dia pun nak hidup. Dia pun nak lampiaskan segala lukanya. Tapi dia tak mampu. Dia tak tahu caranya. Luth yang terpempan diberi tatapan benci.
“Jangan sentuh aku. Jangan sakitkan tubuh aku lagi. Kau tak ada hak buat macam tu. Ni badan aku.” Khayla mara. Sungguh, tiba-tiba dia hilang kewarasan. Lengan Luth dicapai dan dicengkam kuat.
“Cengkaman aku tak sekuat kau tapi masih rasa sakit. Bayangkan tangan kau pada tubuh aku. Sakit, Luth. Sakit! Aku tahan dengan harapan kau akan puas tapi kau tak akan puas. Aku rasa kalau aku mati sekalipun, kau tak akan puas. Bagi kau, orang macam aku ni jahat sangat. Orang jahat ni tak patut mati tapi perlu diberi kesakitan berkali-kali supaya aku sendiri merayu supaya kau bunuh aku, kan? Kau nak aku melutut dan merayu?” Tubuhnya mendadak dijatuhkan sehingga melutut tepat di depan Luth. Wajahnya berada separa lutut Luth berbalut seluar jeans.
“Encik Luth, aku merayu pada kau supaya hentikan semua ni. Aku merayu sangat.” Khayla satukan tangannya bagaikan meminta ampun. Terbelalak Luth dengan tindakan itu. Mulutnya bagai dibisu.
Saat itu, tiga serangkai muncul bersama Aunty Laili. Masing-masing terkejut melihat keadaan Khayla dan Luth. Mereka muncul selepas mendengar suara kuat Khayla. Tiba-tiba Khayla bangun. Kolar baju Luth direngkuh. Rapat wajahnya pada wajah itu.
“Kau tak pernah berubah Luth. Dari dulu sampai sekarang, kau hanya fikir luka kau. Kau hanya anggap orang yang tinggalkan luka pada kau patut dihukum. Kau cuma pedulikan perasaan sendiri. Kau… aku benci kau Luth! Benci!”

 ..................................................................

TEASER 22
“Jangan sakitkan Ceya. Jangan cuba rampas Luth dari Ceya…” Dalam tangisan, tiba-tiba Khayla tertawa. Kemudian dia menangis lagi.
“Semua orang hanya fikirkan diri sendiri. Aku ni bukan manusia yang ada hati dan perasaan ke?” Khayla berundur sehingga dia tersandar pada dinding. Dia tak kuasa lagi mahu memandang mereka. Dia hancur selebur-leburnya.
“Ishak… kau sayangkan keluarga ni. Aku tahu tapi jangan anggap aku ni macam parasit. Aku tak ada niat nak kucar-kacirkan keluarga ni. Kau ingat aku jahat sangat ke?” Air mata diseka. Dia tak nak ambil tahu lagi apa yang mereka sedang rasa. Khayla benar-benar hanyut dalam kesedihannya.
“Kenapa aku menangis? Aku tak patut menangis.” Terlalu pantas gerakan Khayla mengelap habis air mata yang meleleh hingga dagu. Dia alih tubuh dari bersandar. Senyuman diukir lalu bebola mata diarahkan pada lima orang yang masih terkebil-kebil padanya. Dahinya berkerut. Seolah keliru dengan gelagat mereka.
“Kenapa awak semua pandang saya macam tu?” Suaranya sudah tenang. Hilang nada amukan tadi.
Abdullah, Felicia, Aunty Laili dan Ishak terpinga-pinga. Mereka berpandangan sesama sendiri. Keliru dengan tingkah Khayla. Khayla macam lupa apa yang dilakukan sebentar tadi. Tingkah gadis itu berubah dalam beberapa saat. Sekarang, mereka rasa seperti Khayla yang mereka kenal sudah kembali. Hanya Luth saja menatap Khayla sedalam-dalamnya. Entah kenapa, senyuman Khayla buat dadanya bergetar. Ada sesuatu yang buat dia tidak sedap hati. Kenapa Khayla jadi begini?
“Kenapa saya ada dekat sini? Oh ya, saya nak jumpa Tuan Ibrahim.” Ketika itu juga, Tuan Ibrahim membuka pinta. Mata tua itu terarah pada penghuni rumah yang berkumpul di depan biliknya.
“Atuk dengar bunyi bising tadi. Kenapa?” soal Tuan Ibrahim pada cucunya.
Namun, Luth sekadar meraup wajah. Jatuh pula pandangan pada Felicia yang berwajah muram. Akhir sekali, dia merenung wajah sembab Khayla. Jelas di matanya, dahi gadis itu membiru.
“Saya nak jumpa Tuan. Tuan, saya minta maaf sebab tak dapat terus kerja di sini. Saya perlu balik ke Malaysia,” tutur Khayla. Berkerut wajah Tuan Ibrahim. Tutur Khayla singgah di telinga namun, dia lebih berminat untuk mengetahui kebisingan sebentar tadi. Dia sedang tidur waktu mendengar pekikan suara gadis.
Ketika Tuan Ibrahim terpinga-pinga, satu susuk tubuh muncul. Termengah-mengah pemilik tubuh itu. Semua mata terarah padanya. Masing-masing terkejut. Belum sempat sesiapa menyebut nama empunya tubuh yang muncul, empunya tubuh terlebih dahulu bersuara.
“Khayla…”
Nuh! Khayla terbungkam. Tiba-tiba saja perasaan memberontak muncul kembali. Lelaki ini la puncanya!
“Kenapa tak cakap kau nak balik?” Luth mahu mendekati abangnya. Tak sempat menghampiri, dia dipintas seseorang. Hanya dalam satu saat, semua di situ melopong.
Pang!!!
Spontan Nuh memegang pipi yang baru dilempang lima jari Khayla.
“Aku anggap kau kawan, Nuh. Aku layan kau baik. Setiap pagi, aku buatkan kau air dan sarapan. Aku berbual dengan kau. Aku bergurau dengan kau. Aku fikir, kau kawan tapi… kau hantar aku pada Luth. Kau sengaja hantar aku pada dia. Aku cuba hidup, Nuh. Allah saja tahu, macam mana aku bertahan untuk hidup tapi… kau musnahkan segalanya. Aku dah tak tahu macam mana nak hidup. Aku dah tak ada sesiapa. Kau rupanya benci aku sebab aku lukakan Luth. Sampai hati kau, Nuh,” lirih suara Khayla serentak air mata yang meluncur kembali.


 ..................................................................................
TEASER 23
 “Waktu kau muncul di rumah ni selepas bertahun kau tinggalkan aku, aku lega sangat. Adik aku akhirnya memaafkan atuk.”
Tersedar Luth dari lamunan. Dan Nuh bicara lagi.
“Tapi aku tak sangka, kau muncul dalam keadaan begitu teruk. Kau macam tak ada semangat nak hidup. Kau hancur. Aku marah, Luth. Lama masa kau ambil untuk pulihkan diri. Akhirnya aku lega bila kau dah okey. Tapi… semakin hari, penipuan kau semakin jelas. Kau masih terluka dan mungkin akan terluka selama-lamanya. Waktu tu aku fikir, mungkin dengan bawa perempuan tu depan kau, baru kau akan berjaya lupakan semuanya. Mungkin hutang antara kau dengan dia belum selesai. Sebab tu aku cari Khayla dan buat dia datang ke sini. Aku nak kau dan dia tamatkan segala-galanya. Aku harap kau tak lemas dalam dunia luka yang kau ciptakan.”
Hutang? Ya, Khayla berhutang kelukaan padanya. Untuk membayar hutang itu, Khayla perlu terluka sama seperti dia. Namun, Luth sendiri tidak tahu bagaimana cara mahu membuat wanita itu membayar kembali rasa peritnya.
“Semuanya semakin memburuk. Kau nampak apa terjadi? Bertemu dengan dia hanya buat semuanya hancur sekali lagi.”
“Aku silap perhintungan. Aku minta maaf.” Rendah nada Nuh. Angin menampar wajah mereka. Luth mencengkam palang di hadapannya. Kalau ditemani secawan kopi mungkin lebih menenangkan.
“Kenapa dia menangis?” Luth bertanya juga. Nuh mengerling adiknya. Dia nampak kerisauan pada wajah itu. Luth, kau sebenarnya masih tak mampu lupakan dia.

You May Also Like

0 comments