BAB 1 HEY LAURA ITS ME

by - February 12, 2019

BAB 1




TANGAN dan kaki lincah bergerak kiri dan kanan. Tubuh yang sekejap pusing ke depan dan belakang, ibarat tarian yang mengikut alunan muzik. Sesekali Fateh menarik senyuman manis tatkala sedar beberapa mata memerhatikannya. Corak di atas Caffe’ Latte dilukis berhati-hati. Puas hati, dia mendongak.
“Siap!”
Fateh senyum lebar. Garisan di kedua-dua belah pipinya naik, menambahkan seri wajah. Bila salah satu pekerja datang mengambil dan membawa pesanan ke meja pelanggan, dia membiarkan matanya mengekori lenggok itu. Sekali lagi, dia tersenyum saat beberapa pelanggan wanita melirik bersama senyuman penuh makna padanya.
“Bos, semakin hari pelanggan semakin ramai. Bos tak ada niat nak ubah suai kafe ni ke?”
Fateh berpusing. Tenang saja wajahnya menatap Rizman yang elok bersandar pada kabinet di bahagian belakang kaunter.
Maybe...” Fateh angkat bahu. Cawan yang tergantung, dicapai.
“Kalau bos nak ubah suai kafe ni, apa kata bos tukar sekali nama kafe ni. Dari Rimos Cafe, kita jadikan Smile Cafe. Pelanggan dekat sini dah admire gila dengan senyuman bos tu. Untung badan bos. Ramai perempuan tertarik.”
Fateh tak membalas sebaliknya sibuk menatap mesin di depannya. Bila Rizman menapak ke sebelahnya, dia menoleh. Masih dengan senyuman indahnya.
“Bos, jangan senyum macam tu dekat saya. Saya ni teruna straight. Bukan gay. Istighfar, Bos. Tolonglah kembali pada fitrah.” Rizman tepuk dada berkali-kali.
Patut la perempuan di sini gila tengok senyuman lelaki yang viral di laman sosial ni. Gaya ala-ala flower boys. Menawan dan tertawan. Cuma, siapa yang rajin ‘viral’ kan muka si Fateh ni, tak tahu la. Tapi berkat si ‘viral’ pelanggan tak putus-putus datang ke kafe.
“Kau tak ada kerja ke? Aku tengok pekerja lain bukan main sibuk. Gaya kau dah macam bos. Nak aku jual kafe ni dekat kau?” soal Fateh bersahaja. Hanya mengerling tanpa riak marah.
Tapi, terasa juga la si Rizman. Cepat-cepat dia berdiri tegak. Kepala menggeleng laju.
“Jangan macam tu bos. Saya mana ada duit nak beli kafe ni. Kuli aje. Sedar diri.” Rizman tertunduk. Saja tunjuk sebik.
Fateh menggeleng sekali lalu sebelum kembali meneruskan kerjanya. Kalau melayan Rizman, mahu tak siap pesanan. Baru nak fokus pada kerja, telefon dalam laci meja berbunyi. Dahinya berkerut. Mata mengecil.
“Riz, kau ambil tempat aku.” Terus Rizman ditarik menghampirinya.
Terpinga-pinga Rizman dibuatnya. Tak sempat bersuara, Fateh sudah mencapai telefon dalam laci. Sepantas kilat lelaki itu berlalu. Terus menuju ke bahagian dapur.
Hilang saja bayangan Fateh, Rizman mengeluh. Sedar beberapa pelanggan menghalakan pandangan ke arahnya, dia melemparkan senyuman. Namun, senyumannya tak berbalas.
“Nasib lelaki kurang kacak...” Rizman tertunduk kecewa.

 ........................

MERENGUS Fateh sebaik saja membaca perkataan yang terpapar di skrin telefon bimbitnya. Tangannya spontan mengusap belakang leher. Wajah tenang sekelip mata bertukar tegang.
“Masalah apa lagi!” dengusnya sendiri.
Laju tangannya menyentuh satu-satunya nama yang ada di dalam senarai kenalan di dalam telefon itu.
“Kau ada dekat mana?” soalnya sejurus panggilannya berjawab.
What? Dalam kafe?” Terbeliak biji mata Fateh.
“Aku datang sekarang!” Talian dimatikan.
Tanpa membuang masa, laju Fateh mendaki tangga yang menghubungkan pejabat kecilnya dengan ruangan atas. Ruangan yang dijadikan tempat rehat para pekerja. Sampai di atas, rak yang penuh dengan buku dihampiri. Mata meliar laju sebelum bertinggung. Buku di bahagian paling bawah diketepikan. Rakus tangannya menolak pintu kecil yang melekat di badan rak. Butang hitam yang muncul di situ, ditekan.
Krakkk!
Fateh berdiri saat almari di bahagian dapur mini terpisah menjadi dua. Dengan langkah bersahaja, dia menapak masuk ke dalam ruang kecil yang kelihatan di tengah-tengah belahan almari tadi. Lima tapak ke depan, almari tadi kembali bercantum. Sesaat, dia berada dalam gelap gelita sebelum lampu secara automatik terbuka. Sepuluh tapak lagi ke depan, kakinya bertemu dengan anak tangga menghala ke bawah.
“Macam mana kau masuk tanpa kunci?” tanya Fateh sebaik saja melangkah ke dalam rumah rahsia di bahagian bawah. Apron coklat dipsiahkan dari badan. Lelaki yang duduk di hadapan meja persegi, ditatap tajam.
“Aku masuk masa pekerja kau buka kedai tadi. Dan jangan risau, tak ada siapa pun nampak aku,” balas Sairez tenang. Tangan bermain dengan rambut kerintingnya.
Fateh menjeling. Sakit mata tengok Sairez duduk dengan kaki melintang di atas meja. Tangan tak habis menggulung rambut yang persis penyanyi Aweera. Tanpa amaran, dia menendang pelipat kaki Sairez. Melambung kaki Sairez ke atas sebelum jatuh menghentak lantai.
Woi, sakit la!” Sairez berdiri. Menggeletik kakinya. Sakit kut!
Fateh mencebik.
“Kesah pula aku. Cakap, benda apa yang emergency? Apa yang tamat?”
Tak hiraukan kesakitan Sairez, Fateh menyoal pantas. Sepatah perkataan yang dihantar Sairez tadi terbayang.
Kita tamat!
Apa yang dah tamat?
Dengar soalan Fateh, Sairez tepuk tangan sekali. Kedua-dua kaki dilurus, tak menggeletik macam tadi dah.
“Ada perempuan ajak kau date.”
Mencerlung biji mata Fateh.
“Kau panggil aku sebab...
“Tak. Tu cuma makluman awal. Macam biasa, aku tolak dengan baik. Wei, sampai bila kau nak suruh aku gantikan kau layan semua mesej-mesej tu? Tak boleh ke kau stop bagi nombor telefon setiap kali pelanggan wanita kau minta?” Sairez beralih ke sofa. Duduk menghadap lap top yang terpasang.
“Layan aje la. Aku bagi kau upah bukannya free. Win-win situation. Aku buat baik dengan mereka, mereka promote kafe aku. Then, aku dapat duit. Kafe aku pun semakin maju.” Fateh ikut ambil tempat di atas sofa.
Sairez menceber. Mula-mula melayan peminat Fateh, memang la teruja. Tapi, lama-lama jadi bosan. Tak ada la hebat sangat hidup dikelilingi bunga. Kadang-kadang rimas!
Skip la pasal perempuan-perempuan tu. Boleh bayang tak betapa sakitnya mulut aku sebab asyik senyum dekat mereka? Huh!” Fateh tayang mula meluat.
Nak jadi hipokrit depan pelanggan sendiri bukannya senang!
“Kenapa kau mesej? Mesti ada benda penting kan?”  
“Sebut pasal tu...” Sairez tarik komputer riba sedikit ke depan. “Kita kena hentikan projek malam ni.”
“Kenapa?”
Sairez tarik nafas dalam-dalam.
“Kau dengar ni.” Rakaman di dalam komputer dimainkan.
Datuk Zahid : Tak ada benda nak dicuri. Itu semua lakonan. Sebelum Marlo masuk    
            ke dalam rumah Farid, aku hantar orang untuk bunuh Farid. Sebaik                 
            saja Marlo masuk, kita akan perangkap dia sebagai pembunuh.        
            Kemudian... Biarkan dia meringkuk dalam penjara atas tuduhan  
            membunuh!
Anymous   : Serius Datuk? Marlo dah kerja dengan kita berapa lama. Dia pekerja
            terbaik kita.
Datuk Zahid : Yang terbaik tu boleh jadi musuh. Sebab dia lebih bijak, kita kena
            hapuskan dia dulu. Lagipun, manusia macam dia hanya hamba duit.
            Bila-bila masa dia akan membelot. Dalam dunia ni, bukan dia saja  
            yang terbaik.
Anymous   : Siapa yang Datuk hantar?
Datuk Zahid : Lucas and the gang
“Macam mana sekarang? Aku rasa kita tolak aje kerja tu,” cadang Sairez seraya menekan butang stop.
Fateh diam. Pandangannya lurus ke depan. Matanya tajam menatap cermin televisyen yang memantulkan imejnya. Sebaik saja wajah sendiri menyapa mata, dia tersenyum sinis.
On aje.” Selamba dia memutuskan.
Sairez tercengang.
“Kau gila? Dia orang nak perangkap kau sebagai pembunuh.”
“Aku tahu tapi kita tetap akan teruskan apa yang dia mahu cuma...” Fateh berjeda. Urat kepala dibetulkan. “Tukar ke pelan B,” sambungnya.
Sairez tergamam. Tak berkerdip dia menilik kulit Fateh yang mula tegang. Urat-urat biru tenggelam timbul di tepi kulit kepala lelaki itu.
“Datuk Zahid bahaya, Fateh.” Sairez mengingatkan.
Dari wajah Fateh, dia tahu ada sesuatu yang licik difikirkan lelaki itu. Dan akal lelaki itu selalunya mengarah pada jalan yang sangat berbahaya. Dia tak fikir, dia sedia untuk terlibat dengan pelan B Fateh. Boleh bawa nahas!
“Bahaya atau tak, siapa peduli? Kau tahu aku, kan? Apa yang orang suruh buat, aku buat sampai berjaya. Tapi, kalau mereka dah sentuh aku, aku tak boleh tahan diri dari sentuh mereka.” Fateh berdiri.
“Sebab tu aku selalu ingatkan... Jangan sentuh aku!” Dengan ayat itu, Fateh mencapai kembali apronnya.
Sairez mengeluh panjang. Kalau Fateh dah sebut perkataan keramat dia tu, maknanya dia tak boleh bantah arahan lelaki tu.
“Okey. Tapi sebelum kau masuk balik ke kafe kau tu, aku ada satu lagi maklumat.”
Fateh yang selesai melilitkan apron di pinggang, berpaling. Keningnya terjongket naik.
“Aku dah dapat satu lagi maklumat tentang Iskandar. Perempuan yang pernah tinggal dengan Iskandar. Dan...” Sairez nampak teragak-agak.
“Dan?”
“Dia cinta pertama, Iskandar,” maklum Sairez dengan muka sedikit menyeringai.
“Cinta pertama?” Fateh sebut balik perkataan itu. Hanya seketika terdiam sebelum dia ketawa kecil.
“Aku tak tahu pula lelaki bodoh boleh bercinta,” tempelak Fateh sekilas sebelum berlalu bersama wajah yang sudah hilang serinya.


You May Also Like

0 comments