Bab 1 Khayla

by - February 04, 2020





BAB 1
~Silam itu ibarat susu putih yang diadun bersama hitamnya kopi~

METER kelajuan semakin memuncak. Dia memulas lagi tanpa serik. Kalau memungkinkan, mahu saja memulas sampai habis. Pedulikan, sekali pun roda kapcai itu mengeluarkan bara. Pedulikan juga jika terlanggar halangan lalu melambung.
Persetankan semua itu! 
Hati semakin mendidih. Jeritan dari pelumba haram persis syaitan laknat keseronokan, berselang-seli dengan deruman enjin. Dia sudah jauh ke depan. Mereka masih mengejar dari belakang.
Rahang bergerak-gerak. Mata terkerdip-kerdip. Helmet di kepala seperti mahu tercabut melawan tiupan angin. Dia menunduk sedikit, mencabar angin. Tiba-tiba cahaya menyilau dari depan. Sangat terang. Mata dibuka. Saat itu kilasan kisah silam meliar mahu keluar dari memori.
Kenangan semalam terimbas sedikit demi sedikit.
Dalam imbasan itu, kornea mata menangkap titisan halus salji. Bunyi biola berdesing di telinga. Kemudian, suara-suara manusia terngiang-ngiang. Sekelilingnya berubah menjadi sebuah kafe. Klasik. Wajah kacak dan cantik menjamu mata.
Bising manusia semakin menengelamkan bunyi biola. Sekelilingnya tiba-tiba dipenuhi manusia. Dari bahasa dan gaya, orang Malaysia rupanya. Dikerling artis popular tanah air yang sedang membuat rakaman pengembaraan bersama saudara.
Mata meliar. Simpati pada si artis yang nampak tidak mahu senyum tetapi terpaksa senyum. Oh, hati peminat perlu la dijaga. Tapi, apa maknanya bila privasi itu diragut?
Saat mata terpandang balkoni kafe, bebola mata membeku. Gadis dengan coat winter kelabu sedang menadah wajah pada langit. Entah mengira bintang yang mustahil dikira atau cuba biarkan langit kelam menyedut keresahan? Dia tertarik. Wajah sedih itu buat jiwanya meronta untuk menyapa. 
Tanpa sedar, dia bangun. Mendekati pintu kecil yang menjadi perantaraan antara kafe dan balkoni tadi. Gadis itu masih di situ. Saat dia berhenti di koridor, telinga ditampar muzik yang di humming oleh gadis itu. Tiba-tiba gadis itu mengangkat tangan lalu menadah titisan salji.
Tidak sejukkah gadis itu?
Pin! Pin! Pin!
Tersedar dia dari leka kenangan. Hilang dunia Itali yang bersalji. Dia sekarang di Malaysia, di atas motor yang bergerak melebihi kelajuan sepatutnya. Dan wajahnya disimbahi lampu kenderaan.
Air mata sempat menitis sekali sebelum dia memusingkan handle mengarah ke tepi jalan sehingga tayar berdecit. Tubuhnya tercondong ke kanan. Motor laju bergerak ke arah semak-samun. Melompat dia bila tayar mencecah rumput. Tubuhnya melambung ke udara sebelum jatuh ke dalam rimbunan hutan kecil tepi jalan.
Raungannya bergema.
Sakit. Terlalu sakit. Tapi sesakit hatinyakah?
Dia biarkan darah terus mengalir dari dahinya yang terhantuk pada satu batu kecil. Senyuman sinis terukir. Bayangan belakang gadis tadi menjelma. Bibir diketap kuat.
Yakin, hati lebih sakit dari kecederaan.



WHY?”
Luth Razel tahu untuk apa pertanyaan itu cuma, dia lebih senang menekur latest Canon. Menilik warna hitam pada badan camera itu dengan lensa mata. Mana tahu ada kecacatan di situ? Tapi tiada, alat itu sempurna.
Yang cacat adalah hatinya.
Yang tidak sempurna adalah jiwanya
I rasa kamera tu tak ada jawapan pada soalan I. Boleh tak you angkat wajah dan tenung mata I?”
Terlepas dengusan Luth. Dia akur lalu mengangkat wajah. Gadis berambut kerinting hitam berkulit sawo matang, tajam merenung. Dia tahu, bukan wajahnya yang ditilik oleh mata itu tapi balutan di kepalanya.
You lumba?” teka gadis itu.  
“Terbabas,” jawabnya, walau ikut kata hati mahu saja membisu.
Telinga ditampar bunyi hembusan nafas kasar gadis itu.
“Apa rasanya bila jururawat balut luka?”
Tak sangka dia akan ditembak dengan soalan sinikal. Dia fikir gadis itu mahu bersyarah. Dia ingat gadis akan menggeleng dengan wajah menunjukkan isyarat ‘kau bodoh?’
“Rasa puas. Darah yang mengalir…” Luth pejam mata, tersenyum seakan udara sekelilingnya terlalu nyaman.
Gadis menggeleng. Mula tadi, dia mahu duduk di hadapan Luth. Berbual satu dua topik. Sekarang, niat terbantut.
Kalau you tak boleh buang…”
Gadis terjeda apabila mata membunuh Luth lurus padanya. Cepat-cepat dia berpaling ke arah lain. Mata itu kadang kala menakutkan. Dan sangat menakutkan jika berbicara tentang hal yang satu itu.
“Darah you dan luka pada tubuh you tak akan beri apa-apa kepuasan. You tak perlu simpan tangisan. Jangan menangis kerana dia. Menangis kerana diri you sendiri.” Gadis itu sambung juga walau dia hanya menekur deretan gambar yang terkepit pada tali. Cuma gadis tak lengkapkan ayatnya yang terjeda tadi. Luth bukannya suka. 
Luth diam, tidak berniat untuk membidas apatah lagi menyangkal. Berdebat tidak akan membawa apa-apa makna. Dia hanya yakin pada diri dan perasaannya. Dia tidak memerlukan orang lain untuk memanipulasi mindanya.
Gadis bermata coklat cair berlalu. Studio kecil tiba-tiba rasa berbahang. Gadis itu berhenti depan bilik berpintukan pastik tebal lut sinar.
“Mail ada dalam?”
Luth sekadar mengangguk pada pertanyaan Lola. Canon diangkat dan dibelek penuh bersahaja seakan dia tidak diceramah sebentar tadi.
“Tiket flight dah ada. You akan berangkat lusa,” maklum gadis sebelum hilang ke dalam bilik filem. Mail pasti sedang berperang dengan gambar-gambarnya.
Mendadak tangan Luth jatuh sehingga Canon terhentak sedikit pada dada meja. Gambaran kapal terbang melintas. Tangan diletak pada dahi lalu mengurut perlahan.
Bulan Disember bakal tiba. Serta-merta benda putih yang tidak pernah muncul ke Malaysia terbayang.
Oh salji. Dia tidak pernah membenci. Hanya kenangan itu dibenci.

You May Also Like

0 comments