Teaser Khayla 1-6

by - February 04, 2020



Enam Teaser Pertama Dari Novel Khayla 
1-6


Teaser 1

METER kelajuan semakin memuncak. Dia memulas lagi tanpa serik. Kalau memungkinkan, mahu saja memulas sampai habis. Pedulikan, sekali pun roda kapcai itu mengeluarkan bara. Pedulikan juga jika terlanggar halangan lalu melambung. Persetankan semua itu! Hati semakin mendidih. Jeritan dari pelumba haram persis syaitan laknat keseronokan, berselang-seli dengan deruman enjin.
Dia sudah jauh ke depan. Mereka masih mengejar dari belakang. Rahang bergerak-gerak. Mata terkerdip-kerdip. Helmet di kepala seperti mahu tercabut melawan tiupan angin. Dia menunduk sedikit, mencabar angin. Tiba-tiba cahaya menyilau dari depan. Sangat terang. Mata dibuka. Saat itu kilasan kisah silam meliar mahu keluar dari memori.
Kenangan semalam terimbas sedikit demi sedikit. Dalam imbasan itu, kornea mata menangkap titisan halus salji. Bunyi biola berdesing di telinga. Kemudian, suara-suara manusia terngiang-ngiang. Sekelilingnya berubah menjadi sebuah kafe. Klasik. Wajah kacak dan cantik menjamu mata. Bising manusia semakin menengelamkan bunyi biola. Sekelilingnya tiba-tiba dipenuhi manusia. Dari bahasa dan gaya, orang Malaysia rupanya. Dikerling artis popular tanah air yang sedang membuat rakaman pengembaraan bersama saudara. Mata meliar. Simpati pada si artis yang nampak tidak mahu senyum tetapi terpaksa senyum. Oh, hati peminat perlu la dijaga. Tapi, apa maknanya bila privasi itu diragut?
Saat mata terpandang balkoni kafe, bebola mata membeku. Gadis dengan coat winter kelabu sedang menadah wajah pada langit. Entah mengira bintang yang mustahil dikira atau cuba biarkan langit kelam menyedut keresahan? Dia tertarik. Wajah sedih itu buat jiwanya meronta untuk menyapa. Tanpa sedar, dia bangun. Mendekati pintu kecil yang menjadi perantaraan antara kafe dan balkoni tadi. Gadis itu masih di situ. Saat dia berhenti di koridor, telinga ditampar muzik yang di humming oleh gadis itu. Tiba-tiba gadis itu mengangkat tangan lalu menadah titisan salji.
Tidak sejukkah gadis itu?
Pin! Pin! Pin!
Tersedar dia dari leka kenangan. Hilang dunia Itali yang bersalji. Dia sekarang di Malaysia, di atas motor yang bergerak melebihi kelajuan sepatutnya. Dan wajahnya disimbahi lampu kenderaan. Air mata sempat menitis sekali sebelum dia memusingkan handle mengarah ke tepi jalan sehingga tayar berdecit. Tubuhnya tercondong ke kanan. Motor laju bergerak ke arah semak-samun. Melompat dia bila tayar mencecah rumput. Tubuhnya melambung ke udara sebelum jatuh ke dalam rimbunan hutan kecil tepi jalan. Raungannya bergema. Sakit. Terlalu sakit. Tapi sesakit hatinyakah?
Dia biarkan darah terus mengalir dari dahinya yang terhantuk pada satu batu kecil. Senyuman sinis terukir. Bayangan belakang gadis tadi menjelma. Bibir diketap kuat. Yakin, hati lebih sakit dari kecederaan.

 .............................................................................

TEASER2
“WHY?”
Luth Razel tahu untuk apa pertanyaan itu cuma, dia lebih senang menekur latest Canon. Menilik warna hitam pada badan camera itu dengan lensa mata. Mana tahu ada kecacatan di situ? Tapi tiada, alat itu sempurna. Yang cacat adalah hatinya. Yang tidak sempurna adalah jiwanya
“I rasa kamera tu tak ada jawapan pada soalan I. Boleh tak you angkat wajah dan tenung mata I?”
Terlepas dengusan Luth. Dia akur lalu mengangkat wajah. Gadis berambut kerinting hitam berkulit sawo matang, tajam merenung. Dia tahu, bukan wajahnya yang ditilik oleh mata itu tapi balutan di kepalanya.
“You lumba?” teka gadis itu.
“Terbabas,” jawabnya, walau ikut kata hati mahu saja membisu. Telinga ditampar bunyi hembusan nafas kasar gadis itu.
“Apa rasanya bila jururawat balut luka?”
Tak sangka dia akan ditembak dengan soalan sinikal. Dia fikir gadis itu mahu bersyarah. Dia ingat gadis akan menggeleng dengan wajah menunjukkan isyarat ‘kau bodoh?’
“Rasa puas. Darah yang mengalir…” Luth pejam mata, tersenyum seakan udara sekelilingnya terlalu nyaman. Gadis menggeleng. Mula tadi, dia mahu duduk di hadapan Luth. Berbual satu dua topik. Sekarang, niat terbantut.
“Kalau you tak boleh buang…” Gadis terjeda apabila mata membunuh Luth lurus padanya. Cepat-cepat dia berpaling ke arah lain. Mata itu kadang kala menakutkan. Dan sangat menakutkan jika berbicara tentang hal yang satu itu.
“Darah you dan luka pada tubuh you tak akan beri apa-apa kepuasan. You tak perlu simpan tangisan. Jangan menangis kerana dia. Menangis kerana diri you sendiri.” Gadis itu sambung juga walau dia hanya menekur deretan gambar yang terkepit pada tali. Cuma gadis tak lengkapkan ayatnya yang terjeda tadi. Luth bukannya suka.
Luth diam, tidak berniat untuk membidas apatah lagi menyangkal. Berdebat tidak akan membawa apa-apa makna. Dia hanya yakin pada diri dan perasaannya. Dia tidak memerlukan orang lain untuk memanipulasi mindanya. Gadis bermata coklat cair berlalu. Studio kecil tiba-tiba rasa berbahang. Gadis itu berhenti depan bilik berpintukan pastik tebal lut sinar.
“Mail ada dalam?” Luth sekadar mengangguk pada pertanyaan Lola. Canon diangkat dan dibelek penuh bersahaja seakan dia tidak diceramah sebentar tadi.
“Tiket flight dah ada. You akan berangkat lusa,” maklum gadis sebelum hilang ke dalam bilik filem. Mail pasti sedang berperang dengan gambar-gambarnya. Mendadak tangan Luth jatuh sehingga Canon terhentak sedikit pada dada meja. Gambaran kapal terbang melintas. Tangan diletak pada dahi lalu mengurut perlahan. Bulan Disember bakal tiba. Serta-merta benda putih yang tidak pernah muncul ke Malaysia terbayang. Oh salji. Dia tidak pernah membenci. Hanya kenangan itu dibenci.

..........................................................................

TEASER 3
“TAK elok loh makan manis pagi-pagi.”
Dulang mendarat atas meja, menganggu Nuh yang asyik dengan telefon bimbit. “I dah jemu makan roti bakar.”
“Jemu bukan alasan untuk bahayakan kesihatan. Lama-lama, you boleh kena kencing manis.”
Hilang fokus Nuh terhadap graf jualan saham. Dipanggung wajah. Mata lurus pada Khayla. Gadis itu mula leka menyusun muk kopi dan piring kek di hadapannya.
“You nak?”
 “Nak apa?” Sekilas saja Khayla pandang lelaki berwajah kacukan tetapi fasih berbahasa Melayu.
“Ke Turki.”
Tertawa kecil gadis itu. “Nak belanja I holiday? You tak ada teman nak travel ke apa?” Bingkas Khayla bangun sebaik berseloroh.
“Tunggu! I tak bergurau. Mila tak beritahu you?”
Terhalang niat Khayla. Dia menggeleng.
“I nak lamar you jadi pembuat dessert untuk atuk I. I dah beritahu Mila dan dia cakap, you tak akan setuju. Tapi I tetap nak tanya you juga. Mana tahu keputusan you berbeza dengan dia.”
Khayla duduk semula. Sepasang mata biru itu menjadi jajahan matanya. Lelaki itu tidak nampak seperti bergurau. Tapi kenapa dia? Jauh di sana? Dia kenal Nuh pun tak sampai dua bulan. Dia kenal Nuh pun sebab lelaki itu muncul di restoran pagi-pagi buta sambil berpeluk tubuh depan pintu. Masa tu, Kak Mila ajak juga Nuh masuk sebab lelaki tu kata sanggup tunggu sampai restoran buka demi secawan kopi. Selepas hari tu, Nuh akan muncul kadang-kala pada setiap pagi. Entah apa yang diumpan sampai Kak Mila biarkan saja Nuh menjadi pelanggan tetap sebelum restoran beroperasi. Bolehkah dia percaya lelaki ini? Biarpun dia mahu percaya, hati masih berwaspada.
“You setuju?” Terbang melayang lamunan.
“Kak Mila betul-betul kenal I. I’m sorry, Nuh. Dia betul, I akan tolak.” I tawarkan bayaran tiga kali ganda dari gaji you di sini. Hanya untuk sementara.”
Bersungguh-sungguh pula Nuh sampai Khayla serba-salah nak kata tidak lagi.
“I satu-satunya pastry chef di sini. Kalau I pergi…”
“I upah chef dari luar untuk gantikan you. Bila you balik, you akan dapat kembali tempat you di sini.”
“You bersungguh-sungguh?”
“Sebab I tak bermain dengan you.”
Terlepas keluhan. Lagu Fight Song mencelah sesaat. Melebar bibir Khayla.
“Fight song. Makna lagu ni buat kita sedar, kita perlu melawan sesuatu demi kemahuan hati. Dan I sedar, I terpaksa tolak tawaran you sebab… ini dunia I. Malaysia. Again…Sorry.”
Kecewa Nuh. Ditolak messy hair yang menutup pandangannya dari Khayla.
“Nenek meninggal sebulan yang lepas. Keadaan atuk teruk sangat. Atuk paling sukakan dessert yang nenek buat. You ingat, I pernah ambil video saat you sediakan Puding Karamel? I tunjuk pada dia dan dia berkata, you nampak macam nenek. Lenggok you. Cara you berpusing bersama senyuman. Pandangan you hangat, sama seperti pandangan nenek yang hangat dengan kasih sayang,” cerita Nuh, berharap wanita itu terpujuk.
“I minta maaf, Nuh.” Khayla bangun. Alasannya tidak relevan agaknya. Tapi dari air muka Khayla, Nuh tahu gadis itu terkesan. Perlukah dia mendesak? Ah, tidak! Manusia selalu mendesak untuk penuhi keinginan. Dia tidak mahu termasuk dalam golongan itu. Namun begitu, dia harap ada kejaiban yang akan membuat gadis ini bersetuju suatu hari nanti.
“I tahu you terkesan tapi I juga tahu, you tetap dengan pendirian you.”
Nuh mula senyum. Tidak lagi tayang wajah merayu. “Well… I dah kecewakan you, kan?” balas Khayla sambil mulakan langkah.
“Nasib I tak jatuh cinta pada you. Kalau tak, mesti I dikecewakan,” gurau Nuh.
Mendadak kaki Khayla terpasung atas lantai. Dia tertunduk. Gurauan. Itu hanya gurauan.

............................................................................

TEASER 4
“Ishak, you saja kan. Dia dah sampai ke belum? Soalan I bukan soalan menguji minda. Soalan senang.”
“Beritahu aje pada dia, Ishak. Dia dah kerinduan tu,” sampuk Abdullah. Ceria wajahnya semakin malap.
Khayla diam saja kerana dia tak tahu siapa ‘dia’ yang mereka maksudkan. Dia lebih senang menganalisis gerak-geri tiga orang di hadapannya. Felicia, muka merah seperti tidak sabar mahu berjumpa dengan si ‘dia’. Ishak pula tersengih-sengih, sengaja mahu bermain tarik tali. Abdullah pula mengeluh beberapa kali.
“Ishak…” Felicia merengek.
“Habis, siapa mahu tunjukkan bilik pada Khayla?” Ishak masih tetap bermain tarik tali. Spontan Felicia pandang Khayla.
“Saya boleh tunggu. Lagipun, saya boleh makan sebelum naik ke bilik,” putus Khayla sebab dia kesian pada Felicia.
“Dah makan banyak dalam perjalanan tadi pun, masih tak kenyang?” sindir Abdullah tak semena.
Khayla tersentap. Tiba-tiba Ishak ketawa.
“Awak buat Abdullah marah, ya?” Ishak goyangkan jari telunjuk pada Khayla bila dapat menangkap ketidakpuasan hati Abdullah pada tetamu baru mereka.
“Ishak, you ni kan…” Felicia nak meletup bila tak ada sesiapa pedulikan pertanyaannya.
Ishak mencebik, tetap tidak pedulikan gadis itu.
“Suka hati you la. Khayla, jom I tunjuk bilik you,” bentak Felicia lalu menghampiri Khayla.
“Dia dah merajuk.” Ishak sengih, geli hati.
“I benci you!” Felicia menceber.
“Dia ada ke tak?” Abdullah pula soal Ishak sebab dia kesian Felicia dipermainkan.
Khayla perhatikan Abdullah. Betul la, Abdullah sukakan Felicia. Semuanya jelas dari tindakan lelaki itu. Biarpun wajahnya berubah seperti rungsingkan sesuatu, tetap saja dia mempertahankan Felicia.
“Dia ada dalam bilik game. Sampai petang semalam lagi.” Ishak mengalah akhirnya. Tidak jadi Felicia membawa Khayla ke bilik.
“You makan dulu, nanti I tunjuk bilik you. Tapi kalau you tak kesah, Abdullah atau Ishak boleh temankan. Cuma… you berani ke nak naik tingkat atas sambil ditemani lelaki-lelaki ni?”
“Hey, awak ingat kami ini apa?” Terjegil biji mata Ishak. Felicia tidak menjawab sebaliknya menjelirkan lidah. Abdullah menggeleng saja. Entah kenapa, Khayla rasa sedih pula tengok Abdullah. Mungkinkah, ‘dia’ yang mereka maksudkan adalah lelaki yang disukai Felicia?
“Aku ingat kau orang semua dah tidur. Apa yang bising-bising?” Satu suara lain menegur.
Tiga pasang mata kecuali Khayla tertancap pada pemilik suara garau yang tiba-tiba muncul.
“Welcome to Turki, bro,” sapa Abdullah.
Khayla ingin berpaling, mahu tahu siapa yang muncul di belakangnya. Tapi, suara itu buat pergerakannya menjadi lambat. Jantungnya tiba-tiba berdegup kencang. Suara yang menyapa langsung tidak asing pada telinganya. ‘Mustahil dia,’ getus hati Khayla lalu berpaling. Sebelum imej yang menegur jelas di mata, suara Felicia terlebih dahulu singgah di telinga.
“You buat kami menunggu terlalu lama, Luth.” Luth? Sepotong nama itu buat urat saraf di dalam kepala Khayla berdenyut. Dan tepat saat itu juga, imej lelaki bernama Luth itu menyapa mata.
‘Ya Allah,’ ucap Khayla. Memucat wajahnya.
“Siapa dia?” soal Luth tak semena. Mata menikam tajam anak mata Khayla.
“Dia Khayla, orang yang akan gantikan Aunty Khadijah sebagai pembantu dapur.” Felicia tersenyum indah di tepi Luth. “Khayla.” Dua mata saling bertentangan. Khayla telan liur bila Luth tiba-tiba menapak ke arahnya. Kalau tadi jantung hampir luruh, kali ini dia rasa mahu terjelepok jatuh.
“Aku Luth. Luth Razel. Selamat datang ke Ibrahim’s house.”
............................................................................
 

TEASER 5
Mata terarah kembali pada lelaki yang masih tenggelam dalam irama piano. Khayla menapak perlahan-lahan mendekati ruangan itu. Satu-persatu anak tangga kecil didaki. Setiap garisan kelukaan yang pernah dia lihat dahulu, masih ada pada wajah itu.
“Aku tak tahu macam mana kau boleh datang ke sini.”
Terhenti langkah Khayla saat irama terhenti dan suara garau Luth menusuk pendengarannya.
“So… how? It’s me. Tak terkejut?”
Kerusi yang menghadap piano sudah berubah menghadapnya. Tubuh Luth sekarang tepat menghadapnya. Dan mata itu juga lurus padanya, malah menikam kejap.
“Should I, Luth?” Khayla bergerak hingga tepi piano. Dia kerahkan segala kekuatannya untuk berbicara dengan lelaki itu. Dia perlu berani.
“Should what?”
“Terkejut sebab awak ada semua ni. Ada atuk yang kaya raya. Ada abang bernama Nuh. Ada ramai kawan. Ishak, Abdullah dan Felicia. Perlukah saya terkejut kerana banyak rahsia yang awak sembunyikan dari saya, sebenarnya?”
“Kau kenal Nuh?”
“Dia pelanggan tetap di restoran Kak Mila. Saya bekerja di sana,” beritahu Khayla tanpa berselindung. Dia cuma meneka bahawa Luth adik kepada Nuh. Ikutkan cerita Nuh, atuknya hanya ada satu anak gadis sahaja iaitu emak Nuh. Kalau Luth cucu kepada atuk Nuh, bermakna Luth juga anak kepada ibu Nuh. Mereka pasti adik beradik. Tersungging senyuman kecil Luth.
“Nuh pernah tengok gambar kau. Nuh tahu, siapa kau. Dan kau…”
“Ke sini atas tawarannya,” potong Khayla sambil tersenyum sinis. Rancangan Nuh rupanya.
“Dia merancang supaya kita dipertemukan,” sambung Khayla bersama sisa ketawa yang menyelindungkan rasa terkejutnya. Dia tak jangka pula semua itu.
“Dia tak tahu, kita tak perlukan semua tu. Damn, Nuh!”
Terbayang wajah Nuh. Kalau la Nuh itu wajahnya persis Luth, pasti dia boleh agak. Warna kulit dua lelaki itu saja berbeza, mustahil dia dapat agak. Atau ini kesilapannya kerana tidak pernah ambil tahu tentang diri Luth walaupun dari dulu dia dapat agak, Luth seorang yang penuh dengan rahsia.
“Kenapa awak dan dia berbeza?” soal Khayla. “Aku lebih campuran abi dan Ummi dan dia lebih mirip atuk,” jelas Luth bersahaja. Pantas saja mereka berbeza. Ayah Luth kacukan Turki-Itali dan emaknya pula dari Malaysia. Pasti kulit Luth yang lebih kepada kulit jantan itu, dari gen emaknya. Dan Nuh, dia lebih mirip wajah Eropah dan Timur Tengah.
“Biar aku…” Luth berjeda. Kaki mula menapak menghampiri Khayla. “Tanya kau sesuatu.” Tubuh mereka saling bertentangan. Liar mata Luth meneroka wajahnya. Khayla biarkan saja. Sukar untuk dia tafsirkan sama ada, itu pandangan kerinduan atau pandangan kebencian.

................................................................................................

TEASER 6
“Awak masih sakit?” laung Khayla tak semena. Terhenti langkah Luth.
“Kau nampak kesembuhan pada aku?” Soalan dibalas soalan.
“Awak marah atau berdendam?” Laju Khayla berlari ke arah Luth. Terbias seribu satu keinginan untuk tahu rahsia hati seorang Luth. Khayla cuma berharap Luth marah dan benci bukannya berdendam.
“Kau tahu… jawapannya.”
“Saya bencikan jawapan tu Luth.” Sumpah, dia sangat bencikan ayat yang satu itu.
“Kebencian aku pada kau lebih dalam dari kebencian kau pada ayat tu.”
“Jadi, awak hanya benci?” Dia takutkan dendam. Dia tak mahu Luth berdendam dengannya kerana dendam sesuatu yang menakutkan. Lagi-lagi dendam itu dari Luth Razel. Namun, Luth tidak menjawab sebaliknya memisahkan jarak mereka dan berlalu pergi.
“Saya dah musnah Luth!” Khayla mengejar lagi. Biar orang mengatanya tiada harga diri kerana asyik mengejar tapi hanya dia saja yang tahu, kenapa dia jadi begitu?
“Kau tipu. Aku tak nampak di mana kemusnahan kau,” bidas Luth walaupun masih berjalan dan dikejar oleh Khayla.
“Kecuali, kau dah jadi miskin.”
“Should I die?”
Langkah Luth mati.
“Baru awak akan percaya yang saya dah musnah?” Tertelan air liur Luth. Pedih rasanya menerima soalan yang mencabar dirinya. Tapi, cabaran perlu disahut.
 “Then… go die!”
Luth berlalu dan Khayla berhenti mengejar. Yang mampu dia lakukan hanya memandang kelibat yang berlalu. Melodi yang dimainkan oleh Luth tadi seperti terngiang-ngiang di tepi telinga. Sendu dan sayu. Adakah melodi itu mewakili perasaan lelaki itu? Khayla kepal tangan. Memikirkan semua itu buat nafasnya sesak. Ayat kejam Luth tadi melintas. Go die.
“Ya Allah…” Khayla pegang dada yang berdegup laju malah dia cuba tenangkan aliran nafasnya.
“Awak kenal Luth?” Khayla tersentak. Wajah serius Abdullah menyapa mata. “Who are you?”

You May Also Like

0 comments