BAB 5 hana dan ayie

by - November 02, 2018



Pusing kiri, pusing kanan...

"Mana dia pergi ni?" keluh Hana dengan mata semakin laju meliau-liau. Orang lelaki ni memang kan? Susah sangat nak tunggu perempuan beli belah. Tadi usai membeli cincin, dia ajak Ayie singgah sekejap dekat pasaraya TESCO ni. Baru lima minit berjalan, Ayie dah hilang. Tak takut ke kalau bakal isteri dia yang cun ni kena mengorat dek orang?

Bila teringatkan cincin, mendadak rasa bahagia menapak dalam sanubarinya. Cincin kahwin yang dipilihnya macam memberitahu yang dia bakal bersatu dengan orang yang paling dia cintai. Tak sabarnya nak tunggu sebulan ni berlalu.

"Hana..."

Hana Fahira tersentak dari lamunan ala gediknya. Nampak sangat dia yang gatal lebih dari Ayie. Tapi kesah apa? Janji dia dapat kahwin dengan Ayie!

"Kak Liana?" Mata Hana membesar.
Terkejut sangat muka dia tengok bekas kekasih Ayie. Kenapa perempuan ni muncul? Kalau Ayie nampak, sah kenangan cinta tersebar dalam kepala. Jangan Ayie berubah fikiran sudah!

"Seorang je ke?" soal Liana sekadar berbasi-basi. Ada la beberapa kali dia bertemu dengan Hana sebelum ni. Wajah Hana yang manis memang senang nak ingat.

"A...aa.."
Lidah Hana terkelu sesaat. Nak cakap yang betul atau nak menipu? Kalau cakap Ayie ada sini dan Liana meroyan nak kembali pada Ayie, macam mana? Makan hati dia nanti!
"Hana seo..."

"Dah habis beli ke?" ada yang mencelah saat Hana cuba menipu.

"Ayie?"

Liana tersentak. Tanpa sedar matanya dengan mata lelaki itu bersatu. Ada rentak hiba mula teralun di dalam benaknya. Hana menjeling sebentar pada Ayie. Perlahan-lahan mukanya ditarik.
Jelas sangat wajah terpanar Ayie. Dah tu, macam tak nak tarik pandangan dari wajah Liana. Entah kenapa jiwanya diserang rasa cemburu. Dia nampak Ayie mengigit bibirnya sedikit. Dia dapat melihat cinta yang masih menyala di mata itu.

"Tak sangka kan kita jumpa dekat sini." Hana menjerit sedikit kuat hingga pandangan dua hati itu terlerai. Sempat dia ketap bibir melihat Liana. Sibuk je perempuan tu!

"Ye... Tak sangka." balas Liana dengan mata masih dipadukan pada wajah Ayie.
Ayie melarikan wajahnya sebentar sebelum dia tersenyum sinis dalam diam.

"Kak Liana buat apa dekat sini? Seorang je ke?" Hana bersuara lagi. Kalau dia diam, rasa suasana bakal jadi hambar.

"Beli barang rumah sikit. Seorang je sebab tak ada yang teman."

Hana merengus dalam diam. Tahu la tak ada teman tapi kenapa waktu cakap perkataan teman tu mesti tenung muka Ayie? Huh!

"Hana dengan Ayie buat apa dekat sini?" Sambung Liana dengan soalan yang singgah dibenaknya.

Hana ingin menjawab namun, suara Ayie lebih pantas keluar.
"Saya dengan Hana cari barang. Barang hantaran."

Liana tersentak. Bukan Liana saja, tapi Hana juga. Masa bila mereka nak beli barang hantaran? Semua kan dah lengkap. Dia mengerling Ayie namun sesaat wajah Hana bertukar keruh. Ayie tengah buat Liana cemburu. Dia pasti!

"Hantaran???"

"Ye hantaran. Saya dengan Hana bakal berkahwin sebulan lagi. Saya memang nak beritahu awak tapi alang-alang terjumpa dekat sini, saya beritahu terus la. Saya dan Hana akan bernikah. Kalau sudi, datanglah." laju mulut Ayie berkata seolah-olah ingin menyakiti hati Liana dalam diam.

"Awak dengan Hana???" mata Liana terbeliak.
Tidak! Ayie nak kahwin dengan Hana. Tiba-tiba rasa nafasnya sedikit sesak.

"Ye kak. Lagi sebulan je. Jemputlah datang. Nanti kalau buat majlis L, saya bagi kad dekat akak." Hana menambah ceria.

Nafas yang sesak terasa berhenti tiba-tiba. Wajah ditunduk seketika dengan rasa tak percaya.

"Taniah..."

MencerlunG biji Ayie menerima ucapan itu. Menerima ucapan taniah atas perkahwinan dari orang yang dia cintai. Sumpah! Memang buat dia meradang. Liana seolah-olah tak kisahkan dia.

"Thanks. Alhamdulillah, akhirnya saya jumpa dengan perempuan baik yang pastinya tak akan lukakan hati saya." sindir Ayie sebelum tangannya menarik tangan Hana.

Terdorong Hana ke dada bidang Ayie. Air liur ditelan. Sejak bila Ayie ni suka main pegang-pegang tangan ni?

Tak sanggup rasanya melihat tangan orang kesayangan berada di dalam genggaman orang lain. Liana tertunduk. Dia tahu, Ayie bukan jenis lelaki yang sentuh perempuan ikut suka hati. Ayie tak pernah menyentuh tangannya saat mereka bercinta dulu. Tapi kali ini Ayie selamba mengenggam erat tangan Hana. Sungguh jiwa Liana terdera.

"Sayang, saya rasa kita perlu balik sekarang. Mesti mama saya tak sabar nak tengok cincin yang kita pilih. Awak pun dah selesaikan? Saya rasa kita patut balik sekarang." Tangan Hana di dalam genggaman dibawa ke dadanya. Sengaja ingin menjentik rasa cemburu pada jiwa Liana.

Hana berkerut dahi melihat tindakan Ayie. Dia menjeling wajah Ayie yang merah menahan sesuatu dan muka Liana yang mula suram. Hana mengigit bibir geram! Ayie ingat dia ni alatan untuk sakitkan hati perempuan yang tolak lamaran dia tu?

"Tu la. Mama mesti nak sangat tengok cincin yang kita pilih tu. Kak Liana, kalau macam tu, Hana dan abang Ayie balik dulu la." ujar Hana dengan senyuman lebar.

Tiba-tiba dia jadi geram dengan Ayie. Geram punya pasal, tangan Ayie turut digenggam erat. Dipicit tangan Ayie hingga dahi lelaki tu berkerut.

Liana mengangguk. Melihat anggukan Liana, pantas Ayie menarik Hana laju. Dia tak sanggup lagi tengok wajah bekas kekasihnya. Terdorong Hana dengan langkah besar Ayie. Liana yang melihat hanya tertunduk. Perlahan-lahan air matanya mengalir.

"Maaf Ayie, saya buat semua ni demi adik saya. Saya terpaksa lepaskan awak tapi cuma awak satu-satunya lelaki yang saya peling cintai. Maafkan saya," gumam Liana perlahan sebelum melangkah dengan hati yang berderai bertaburan.

Ya Allah, sakitnya hati bila orang yang dicintai berada dalam pelukan orang lain.
...

Kaki Ayie terhenti dan begitu juga dengan kaki Hana. Mereka berpandangan sesaat sebelum Hana merentap tangannya laju. Tajam matanya memandang Ayie yang nampak serabut.

"Puas hati dah? Puas hati berlakon semata-mata nak buat bekas kekasih abang Ayie tu cemburu?" hambur Hana tanpa dapat ditahan.
Mulutnya sendiri dan bergerak menahan rasa geram. Ada rasa sebak mula muncul bila memikirkan yang Ayie masih cintakan Liana. Mustahil Ayie nak cemburukan Liana kalau dia tak ada perasaan pada gadis itu lagi. Lagipun, sejak bila Ayie manja dengan dia? Sejak bila Ayie membahasakan diri mereka saya dan awak?

Ayie mengeluh kuat seraya berpaling ke tepi. Keluhan menandakan dia langsung tak hairan dengan kemarahan yang terpancar pada mata Hana.

"Hana tahu abang masih cintakan dia tapi ingat... Hana ni bakal isteri abang. Hana terima abang Ayie sebab Hana cintakan abang Ayie. Hana berharap lepas kahwin abang Ayie akan berikan hati abang Ayie pada Hana dan lupakan kak Liana. Walaupun lambat, Hana akan tunggu." bicara Hana dengan rasa geram.
Ayie menjeling dengan muka malas nak ambil tahu. Melihat mimik itu, Hana menalan rasa pahit yang mula membengkakkan hatinya.

"Hana tak minta banyak. Hana cuma nak abang hormatkan Hana. Kalau abang nak buat kak Liana cemburu, jangan jadikan Hana sebagai umpan. Hana terkilan dengan abang hari ni. Kerana kak Liana, abang menipu. Masa bila kita beli barang hantaran? Abang sengaja nak sakitkan hati kak Liana kan? Hana betul-betul terkilan dengan abang Ayie." Penuh emosi Hana meluahkan rasa hatinya. Tergeleng dia melihat mata Ayie yang kini sudah terarah pada dirinya.

Ayie berdiam seketika sambil melemparkan pandangan sinis. Hana hanya budak mentah yang tak mengerti perasaannya. Budak mentah sampai bila-bila tetap mentah!

"Apa yang kau faham pasal cinta?" Tempelak Ayie tiba-tiba dengan mulut terjongket naik.

Cinta? Hana menghela nafasnya.

"Kenapa abang Ayie tanya macam tu?"

"Sebab kau cuma budak mentah yang tak tahu erti cinta. Kau cuma mampu bercakap tapi kau tak rasa. Kalau kau dekat tempat aku pun, aku yakin kau akan lakukan benda yang sama!"

Ya! Memang dia mentah tapi dia bukan bodoh. Cinta bukan untuk difahami tapi cinta untuk dirasai.

"Hana atau abang Ayie yang tak tahu apa itu cinta sebenarnya. Kadang-kadang bercinta bertahun-tahun pun belum tentu dapat fahami apa itu cinta sebab cinta tu bukan untuk difahami tapi untuk dirasai."

"Jadi sekarang kau nak cakap aku bodoh?!"

"Bukan macam tu maksud Hana."

"Habis apa? Kau tahu aku tak pernah pandang perempuan lain selain dia. Kau fikir aku boleh ubah hati sesuka hati?"

Bibir dikemam lembut. Memang hati sukar diubah tapi kalau hati Ayie masih tak boleh diubah, kenapa Ayie mahukan dia?

"Kalau abang masih ada hati dengan dia, kenapa abang lamar Hana?" tanya Hana berani.

Soalan Hana buat Ayie mencengkam rambutnya sendiri. Hana masih statik berdiri menunggu jawapan dari bibir lelaki itu. Tiba-tiba saja Ayie mengangkat wajahnya.

"Jadi kau nak aku batalkan majlis tu?"
Hana tersentak. Bibirnya bergertar tiba-tiba dengan air mata terasa hampir bergenang. Senangnya Ayie bercakap. Nak, datang, tak nak pergi.

"Suka hati abang Ayie la!" ujarnya perlahan sebelum berlalu pergi. Jiwanya nanar.
Bila Hana berlalu, Ayie memejam matanya. Menghilangkan wajah Liana dan Hana yang datang bersilih ganti. Dua perempuan yang muncul dalam hidupnya. Satu cintakan dia satu lagi tinggalkan dia. Patutkah dia membuang orang yang cintai dia semata-mata kerana mengenang kisah cinta yang tak dihargai.

"Argh!!!" jeritnya kuat sebelum melarikan langkahnya ke arah Hana yang semakin jauh

You May Also Like

0 comments