BAB 5 HEY LAURA ITS ME

by - February 12, 2019

BAB 5






HAMPIR saja Fateh terseradung saat tersepak karpet tebal dihadapannya. Bertalu-talu dia pijak karpet itu. Lepaskan geram.
“Menyusahkan!”
“Apa yang susah? Kau dah dapat masuk?”
Fateh berhenti lampiaskan amarahnya pada karpet. Ada lagi rupanya si Sairez. Ingat dah membuta dekat rumah.
“Aku dah dapat masuk. Tunggu masa nak cari bilik dia. Tapi, kau pasti bini dan anak dia memang tak ada dalam rumah ni? Aku tak nak pula ada perempuan memekak tengok aku muncul malam ni,” bisik Fateh. Tangga di hujung penjuru mula dipijak perlahan-lahan.
“Tak ada. Mereka memang tinggal dekat luar negara. Tapi tak tahu la kalau dia tengah berseronok dengan perempuan simpanan dalam bilik.”
Fateh menyeringai. Tu maknanya Farid kaki perempuan kan? Ni yang susah ni. Kalau ada perempuan, leceh sikit nak buat kerja.
“Okey. Out.” Fateh tarik alat dari telinga.
Terjengket-jengket dia memeriksa setiap bilik dan ruang. Semuanya kosong!
“Mana pula bilik orang tua ni? Semua bilik aku dah periksa.” Fateh garu kepala. Lama dia perhatikan kalau-kalau ada bilik yang yang tertinggal. Dari tingkat atas, matanya tiba-tiba tertancap pada sebuah pintu kecil.
“Tak kan dekat situ pula. Mustahil orang kaya tinggal dalam bilik kecil. Tu mesti bilik orang gaji,” omel Fateh.
“Sekejap! Kenapa tak nampak satu orang gaji pun dalam rumah ni? Baru pukul sembilan malam, kenapa sunyi? Gelap gelita?” Berpusu-pusu soalan menerjah mindanya.
Lama dia berfikir sebelum dia tersentak.
“Jangan-jangan...
Tiba-tiba lampu terpasang. Serta-merta rumah yang gelap gelita jadi terang-benderang. Fateh terkejut. Namun, dalam kejutan itu, pantas dia menjatuhkan dirinya. Bergolek, membuka salah satu pintu bilik. Mendiamkan diri di situ.
“Apa ni? Mereka tahu aku nak datang?” Fateh menyeringai. Kalau ni perangkap untuk dia, memang makan tak habis!
Berdegup jantung lelakinya menunggu jika ada yang datang menyerang, namun sepi. Selang sesaat kemudian, ada bunyi bising sayup-sayup menampar cuping telinga. Berkerut dahi Fateh. Tak tahan mendiamkan diri, pintu dikuak sedikit. Membeku pergerakan matanya saat mata menangkap beberapa orang lelaki sudah yang sudah dipegang oleh pengawal-pengawal yang berada di luar tadi. Beberapa saat kemudian, pintu kecil yang disangka bilik orang gaji, terbuka. Muncul satu wajah.
“Betul la tu bilik dia. Kenapa dia duduk bilik kecil macam tu?” Fateh mengeluh. Dalam masa yang sama, dia lega. Bukan dia yang disasarkan. Agaknya yang ditangkap tu adalah Lucas and the gang yang dimaksudkan oleh Datuk Zahid.
Boleh tahan juga Farid tu. Ingat bodoh tapi ternyata bijak. Habislah kau, Datuk Zahid. Lawan kau ni bukan tak ada akal. Sekejap saja Lucas and the gang yang kau hantar masuk perangkap. Bodoh!
“Datuk Zahid hantar kau orang untuk bunuh aku?”
Suara tenang itu buat pandangan Fateh terhala pada lelaki separuh abad yang berdiri dengan lagak biasa. Namun, mata galak lelaki tua itu menikam kejap tiga lelaki yang cuba meronta dari pegangan.
“Dia ingat cukup hanya hantar tiga orang untuk bunuh aku?” tempelak Tuan Farid bersahaja.
Fateh tersenyum sinis. Penjahat yang berakal. Itu pandangannya pada lelaki bernama Farid itu. Saat ralit memerhatikan lelaki tua yang lengkap dengan pakaian tidur, Fateh nampak dua orang pekerja lain tergopoh-gopoh membawa sebuah kerusi besar. Kemudian lelaki bernama Farid itu melabuhkan punggung di situ. Kaki disilang. Ada kopi terhidang di depannya. Dengan lagak seperti tiada berlaku apa-apa, kopi dihirup.
“Walaupun annoying, aku suka gaya dia,” komen Fateh. Masih mengintai.
“Kita nak buat apa dengan mereka ni, bos?” Salah satu orang suruhan Tuan Farid tampil.
Lelaki separuh umur itu tak menjawab sebaliknya menghulurkan tangannya. Sepucuk pistol terus bertukar tangan.
“Selalunya, orang yang masuk dalam rumah aku, tak akan selamat. Macam ni aje la. Aku bagi kau orang dua pilihan. Kematian yang menyeksakan atau kematian yang pantas. Pilih.”
Membunuh! Ni yang Fateh tak lalu nak tengok. Betul kata Laura tempoh hari. Walaupun manusia zaman sekarang tahu mereka adalah manusia, tetap juga nak jadi binatang!
“Kau fikir kau akan selamat ke, Farid?” Tiba-tiba salah seorang lelaki suruhan Datuk Zahid yang dipegang erat menyoal sinis.
Tuan Farid mencebik. Beberapa detik kemudian, wajahnya berubah bengis. Tanpa sebarang kata, dia berdiri lurus bersama tangan disilang ke belakang. Namun, tak semena-mena ada benda menekan belakang lehernya. Dia kembali terduduk.
Fateh membeliakkan biji mata. Tercengang dia tengok apa yang sedang berlaku sekarang. Salah satu pengawal Farid sendiri mengacu pistol pada tuannya. Sekelip mata Lucas and the gang ketawa kuat.
“Kesian kau Farid. Ingat dah pandai sangat. Orang sendiri jadi pengkhianat pun tak sedar,” kutuk Fateh perlahan.
“Lepaskan mereka semua. Campak semua pistol atau aku bunuh dia.” Si pengkhianat mula bersuara. Muka cuak tapi nampak la kebanggaan sebab dapat acu pistol pada tuan sendiri.
Orang suruhan yang lain nampak teragak-agak mengikut perintah si pengkhianat. Tapi bila Farid mengangguk, mereka terpaksa akur.
“Apa kau cakap tadi? Tiga orang tak cukup untuk bunuh kau?” Lucas, si ketua ketawa besar. “Bukan tiga tapi empat! Empat orang sudah cukup untuk bunuh manusia binatang macam kau,” tambah Lucas. Tersenyum puas pada si pengkhianat.
Persaingan dalam perniagaan, kadang-kala menakutkan juga.
Fateh menggeleng. Tak sedar ke Lucas, dia pun perangai dah serupa binatang? Fateh renggang otot. Beg sandang dibawa ke depan. Snow cap kembali diletak atas kepala. Topeng separuh muka dilekap pada wajahnya.
“Dalam keadaan checkmate macam ni, bantuan diperlukan. So, aku ni ibarat apa? Knight! Aku paling suka knight!” getus Fateh riang. Badan ditegakkan. Pisau dari poket belakang dikeluarkan. Perlahan-lahan pintu dikuak lebar.
Tarik nafas tiga detik, kemudian... Serang!
Pap!
Argh!!!” Bunyi erangan kuat bergema.
Pistol dalam genggaman si pengkhianat terjatuh. Matanya terbelalak melihat pisau yang sudah tertikam tepat dibahunya. Dia menggeliat kesakitan. Saat itu semua mata tertumpu pada Fateh yang sudah berlari menuruni tangga.
“Tunggu apa lagi? Serang la bodoh!” bentak Fateh kuat.
Bagaikan akur dengan suruhan Fateh, orang suruhan Farid dan Lucas and the gang berlawan sesama sendiri. Saat itu Fateh sedar dia diperhatikan. Cepat-cepat dia angkat tangan menghalang Tuan Farid dari merenung matanya.
Serangan demi serangan. Tujahan demi tujahan. Tumbukan demi tumbukan. Semua itu hanya dijeling Fateh tanpa masuk campur. Memang tak la dia gunakan kederatnya untuk lawan Lucas and the gang. Dia dah cuba patahkan serangan si pengkhianat tadi pun, dah cukup bagus.
“Siapa kau?” Lantang Tuan Farid menyoal saat semua orang Datuk Zahid ditawan kembali. Mata tuanya tajam menikam lelaki yang sedang memalingkan wajahnya.
Fateh tersenyum sedikit. Tangan dijatuhkan. Dia berpaling dan menundukkan wajahnya. Berjalan mendekati Tuan Farid bersama langkah yang sedikit angkuh. Namun, kakinya membeku saat orang Tuan Farid menghalakan pistol ke arahnya.
Hesy!” Fateh berdesis. Inikah balasan atas pertolongan?
“Turunkan pistol,” arah Tuan Farid. Automatik semua senjata tadi beralih dari tubuh Fateh.
Kening Fateh terangkat. Bila tiada ancaman, dia teruskan pergerakkannya.
“Aku Marlo.” Fateh kenalkan diri.
“Marlo?” Sinis sikit suara Tuan Farid.
Hati Tuan Farid sedikit kagum melihat tak ada gentar langsung anak muda itu berdiri dihadapannya. Muka tertunduk itu cuba dicari namun, lelaki itu bingkas mengangkat tangannya.
“Jangan cuba cari tahu siapa aku.”
Tuan Farid luruskan pandangan.
“Kau salah seorang pesuruh yang diupah Datuk Zahid kan? Aku fikir kau yang akan datang malam ni. Kenapa kau selamatkan aku? Beralih arah?”
“Puaskan hati,” balas Fateh pendek.
Tuan Farid kerutkan dahi.
“Aku tak selamatkan kau. Aku cuma nak puaskan hati. Dia rancang nak jadikan aku kambing hitam dalam pertuduhan membunuh kau. Patutkah aku diam saja? By the way, untuk pengetahuan kau, polis akan sampai ke sini bila-bila masa sahaja.” Fateh seluk poket. Menambahkan imej sombongnya.
“Jadi, aku tak perlu berterima kasih pada kau kan?” Kening Tuan Farid terjongket.
Fateh mengangguk. Dalam masa yang sama, matanya mengerling salah satu orang suruhan Farid yang mengenggam longgar pistol di sisi.
“Ya, kau tak perlu berterima kasih tapi...”
 Serentak itu, pistol dirampas. Dengan satu gerakkan pantas, Fateh berpusing pada Farid. Muncung pistol diletak tepat pada dahi Farid. Laju orang suruhan orang tua itu mengacu pistol pada Fateh.
“Aku tak suka terlibat dengan pembunuhan. Kau fikir kau malaikat maut? Lepaskan mereka semua,” arah Fateh meluat.
Tiba-tiba saja Tuan Farid melambakkan tawanya. Semua orang suruhannya berpandangan sesama sendiri. Lelaki yang mendakwa dirinya Marlo buat dia semakin tertarik. Alangkah bagus kalau dia ada seorang pesuruh berani begitu.
“Kau tak suka terlibat dalam pembuhan, itu bermakna kau tak mungkin bunuh aku.”
Giliran Fateh ketawa. Tapi tak gah seperti Tuan Farid tadi.
“Aku tak suka pembunuhan kecuali... Aku terancam. Kau tahu kan, matlamat menghalalkan cara,” balas Fateh.
Dia bergerak ke belakang Tuan Farid. Tangan masih mengacu pistol. Sampai dibelakang lelaki tua itu, dia bingkas melintangkan lengan dileher itu. Memeluk dari belakang. Muncung pistol ditekan tepi kepala itu.
Terpejam mata Farid bila tangan itu menekan lehernya. Isyarat mata diberi pada orang suruhannya. Sekelip mata, pistol yang terhala pada Fateh, dijatuhkan. Lucas and the gang termasuk si pengkhianat dilepaskan.
“Keluar dalam kiraan tiga atau aku biarkan mereka semua ni bunuh kau orang. Keluar!” bentak Fateh.
Macam lipas empat lelaki itu melarikan diri. Fateh tarik muka. Dasar pengecut. Mata dihala pada lima orang suruhan Tuan Farid yang masih menatapnya.
“Jangan siapa pun bergerak dari situ kalau tak nak orang tua ni mati. Faham?” Amaran diberi sebelum mendorong Tuan Farid mengikut langkahnya.
Sekali lagi Tuan Farid beri isyarat supaya ikut saja kata-kata Fateh. Tanpa rontaan, dia biarkan saja Fateh menariknya hingga ke pintu rumah. Sampai di muka pintu, Fateh tunduk berbisik.
“Kalau kau perlukan apa-apa, hubungi aku. Aku boleh buat semua kerja kecuali... Membunuh.” Satu kertas diletak dalam genggaman Tuan Farid.
Selang beberapa detik, tubuh Tuan Farid dilepaskan dan pistol dicampak. Bagaikan angin, dia meluru keluar dan menghilang. Hilang saja bayangan Fateh, Tuan Farid ketawa kecil.
Dan semakin lama, tawa kecil itu berubah besar.
Wajah orang-orang suruhannya berubah pelik.
“Tuan...”
Muncul satu suara garau lain yang membuat tawa galak itu terhenti. Dan saat itu, senyuman Tuan Farid berbuah tatkala lelaki yang menyangkut Sniper Rifle di bahu menghadapnya dengan wajah bengis.


You May Also Like

0 comments