Bab 3 Aku Di Sini

by - July 21, 2018


BAB 3
 
TENGAH sedap tidur sampaikan termimpi dia menjadi Snow White, alih-alih kepala rasa macam kena luku.
Puk!
“Bangun la perempuan. Tidur aje kerja. Bangun!”
Ara terasa tubuhnya digoyang berkali-kali. Kacau betul la! Bagi la dia chance nak jadi wanita tercantik.
“Bangun la!”
Nak tak nak, dia terpaksa buka mata. Terpisat-pisat sekejap.
“Tak sampai sepuluh minit aku dekat belakang dengan Sofea, kau dah membuta. Ni kalau mak ngah tahu ni, sepuluh malam kau kena bebel.”
Ara pusingkan kepalanya. Dah agak mesti lelaki tu. Siapa yang berani kacau dia selain Dollah? Bengang saja. Hilang muka Rogayah yang jadi watak mak tiri Snow White dalam mimpinya.  
“Mamai lagi la tu. Hello, sedar tak kau dekat mana ni? Ke masih dalam mimpi? Nak aku seru mak ngah baru nak sedar ke?”
Mencebik Ara.
“Kau luku kepala aku tadi, kan?” Ara mencerlung pada sepupunya yang sesuka hati melabuhkan punggung atas kaunter bayaran.
“Habis tu siapa lagi? Dah kau dok terlolong tidak-tidak-tidak, aku bagi la sikit kesedaran. See, kau dah sedar,” balas Dollah selamba.
Air di depan Ara dibawa ke bibir. Mencicip dengan muka tak bersalah.
“Kau ni teruk la. Dah luku kepala aku, bukan tak minta maaf. Siap bedal air aku lagi. Kau ni teruk betul la!”
Sakitnya hati!
“Teruk-teruk aku pun, kau sayang kan?” balas Dollah pantas.
Ara terdiam. Mengeluh pendek. Setiap kali dia mengutuk itu la jawapan Dollah. Sayang! Dan tak dinafikan, dia memang sayangkan Dollah.
Dollah sepupunya.
Dollah kawannya.
Dollah sahabatnya.
Dollah seperti abangnya.
“Itu la modal kau. Huh! Tapi mana Sofea?” Kepala Ara meliar ke kiri dan kanan. Tak nampak pula pekerja emaknya yang satu tu.
“Ada dekat belakang. Dah masuk waktu rehat dia. Tidur la, apa lagi?”
“Minah tu memang!”
“Tapi sekurangnya dia tidur masa rehat bukan macam kau. Tengah jaga kedai pun boleh buat proses pengeluaran air liur basi,” sindir Dollah pedas.
Tapi apa nak dihairankan? Ara dah biasa. Mulut Dollah memang macam senapang. Dan dia selalu dibunuh dengan senapang tu.
“Yang kau ni bila nak balik? Tak ada kerja ke? Asyik melepak sini macam anak orang kaya. Emak bapak jenuh banting tulang, anak merayau. Tak ada hati perut langsung!” Giliran Ara menyindir. Kalau mulut Dollah macam senapang, mulut dia macam sabit. Sekali cantas saja.
“Mulut kau ni memang terlebih advance! Sumbat dengan penumbuk ni karang.” Buku lima diacu.
“Sumbat la. Sumbat la.” Wajah didekat pada Dollah bersama mulut terbuka. Badan dah terliuk gedik. Kelopak mata tak habis-habis dikelipkan. Comel la konon.
Poyo. Gila gedik perempuan ni.” Muka Ara ditolak bersama ketawa getik.
“Gedik-gedik pun, kau sayang.”
“Tu ayat aku.”
“Aku copy paste.”
Ara dan Dollah sama-sama ketawa. Kalau dah perangai sama sengal, ketawa pun memang sama tara sengalnya.
So, macam mana kau dengan Razif?” tanya Dollah tiba-tiba. Saat itu tangannya mencapai alat kawalan jauh televisyen. Menekan satu persatu saluran TV.
“Berani kau tanya, kan? Masa mak aku cadang aku kahwin dengan si Razif tu, bukan main kau diam. Macam sokong mak aku. Dasar lalang. Tak payah la tanya pasal lelaki tu. Matikan mood aku.” Ara berpeluk tubuh.
Dollah letak alat kawalan jauh di tepinya. Tubuhnya diganjak mendekati Ara yang sedang bersandar pada kerusi.
“Kau tahu angin mak kau macam mana kan? Kalau aku bersuara, mahu kena sembelih.”
Ara menjeling. Dasar pentingkan diri sendiri.
“Ni kenapa pula tiba-tiba datang dekat ni?” Paha Dollah yang hampir terkena bahunya ditolak kuat.
Dollah diam. Wajah selenganya tadi sudah bertukar serius. Tanpa kata, tubuhnya dibongkokkan supaya wajahnya setara dengan wajah sepupunya.
“Kau tahu aku sayang kau, kan?” tanya lelaki itu tiba-tiba.
Ara angguk. Mata tak berkerdip bila Dollah tiba-tiba bertukar serius. Buat dia terkejung.
“Lepas apa dia dah buat dekat kau, kau fikir aku sokong kau kahwin dengan dia? Aku tak setuju langsung. Jangan risau, apa pun yang berlaku, aku tetap ada dengan kau.” Dollah kenyit sebelah mata.
Ara tersentak. Perlahan-lahan matanya dibawa menikam anak mata Dollah. Ada senyuman nipis terukir.
“Dollah...”
Yes?”
“Baik kau jauhkan diri sebelum aku jatuh cinta dekat kau.”
Kening Dollah terangkat tinggi.
“Jatuh la, nanti aku sambut.”
Dan senyuman nipis Ara jadi lebar, lebar dan lebar sebelum suara macam orang nak muntah keluar dari mulutnya. Saat itu juga kepala Dollah ditolak kuat ke belakang. Hampir saja Dollah terlentang. Nasib dia sempat pegang tepi meja.
“Ya Allah, kenapa la sepupu aku ni poyo sangat? Geli tau tak?” Ara menggeliat tahan geli.
Bergegar tubuh Dollah ketawakan Ara. Dah tahu reaksi sepupunya itu. Melihat Ara ceria, dia lega. Cuma, otaknya ligat berfikir macam mana nak menghalang Ara dari disatukan dengan Razif, sepupu mereka yang sangat-sangat menyampahkan.
“Kau tahu kan, aku dah lama jatuh cinta pada kau,” akui Ara tiba-tiba.
Dollah tersenyum. Langsung tak terkejut. Macam mana nak terkejut kalau acap kali Ara luahkan ayat itu?
“Macam abang sendiri, kan?”
Ara mengangguk. Itu la perasaannya pada Dollah. Kasih sayang seorang adik pada abang. Tiada yang lain. Titik!
“Dan aku pun dah lama jatuh cinta dekat kau. Tapi sebagai seorang adik.”
Ara menyeringai. Tiba-tiba rasa janggal. Nak beromantik pula sampai main love-love ni. Mengeliatkan badan kegelian. Macam tadi, Dollah ketawa kuat. Sekuat hati.
“Sebut pasal cinta, kau dah jumpa ke pak we Aifa Hani tu?”
Muka Dollah terus berubah bila nama perempuan yang disukainya menusuk telinga. Dengusan terhambur.
“Belum!”
“Kesiannya kau. Dah berapa banyak kau habis duit dekat restoran dia?”
“Entah, tapi belum sampai boleh buat aku muflis. Alang-alang kau dah sebut pasal dia, jom teman aku. Aku bawa kau ke restoran tu. Kau tak pernah pergi lagi, kan? Aku belanja kau.” Dari duduk, Dollah berdiri.
“Apa mimpi ajak aku ni? Selalu aku nak ikut, kau buat derk aje.” Mata Ara mengecil. Mesti ada niat sebalik mee ni.
“Dah berapa kali aku pergi tak jumpa juga. Mana tahu bawa kau ada tuah. Dapat aku tengok dia depan mata.”
“Itu la niat kau? Aku mana boleh keluar. Mak aku tak ada. Siapa nak jaga kedai? Pukul lima Sofea dah nak balik. Kau nak suruh mak aku bungkus aku dalam guni kalau aku tinggalkan kedai?” tolak Ara.
“Jadi aku kena pergi sorang la ni?”
Ara mengangguk. Dollah muncung. Sepi mengambil alih.
“Ara... Cepat ikut mak!” Tiba-tiba muncul satu tubuh gempal. Terkedek-kedek meluru ke arah Ara dan Dollah. Terperanjat dua makhluk Allah tu.
Rogayah. Mak Ara. Orang yang pegang watak ibu tiri Snow White dalam mimpinya. Tapi Rogayah mak kandung dia okey. Tak adanya tiri-tiri.
“Pergi mana? Yang mak kalut sangat ni kenapa?” Dahi gadis itu berkerut. Mata dipincing pada emaknya. Nampak macam ada masalah negara saja.
“Razif kena rompak semalam. Sekarang ni ada dekat hospital. Jom tengok dia. Dollah, kamu pun ikut sekali. Tengok sepupu kamu tu. Mak long kamu kata, tangan Razif patah.” Dengan satu nafas, Rogayah memberi maklumat. Tercungap-cungap dia. Penat berlari. Penat buat kalut.
Kedua-dua sepupu itu berpandangan sesama sendiri sebelum masing-masing buat muka tak rela. Setakat tangan patah, memang tak la dia orang pergi melawat.
“Bila nak pergi?” tanya Ara malas. Dahi dikerut pada Dollah.
Tak mahu pergi!
“Sekarang la. Tapi sekejap. Mak nak masuk tandas.” Rogayah berlalu. Pundi kencing dia dah penuh tu.
Gigi Ara berlaga sesama sendiri sejurus Rogayah menghilang. Baru lima hari lepas dia bergaduh dengan Razif. Memang tak la dia nak tunjuk muka. Dia tak mahu pergi dan tak ingin pergi.
“Kau ajak pergi restoran tadi, kan?”
Dollah tersentak dengan soalan Ara tiba-tiba. Tapi kepala diangguk juga.
“Jom.”
“Sekejap! Mak kau ajak jenguk Razif, kan?” Dollah blur.
Ara menghela nafas berat.
“Mak aku ajak tapi aku tak nak. Jom pergi sebelum Puan Rogayah tu datang.” Sekali lagi dia menarik lengan Dollah. Terdorong lelaki itu mengikut langkahnya.
“Kau tahu tak Dollah?” soal Ara saat mereka tiba di tepi Mini Cooper warna merah Dollah.
“Apa?”
Ara tersengih panjang.
“Bawa aku pergi. Pandu laju-laju kita lari dari realiti.…”

You May Also Like

0 comments