BAB 1(Backup Cinta)

by - February 12, 2019

BAB 1


Pin tudung dikemas buat kali terakhir.  Lama matanya merenung imejnya yang terpancar.  Saat itu ada air mata bertakung di bibir mata.  Dia ingin mengesat tetapi tangannya seakan lumpuh.  Ingin saja dia mengurungkan diri tapi tak mungkin.  Dia sudah berjanji untuk menerima hakikat yang sebenarnya.  Dia berjanji untuk keluar dari kesedihan yang membelenggu dirinya.
Bunyi ketukan membuatkan Isha berpaling. Air matanya cepat-cepat diseka.
“Masuklah,”  laungnya lembut.
Sebaik saja pintu terbuka,  terjengul wajah Intan yang sedang tersengih-sengih melihat Isha yang lengkap berbaju kurung dan bertudung.
“Dah siap pun.  Ingatkan lambat lagi.”
Isha kembali menghadap cermin.  Tak mahu Intan melihat sisa air mata yang masih terlekat di bawah matanya.
“Dah siap pun.  Cuma nak betulkan pin ni sekejap.  Kak ngah keluarlah dulu, sekejap lagi Isha keluar.”
Berkerut dahi Intan jadinya.  Aku pula dihalaunya keluar, getus hatinya.  Tajam matanya memerhati tingkah Isha.
“Sini sekejap.Gamit Intan tiba-tiba. Punggunya dilabuhkan di atas katil Isha.
Dia tahu Isha menangis.  Dah lama dia kenal Isha dan dia tahu kalau Isha berpura-pura sibuk maknanya adik saudaranya sedang bersedih.
“Sekejap kak ngah.  Pin ni macam tak kena pula.”  Balas Isha tanpa memandang kak ngah Intan.
Intan menggeleng.  Masih mahu berlakon?  Budak ni!
“Sini cepat!  Jangan nak berlakon depan kak ngah.  Kak ngah dah nampak muka Isha tu.”
Isha tersentak.  Terjatuh terus tangannya pada pin.  Tak boleh langsung nak sorok langsung! Mata kak ngah memang superb!
Isha menapak ke arah Intan.  Melabuhkan punggungnya disebelah kakak sepupunya.  Air matanya tumpah lagi.  Dia tak kuat menahan perasaan.
Air mata Isha,  Intan seka. Dia tahu Isha sedih, Isha terluka dan Isha masih diburu kenangan lalu,  walaupun dia tahu Isha masih belum tahu hakikat yang sebenar. Mengetahui keluarganya meninggal dalam insiden sudah cukup buat Isha hilang semangat, macam mana jika Isha kembali ingat keadaan sebenar?  Dia tak mampu menebak apa yang akan terjadi.
“Jangan menangis dah.  Hari ni kan kak long nak menikah. Kalau dia tahu Isha macam ni, mesti dia sedih.  Isha nak tengok kak long bersedih pada hari pernikahannya?”
Isha menggeleng.  Mana mungkin dia mahu Irdina bersedih pada hari bersejarah ini.  Pantas kepalanya dilabuhkan di bahu Intan.
“Isha rindu.  Sangat-sangat rindu.”  Luahnya sebak.  Air matanya lebat mengalir saat hatinya merasakan kesan kesakitan kehilangan itu masih bergayut di hatinya.
Tak mampu dia mengkhabarkan perasaan rindu ini.  Cuma mereka yang merindui saja tahu perasaanya.  Rasa seperti sesuatu yang tersekat dalam hati hingga nafas terasa semakin sesak.  Cuba menjerit meluahkan perasaanya tapi perkataan tak pernah cukup untuk menggambarkannya.
Agak lama dia bersandar pada Intan sebelum Intan menolak lembut tubuh Isha.  Matanya merenung anak mata penuh kesedihan itu.  Saat itu juga hati Intan terasa sebak. Dia cukup faham apa yang dilalui oleh Isha.  Kalau dia di tempat Isha,  mungkin dia tak kan menjadi sekuat gadis ini.
“Walaupun kak ngah cakap yang kak ngah faham perasaan Isha, kak ngah tahu kak ngah belum faham sepenuhnya.  Cuma satu je kak ngah minta.  Tolong jangan bersedih hari ni.  Hati kak ngah tak senang tengok Isha macam ni.”
Isha tersenyum.  Dia memang selalu buat orang risaukannya.  Mak long,  kak ngah, kak long dah banyak berbudi padanya malah mereka tumpahkan kasih sayang untuknya.  Kalau kak ngah sendiri susah hati,  apatah lagi kak long, Irdina.
Air mata dikelap. “Thanks kak ngah sebab faham Isha.  Isha janji Isha tak kan sedih lagi.  Isha tahu semua orang sayangkan Isha.  Budi mak long, kak long dan kak ngah banyak sangat.  Isha takut Isha tak kan mampu balas semuanya.”
“Ish! Kenapa cakap macam tu?  Kak ngah sekeluarga tak pernah berharap Isha balas apa-apa, cuma satu je yang kami minta.  Kami nak tengok Isha yang gembira yang pernah kami kenal dulu.’
Isha terharu.  Dia mengangguk sebelum memeluk Intan.  
“Isha janji Isha akan kembali macam dulu.” Isha menabur janji.
Biarlah kali ini dia hapuskan air mata demi keluarga yang banyak berbudi kepadanya.
“Kak Intan, kak Isha, pengantin dah turun.  Kak Dina suruh panggil kak Intan dengan kak Isha.”  Tiba-tiba saja muncul anak mak lang yang berusia sebelas tahun.
Pelukan terlerai.  Isha menyapu wajahnya kali terakhir.
“Jom la.  Marah kak long pula nanti.”  Intan mula berdiri.  Bajunya dibetulkan.  “Make up kak ngah okey tak?”
Isha turut berdiri.  
Okey dah!”
“Ni Isha punya pasal la. Nasib baik tak cair make up kak ngah!” Intan membelek wajah di depan cermin.
Isha hanya tersenyum.  Dia tahu Intan bukannya marah tapi cuba menutup perasaan sendiri.  Maklumlah dalam rumah ni Intan paling berhati kering, taip disebabkan Isha air matanya tumpah.
“Dah cantik tu kak ngah.  Jom la cepat!”
Terus tangan Intan ditarik sampai Intan terdorong mengikutnya.  Nasib tak tersungkur Intan dibuatnya.
Tersenyum manis Isha saat duduk di sebelah kak long.  Irdina memang cantik.  Wajahnya hampir sama dengan Intan cuma wajah Irdina lebih lembut.  Solekan nipis sudah cukup menyerikan wajah kacukan melayu-inggeris itu.  Bertuah betul abang Ilham dapat kak Irdina.  Dah la baik, lembut, sopan.  Pendek kata,  pakej terbaik!
“Isha okey?”  soal Irdian tiba-tiba.
Isha ketawa kecil.
“Apa kak long ni?  Sepatutnya Isha yang tanya macam tu dekat kak long.  Tengok tangan dah macam ketul ais.  Kak long tak payah nak risaukan Isha.  Bukan Isha nak menikah tapi kak long.”
Irdina tersengih.  Kan dah kena bebel.  Dia melihat Ilham yang sudah berhadapan dengan tok kadi.  Berdebar hatinya pasti lebih berdebar lagi hati Ilham.  Namun disebalik itu, dia dan Ilham terasa bahagia dan berharap perkahwinan ini kekal untuk selama-lamanya.
“Berhenti! Pernikahan ini patut dibatalkan!”
Terkejut semua tetamu mendengar jeritan itu.  Semua mata memandang lelaki yang muncul secara tiba-tiba.  Terlopong mulut Irdina dan Ilham.  Apa bala yang datang pada hari perkahwinan mereka ini?
Isha memandang lelaki yang berwajah tengang yang muncul dengan tiba-tiba.  Sinaran matahari membuatkan pandangannya silau.  Terus tangannya diangkat menutup cahaya sang mentari.  Kali ini wajah itu jelas di matanya dan saat itu juga dia tersenyum tanpa sedar.
“Abang?!”
Tiba-tiba ada satu lagi jeritan bergema. Semua di situ terpana dan juga terkedu seribu bahasa.

You May Also Like

0 comments