Bab 3 Khayla

by - February 04, 2020





BAB 3
~Kuat tidak datang dari bibir tetapi dari jiwa yang berusaha-

Turki - Atartuk Airport…
SEJUK membaluti tubuh. Silap dia pakai jaket nipis. Lupa, nak dekat akhir November mestilah musim mula acah-acah berganti. Bagasi terus ditarik. Mata mengintai wajah-wajah manusia yang jelas bukan dari negara asalnya, sedang lalu lalang.
Ada sekumpulan manusia sedang bergambar. Masing-masing tayang wajah gembira. Saat dia melepasi mereka, Khayla dengar bahasa yang mereka tuturkan.
Orang Malaysia rupanya.
Leher dipanjang mencari orang yang patut menyambutnya. Bunyi suara dari pertuturan yang berbeza-beza di sekeliling tidak dihiraukan. Dia terus mencari tapi gagal temui sesiapa pun. Tubuh dipeluk buat sekian kalinya.
Tak kan la Nuh mempermainkan dia?
“Nur Khayla?”
Tersentak dia lalu berpaling. Pandangannya disambut wajah memukau seorang gadis. Cantiknya. Terlupa nak jawab sebab dia sibuk menilik kulit cerah yang rasanya bukan keturunan Turki asli.
I think… yes. Look.” Datang pula seorang lelaki. Sekeping foto ditunjuk pada gadis tadi.
Right.” Gadis itu tersenyum.
Ya, I’m Khayla. You…” Terjeda. Baru Khayla perasan ada sekeping kertas di tangan gadis itu tertulis namanya.
“Felicia. Just call me Ceya.”
Terpinga-pinga Khayla saat Felicia menarik tangannya. Kemudian tangan itu menjalar ke lengan. Mata lurus padanya. Kenapakah dia diraba?
“Sejak duduk di Turki, you dah nampak macam orang tempatan,” getus lelaki tadi dalam bahasa Inggeris.
“Apa? I memang orang Turki,” balas Felicia turut dalam bahasa Inggeris.
Khayla kerutkan dahi.
“Jangan fikir dia raba awak. Orang tempatan di sini memang suka sentuh-sentuh. Maksud saya, itu cara mereka menunjukkan kemesraan. Felicia pun disentuh macam itu dulu sampai susah hendak lepaskan diri. Sekarang, dia pula jadi macam tu. Sentuh saja siapa dia nak. Nasib baik dia tak nak sentuh saya,cerita lelaki itu sambil melirik pada Felicia.
“Abdullah…” Meleret suara Felicia. Tegas kononnya tapi terlalu lembut di telinga Khayla.
“Awak berdua kenalan Nuh?” Khayla menyampuk dalam bahasa Inggeris. Dia agak-agak saja Felicia dan Abdullah tidak faham bahasa Melayu.
“Ya. Kami hampir terlewat. Nasib awak tak ke mana-mana. Saya Abdullah, pembantu datuk Nuh.”
Khayla angguk.
“Jadi, jom kita.” Abdullah mula melangkah.
“Abdullah, you lupa sesuatu.” Felicia merenung bagasi Khayla.
Lelaki berkulit separa gelap berpusing. Senyuman tersungging. Sambil ketuk dahi, dia mencapai bagasi Khayla.
“Tak apa. Saya boleh bawa sendiri.
“Biarkan dia. Kami kena layan you sebab you tetamu kami.” Felicia tarik tangannya.
Serba-salah Khayla tengok Abdullah mengheret bagasinya.
“Tapi saya pekerja macam awak berdua juga.”
“Selama tiga hari, you tetamu kami. Selepas tiga hari, you kawan kami. Lagipun, dia lelaki. Tenaga lebih banyak dari kita.”
Nak buat macam mana lagi? Biarkan saja la. Lengan panjang jaket nipisnya ditarik-tarik. Sejuknya.
“Oh tidak. Kenapa pakaian you nipis sangat?” Felicia berhenti.
Saya ingat boleh tahan, rupanya salah.” Khayla sengih.
Felicia menggeleng. Coat winter tebal dibuka.
“You pakai ni.”
Terkesima Khayla. Pegun dia pada Felicia. Ramah, baik, malah bermurah hati. Dia memang sejuk tapi tidak sampai hati susahkan orang lain.
Awak akan sejuk nanti.”
“I dah bertahun di sini. Dah biasa dengan cuaca.”
Felicia terus tarik tangan Khayla. Dia kurang gemar berbicara tentang kebaikannya. Pujian cuma akan merosakan. Takut niat baik berubah menjadi riak. Jadi, dia senyapkan kenalan Nuh tu dengan cara menarik gadis itu untuk percepatkan langkah mereka.
“Kanak-kanak kecil jangan bermain lagi. Saya ada janji ni,” laung Abdullah berjarak lebih sepuluh meter di hadapan.
“Abdullah memang begitu. Dia tak pandai bezakan kanak-kanak dengan wanita dewasa,” sindir Felicia saat mereka sudah menghampiri lelaki itu.
Khayla cuma senyum. Dia malas buka mulut kerana giginya diketap, sejuk.
“Nuh ada kata, awak menolak untuk ke sini. Kenapa awak bersetuju sekarang?” tanya Abdullah.
Mulanya Abdullah tidak berminat pun dengan hal itu, tapi apabila terpandangkan wajah Khayla, dia tertanya-tanya. Wajah itu lembut tetapi sinar mata seperti menyembunyikan sesuatu. Kolam mata gadis itu nampak jernih sehingga hati dijentik kesayuan. Aneh. 
Pertanyaan itu mendebarkan Khayla. Dia hanya mampu melorek satu garis senyuman. Tidak ikhlas. Hatinya jadi tak sedap. Peristiwa minggu lepas yang buat dia menerima tawaran Nuh melintas di kotak minda.
Kerana mak.



Imbas kembali…
“BERHENTI Khayla!”
Kakinya dipaku atas lantai. Air mata hampir menitik tapi ditahan segenap hati. Setitik air jernih belum mampu mengubah segala-galanya. Lalu, untuk apa dia menangis? Kerana itu, dia memilih untuk menahan saja tangisan.
Dia kuat. Khayla orang yang kuat.
“Tolonglah akak.”
“Akak tak boleh tolong lagi. Cuba Khayla dengar apa yang akak nak cakap dulu.”
Dia berpusing juga walau tanpa rela.
“Khayla tak sayangkan mak?”
Hilang segala kekuatan. Meluncur juga tangisannya. Pilu mencengkam. Pertanyaan itu bagai tujahan lembing tepat pada dada.
“Sayang. Sumpah kak, dia insan paling Khayla sayang.”
Kak Mila mendekat.
“Mak Khayla ada di rumah akak.”
Dia langsung tidak terkejut dengan berita itu. Selalu kalau mak datang ke bandar, mesti akan ke rumah Kak Mila berbanding rumah sewanyanya. Khayla tahu, jauh di sudut hati mak, tertanam rasa bersalah. Jujur dia kata, dia sudah memaafkan wanita yang melahirkan dia. Dia mampu memeluk tubuh tua itu dengan penuh keikhlasan walaupun kesakitannya masih belum mampu padam sepenuhnya. 
“Akak tahu apa mak nak?” Khayla tahu apa yang emaknya mahukan tapi dia mahu mendengar kepastian dari Kak Mila.
Melinggas mata Kak Mila. Antara nak beritahu atau tidak. Hatinya berbelah bagi.
“Ikut mak ke mahkamah.”
Mendadak Khayla berpusing. Tanpa cakap banyak, dia atur langkah. Perbualan itu akan melumatkan jiwanya saja. Baik dia pergi sebelum dia terkeluar kata-kata yang akan membinasakan dirinya sendiri.



DARI suku Uyghur. Salah satu suku yang tercantik di dunia. Kecantikan khas yang ada pada Timur Tengah dan Eropah. Sebab tu dia cantik. Dia bertuah.”
Hilang lamunan Khayla. Suara lelaki dalam pertuturan Inggeris buat dia mendongak. Abdullah sedang mengintainya dari cermin pandang belakang kereta.
“Apa yang you cakap ni?” Felicia di sebelah Abdullah ketap gigi.
“I tengok dia asyik pandang you. I terfikir, mungkin dia mahu tahu you asal dari mana?” Abdullah macam tadi, tak lepas dari senyuman.
“Saya fikirkan benda lain tadi bukan pandang Ceya. Tapi memang betul kata awak, Ceya cantik.”
Sikit demi sikit dia ringankan bibir. Patutlah Felicia cantik. Rambutnya perang dan bermata hijau. Suku yang tinggal di salah satu wilayah negara China itu memang cantik. Sebahagian dari suku ini terdapat juga di Uzbeskistan, kystan, Turki dan beberapa negara Timur Tengah yang lain. Dan mereka memilik kecantikan seperti negara Timur Tengah.
“You dah buat dia puji I,” keluh Felicia.
“Anggap saja dia puji ciptaan Allah.”
Khayla belajar sesuatu. Felicia tak suka di puji. Dan Abdullah nampak sangat suka mengusik gadis itu.
“Nak jadi kekasih I memang la kena cantik,” kata Abdullah tiba-tiba.
Mata Felicia membuntang.
Khayla tersentak. Felicia kekasih Abdullah rupanya. Sebab dia di belakang, dia cuma dapat melihat sisi wajah Felicia dan Abdullah. Kontra betul mereka berdua. Felicia indah seperti bunga mekar. Dia tidak kata Abdullah hodoh. Lelaki itu sempurna. Tapi kalau bergandingan dengan Felicia, tak mampu la nak kata macam pinang dibelah dua.
“Cinta tak mengenal paras rupa,” keluh Khayla tak semena. Kali ini dia berbahasa Melayu, jadi mustahil Abdullah dan Felicia faham.
“Awak cakap apa tadi?” Abdullah menyoal dalam bahasa Inggeris. Nadanya macam terkejut.
“Saya cakap, indahnya Turki,” tipu Khayla dalam bahasa yang sama.
Felicia sudah menekup mulut macam menahan ketawa. Pelik Khayla. Tanpa sedar, dia mengomel dalam bahasa ibunda.
“Kalau Abdullah tahu aku maksudkan dia dan Felicia ibarat tanah dan awan, mampus. Tapi tak ada la hitam. Okey saja. Mesti ada istimewa dia sebab tu dapat menambat hati perempuan cantik macam Felicia. Tapi apa yang istimewanya dia? Khayla, kenapa susah-susah sangat kau fikir? Cinta itu mengatasi perbezaan.”
Usai dia bercakap dengan diri sendiri, tawa Felicia meledak. Mata Abdullah yang terpantul pada cermin mengecil. Sayup-sayup terdengar Abdullah beritahu Felicia supaya bersedia.
Tiba-tiba saja, Abdullah mendadak memulas stereng. Tak sempat buat apa-apa, kepala Khayla terhantuk pada pintu kereta.
Auch!”
Beberapa saat, kereta bergerak kembali seperti biasa. Khayla menangkap senyuman puas di bibir Abdullah.
Poor her.” Felicia terjegil.
Abdullah macam biasa, tersenyum. Macam tak jadi apa-apa tadi.
Khayla gosok tepi kepala. Sakit gila.
“Awak elak apa tadi?” Menyoal Abdullah mestilah dia guna bahasa Inggeris.
“Elak sakit hati.”
Tergamam Khayla. Bukan kerana ayat itu tapi kerana Abdullah baru bertutur dalam bahasa Melayu.
“Dia mesti tengah sakit hati sangat tu,” celah Felicia. Itu pun dalam bahasa Melayu.
Melopong Khayla. Dua orang tu faham omelannya sebentar tadi. Liur ditelan.
Ampun!

You May Also Like

0 comments