Bab 4 Aku Di Sini

by - July 21, 2018


BAB 4

 
Aifa Hani. Sebut saja nama itu, hampir semua orang mengenalinya. Gadis cantik, anggun, bekerjaya, bijak, baik dan mempunyai aura yang cukup mempersonakan. Seorang selebriti yang tidak berlandaskan paras rupa semata-mata. Dari mata kasar, gadis itu sangat sempurna. Dalam usia muda sudah mempunyai sebuah syarikat pengeluaran kasut yang kini akan melebarkan sayapnya ke luar negara. Hebat! Mungkinkah kerana dia anak seorangg hartawan?
Tidak! Ara pernah baca sejarah hidup gadis itu. Apa yang dia ada sekarang adalah atas usahanya sendiri. Bapanya hanya menyokong dari belakang. Tak hairan la bila dia diangkat menjadi seorang idola. Memang berbakat pun. Kerana kejayaannya yang luar biasa, maka dia digelar Princess of Malay. Gelaran yang pada mulanya diberi oleh seorang peminat akhirnya menjadi gelaran rasmi gadis itu.
Tahu apa yang menarik bagi Ara? Aifa Hani adalah kawan sekolah Dollah. Bukan kawan biasa tapi kawan rapat. Dia sendiri tengok gambar Dollah dan Aifa. Dekat tiga album la juga. Bangga dia bila ada sepupu bersahabat dengan artis. Cuma yang tak bangganya bila Dollah sukakan Aifa. Kenapa la sepupunya cintakan Aifa tu? Kerana perasaan itu la yang akhirnya memisahkan Dollah dan Aifa. Hubungan persahabatan kedua-dua mereka musnah.
Boleh pula Dollah luahkan perasaan sejurus saja keputusan SPM keluar. Memang ditolak la sebab bagi Aifa, Dollah hanya seorang sahabat. Kerana itu juga, Aifa menjauh dan Dollah menanti dengan cinta yang tak pernah mati. Sadis, kan? Tapi nak buat macam mana? Itu la kesah mereka. Kisah antara Dollah dan Princess of Malay itu.
Tahun demi tahun berlalu, alih-alih Aifa muncul sebagai seorang selebriti. Semakin gila la perasaan Dollah. Setiap kali Aifa masuk TV, setiap kali tu la muka Dollah akan terpacul depan skrin. Kadang-kadang dia berharap juga Aifa dan tauke perabot tu ada jodoh.
Tauke perabot? Dollah la tu! Nama aje tauke perabot tapi kebanyakan urusan perniagaan diserahkan pada adiknya, Fu Fu. Nama sebenarnya Farah tapi disebabkan keluarga sebelah ayah Dollah asyik panggil Fu Fu, mereka pun terikut sama. Lupa nak info, ayah si Dollah ni mualaf berbangsa cina. Tahu apa pula panggilan Dollah dalam keluarga sebelah ayahnya? Kwang Soo! Semuanya sebab muka Dollah memang mirip dengan ahli Running Man tu. Bukan muka saja, tinggi pun hampir sama. Mungkin pendek beberapa sentimeter saja.
Berbalik pada Aifa Hani, Princess of Malay tu. Lima bulan lepas secara rasmi gadis itu mendedahkan hubungannya dengan seorang jejaka. Tergolek la Dollah sebab kecewa. Tapi selagi belum menjadi isteri siapa-siapa, Dollah cakap dia akan fight for love. Kononnya!
Iyan Naufal. Kekasih Aifa Hani. Lelaki yang semakin kerap muncul di kaca televisyen. Malah, muka lelaki itu terhias dalam beberapa iklan di dalam TV. Maklumlah, orang famous, mula la orang jadikan model itu dan ini. Lelaki yang smart, kacak, tinggi, berkulit sawo matang, dan paling penting body dia. Tip top! Sekali tengok kita boleh rasa aura dia. Tak hairan la kalau itu yang menjadi pilihan Aifa.
Tapi lelaki tu bukan anak Datuk atau anak mana-mana hartawan. Cuma seorang lelaki biasa yang mencorakkan hidup sendiri. Iyan terkenal di luar negara dalam bidang masakan. Senang kata, lelaki tu seorang chef. Ara pernah baca tentang kehidupan lelaki itu. Mulanya dia baca sebab si Dollah yang paksa tapi lama-lama dia tabik spring!
Seorang anak yatim piatu yang bekerja keras demi perjuangkan kehidupannya. Bila dia baca cerita lelaki tu, dia tercengang habis. Macam-macam lelaki tu buat untuk perjuangkan kehidupan. Tak hairan la kalau lelaki tu diangkat menjadi salah seorang anak Malaysia yang berjaya.
Dia kembali ke Malaysia tahun lepas. Membuka restoran sendiri di Kuala Lumpur. Restoran yang bukan calang-calang restoran. Cuma ramai mempertikai bila dia membuka satu lagi cawangan di Taiping. Tapi tak la gah macam restoran miliknya di Kuala Lumpur. Bila ramai mempertikai, mengapa di Taiping dan bukannya di tempat lain, jawapan lelaki tu cukup mengagumkan. Jawapan lelaki sejati.
Asalkan saya boleh membahagiakan orang dengan masakan dari tangan sendiri, saya tak kesah di mana pun saya berada. Wang itu bonus, kebahagiaan itu upahnya.’
Lelaki tu memang ada gaya tersendiri.

 ....................

“AKU rasa, aku tak boleh teruskan semua ni!”
Lamunan Ara hilang. Mata terbuka luas tengok Dollah menghempas gelas di atas permukaan meja bersama dengusan panjang. Tercengang dia beberapa ketika.
“Aku rasa macam orang bodoh. Datang restoran ni semata-mata nak tengok lelaki tu. Habiskan duit dekat tempat yang aku tak suka ni. Kau rasa aku bodoh tak Ara?” Dollah meraup rambut ke belakang. Lemah dan sendu wajahnya.
Bukan bodoh tapi tersangat bodoh! Ara ingin mengutuk tapi tekanan di wajah Dollah mendiamkan dia. Merenung sepupunya penuh simpati. Memang tak berapa bijak la kalau datang restoran semata-mata ingin melihat lelaki bernama Iyan tu. Tapi berapa kali datang pun, tak pernah mereka terserempak.
Pelik. Ada ura-ura mengatakan Iyan banyak habiskan masa di restoran ini dari restoran induk di Kuala Lumpur. Maklumlah, baru buka kan? Tapi setiap kali Dollah ke situ, batang hidung si chef tu pun dia tak nampak.
“Kenapa kau diam? Tak nak bahan aku?”
Ara ketepikan pinggan di depannya sebelum menopang dagu. Tersenyum pada Dollah yang nampak cukup kecewa. Dalam banyak-banyak masalah, sepupunya terlibat dalam masalah cinta.
“Ikutkan hati aku, memang banyak benda aku nak bahan kau tapi...” Ara angkat muka.
“Aku ni sepupu kau yang terbaik. Tambahkan tekanan kau? No way! Aku lebih suka tengok kau happy dari tengok muka kau yang macam kura-kura menyorok dalam cengkerang. Dari macam Kwang Soo, dah nampak macam mangkuk ayun tahu tak? Walaupun aku kadang-kadang tak suka apa yang kau buat ni tapi hati aku ni... Selalu support kau tahu.”
Dollah pantas bersandar. Tahu yang Ara cuba kembalikan keadaan mereka yang selalu ‘ceria’. Namun saat ini, dia rasa lemah. Dari tingkatan satu sampai la umur menjangkau dua puluh enam tahun, cintanya pada Aifa tak pernah berubah.
“Kau rasa aku patut hentikan semua ni, ke? Lupakan Aifa. Lupakan perasaan aku?”
Ara tersentak. Lama dia memandang Dollah. Ini kali pertama Dollah menyebut kata kunci ‘lupakan Aifa’. Kan bagus kalau Dollah betul-betul maksudkannya?
“Kau tahu, kenapa wujudnya perkataan jodoh?” Soalan sengaja dibalas soalan oleh Ara.
Dollah tersenyum kecil. “Jawapan kau ‘ya’ kan?”
Dia faham maksud Ara. Ara mahu dia lupakan Aifa.
“Dalam dasar lautan bukan ada hanya satu mutiara. Aku rasa kau patut mula cari mutiara lain.”
Mutiara. Itu la yang Dollah selalu katakan. Aifa adalah mutiara hidupnya. Jadi maksud Ara adalah mencari perempuan lain yang boleh menjadi mutiara dalam hidupnya. Tapi mampukah dia?
“Apa kata kau saja yang jadi mutiara tu?” Jari Dollah terhala pada Ara.
Mata Ara mengecil. Jari telunjukknya bermain di tepi dahi seolah-olah berfikir.
“Tapi aku bukan mutiara. Aku permata.”
“Cis, Perasan!” Dollah lambakkan ketawa.
Melihat sepupunya mula tertawa, Ara tayang muka bagus. Kenapa perempuan diibaratkan sebagai bunga? Kerana perempuan itu adalah hiasan dunia. Tetapi macam bunga juga. Banyak spesies. Itu bermakna, perempuan terdiri daripada perbagai personaliti tersendiri. Dan dia berharap Dollah bertemu dengan spesies bunga yang boleh membahagiakan dirinya.
Ara menarik gelas berisi jus oren. Belum sempat dia menyedut, telefon bimbit Dollah berbunyi.
“Siapa?”
“Seseorang.” Dollah berdiri. “Aku ke sana sekejap.” Dollah berlalu.
Ara menilik kawasan dalam restoran sebaik saja Dollah menjauh. Restoran ni tak la besar mana tapi penuh keunikan. Kebanyakan perabotnya dari kayu. Klasik, itu yang Ara rasakan. Paling Ara suka, pentas kecil yang diwujudkan di bahagian tengah restoran. Pentas yang dihiasi dengan alat muzik zaman dahulu kala. Berada dalam restoran ini, seakan berada dalam filem klasik cinta hollywood.
Saat sibuk menilik, tak semena-mena ada bunyi kuat di tepi mejanya. Laju dia berpaling. Berkerut dahi saat melihat seorang kanak-kanak tertunduk di hadapan sebatang tubuh.
“Saya minta minta maaf. Maafkan saya.” Muncul satu tubuh seorang perempuan yang tertunduk-tunduk meminta maaf. Tangannya ligat menarik anaknya ke belakang.
Itu la padahnya bila tak kawal anak sendiri. Anak lari terlanggar pelayan yang menatang dulang. Maka, terjadi la scene gelas berderai jatuh atas lantai dan juga scene saling bermaafan. Patutlah part langgar-terlanggar ni selalu dimasukkan dalam drama. Realiti sangat!
Ara memandang wajah pelayan lelaki yang santai dengan baju T putih bersama apron coklat yang melilit di sekitar pinggang. Kacak! Lagi kacak bila tersenyum. Saat dia asyik meneliti pelayan yang bewajah tenang tu, ada satu suara lain datang dari belakang.
It’s okay...” Muncul seorang lelaki berkemeja putih di sebelah pelayan tadi. Lelaki itu bertinggung menghadap budak yang mula mengalirkan air mata.
“Adik tak apa-apa?” tanya lelaki itu bersama segaris senyuman yang cukup memikat. Ara di sebelah tergamam.
Budak itu menggeleng lemah. Ara nampak lelaki itu mengusap kepala budak lelaki dengan lembut. Senyuman masih tak lekang dari bibir.
“Perkara kecil macam ni, budak comel tak patut menangis.” Lelaki itu mengeluarkan sapu tangannya. Wajah basah itu dilap sebelum beralih pada baju budak tadi yang sedikit kebasahan.
“Boleh bawa anak cik ke belakang? Takut dia tercedera kalau terpijak kaca ni. Please...” Lelaki itu kembali berdiri.
“Boleh... Boleh...” Mak budak tu mengangguk walaupun jelas wajahnya terpinga-pinga. Lelaki kacak di depan, siapa tak bergetar hati wei!
“Kau okey, Rey?” Bahu si pelayan ditepuk-tepuk sejurus saja si emak dan si anak itu berlalu.
“Okey bos!” Rey angkat tabik. Lelaki berkemeja itu tersenyum dalam.
Iyan Naufal! Ara terkaku beberapa saat. Lelaki yang Dollah mahu tengok ada depan mata sekarang. Ara berdiri tanpa sedar. Dia jumpa. Dia dapat tengok Iyan Naufal secara real. Dari atas bawah dia menilik si lelaki itu sebelum tiba-tiba matanya menangkap huruf yang tercatat di atas sapu tangan yang dipegang secara tidak kemas oleh lelaki itu. Dia terkesima.
WT?
Pap!
Dua mata saling terperangkap antara satu sama lain. Minda Ara mati dari berfikir. Wajah lelaki bernama Iyan itu sudah bertentangan dengannya tanpa sedar. Tak berkelip dia bila mata itu mengasaknya dengan renungan lembut yang semakin lama menjadi semakin tajam. Buat seketika, Ara rasa seperti bebola matanya disedut ke dalam bebola mata hitam milik lelaki itu. Ada debaran mengasak jiwa. Ada getaran berlagu dalam sukma. Dan ada keanehan bila lelaki yang murah dengan senyuman tadi berubah tegang.
“Ara!”
Ara tersedar. Pandangan dialih. Saat itu dia menangkap susuk tubuh Dollah. Dollah datang! Dollah akan tertembung dengan Iyan akhirnya. Pantas Ara menggamit Dollah sebelum memberi senyuman nipis pada Iyan. Namun, senyumannya tak berbalas. Gerakan bibir perempuannya, hilang.
“Kita kena balik sekarang!” tukas Dollah tiba-tiba. Berdiri di belakang Iyan yang masih merenung wajah Ara Elisya.
Mata Ara terhala pada sepupunya dan kekasih Aifa Hani secara bersilih ganti. Mesti Dollah tak sedar siapa di depannya.
“Kau tercegat apa lagi? Kita kena balik. Razif lari dari hospital dan...” Dollah mengeluh kasar. Wajahnya cemas.
“Dia serang mak kau. Razif tuduh kau upah perompak tu.”
“Apa?” Ara terjerit kecil.
“Mak long dan Razif serang mak kau.”
Kedua-dua tangan Ara longlai. Terkejut. Apa pula masalah kali ni? Ara ingin membuka mulut tetapi dia tergamam tatkala bibir Iyan tadi sudah bertukar sinis. Buat sekian kali mindanya mati dari berfikir.
“Ara kau dengar tak?” Dollah mara ke depan.
Bila Dollah menghampiri Ara, Iyan sudah membawa langkahnya ke depan dan terus menghilang.
“Razif tu melampau!” hambur Dollah. Tak puas hati.
“Dollah...” panggil Ara tiba-tiba. Mendatar. Terkejut untuk menghadam senyuman sinis lelaki tadi. Senyuman seakan mempunyai makna tersembunyi.
“Aku nampak Iyan. Lelaki tu.…”
“Kau nampak dia? Mana?” Biji mata Dollah meliar.
“Yang berdiri depan aku tadi tapi dia...” Ara berjeda lagi. Bayangan senyuman sinis tadi tidak mahu hilang dari kepalanya.
Dollah nampak tercengang tetapi hanya sejenak sebelum dia melepaskan nafas berat.
“Mak ngah lagi penting. Kita balik sekarang. Kau tahu mulut mak long, kan? Sebelum apa-apa jadi, baik kita balik sekarang.” Terus tangan Ara ditarik.
Ara hanya akur. Membiarkan diri terus diheret oleh Dollah bersama muka tak beriak. Riak wajahnya seakan dilahap renungan lelaki berkemeja tadi.
‘Apa kau fikir ni Ara? Dia cuma pandang kau saja tadi. Sedar!’
Tangan di dalam genggaman Dollah ditarik. Bila Dollah berpusing menghadapnya, dia mengetap gigi.
“Kalau aku cuba patahkan kaki Razif, kau tolong halang aku okey!” pesan Ara keras sebelum laju melangkah ke arah kereta sepupunya.
Tanpa mereka sedar, seseorang memerhati di sebalik tirai yang tersingkap kemas. Tirai dari tingkat atas bangunan restoran tadi.
Perlahan-lahan Iyan melepaskan tirai berwarna keemasan itu sebelum berpusing menghadap dinding kosong di depannya. Dinding putih seakan sedang menayangkan satu cerita yang tak pernah luput dari ingatannya.
................


pesanan penulis : Ini raw version yang mungkin ada kesalahan ejaan dan tatabahasa. Untuk mendapatkan novel AKU DI SINI, boleh wassap ke nombor 0174990467
pre order : RM 26 + postage RM 7
enjoy!



You May Also Like

0 comments