SARA MEET ADAM 2

by - January 10, 2021

SARA MEET ADAM

PAGI-pagi lagi, Sara duduk termenung depan meja kayu kesukaannnya. Pagi itu suasana tak seperti biasa. Sedikit panas dan buat badan lembab dengan peluh yang segan-segan mahu keluar. Rambut panjangnya diikat tinggi. Bahagian leher dikipas. 

Dia mengintai rumah jiran sebelah. Kereta Proton Saga tiada. Yang ada hanyalah sebuah motor uzur. Dia resah. Kalau ada Mak Cik Naura, tak ada la dia akan rasa janggal bila berhadapan dengan bakal penyewa lelaki nanti. 

Lelaki. Hatinya mengeluh dalam diam.
Kalau tidak mengenangkan bil air, cukai pintu dan cukai tanah yang tertunggak, memang dia biar saja rumah itu kosong. Ekonomi zaman ini benar-benar mencantas keharmonian hidup. Orang tak berkeluarga sepertinya pun merasai bahang ekonomi yang merundum, apatah lagi orang yang berkeluarga. Tapi itu la hidup. Ianya akan mengejar dan tugas manusia menempuhinya selagi nyawa tidak terlerai dari badan.

Sara terus menunggu sehinggalah sebuah wolkswegan lama berhenti di depan rumah. Seorang lelaki bertopi merah terang, keluar dari perut kereta itu. Berjalan selamba ke arah pagar rumah. Dalam masa yang sama, mata mereka saling berlaga. 

Dia perasan, langkah lelaki itu terhenti saat mata mereka bertatapan tadi. Lelaki itu tampak terkejut. 

“Tuan rumah?” laung lelaki itu.

Sara bangun menghampiri pagar. Wajah lelaki muda yang berdiri tegak direnung dalam-dalam. 

“Encik…” Sengaja Sara tak menyebut nama bakal si penyewa. Sebagai langkah berjaga kalau di depannya adalah orang lain. 

“Adam.” 

Pagar rumah dibuka. Segaris senyuman dilemparkan.

“Saya tak sangka tuan rumah perempuan muda.”

Kedua-dua kening Sara naik. Tak faham maksud lelaki itu. Kenapa pula keluar perkataan, tak sangka? Setengah hati mula tak sedap. Paranoidnya pada insan bernama lelaki menyerang sedikit.  

“Saya tak ada apa-apa maksud. Selama ni, tuan rumah saya lelaki tua. Ini kali pertama bertuankan perempuan muda. I just… tak tahu macam mana… Ermm…” Lelaki berbaju coklat itu berjeda. Mungkin sedar perubahan wajah Sara. Pelipisnya bergerak-gerak seperti memikirkan sesuatu. 

“Apa orang selalu cakap ya… Hmm… first step? No… No.. No. First impression? Bunyi macam pelik. Sekejap…  cara menyap, lebih kurang macam tu la,” sambungnya seolah bermonolog sendiri. 

Sara senyum nipis sekali lagi. Keterlaluan betul lelaki itu menerangkan keadaan.

“Saya faham.. Masuklah.” 

Lelaki itu melangkah masuk. Sara alihkan sedikit badannya. 

“Jadi… cara saya memulakan perbualan dengan tuan rumah tadi… cara yang betul?” 
Sara sekadar angkat bahu. 

“Saya pun tak tahu. Encik betul-betul nak menyewa di sini?” 

Adam muncungkan bibir. Pandangannya ditebarkan ke sekeliling. 

“Ya. Love grows best in houses. Jadi… itu tempat yang awak nak sewakan, kan?” Adam mendongak memandang tingkat atas rumah. Kedua-dua tangannya diseluk ke dalam kocek.
 
Sejenak, Sara menatap lelaki itu. Mata lelaki itu sedikit menyepet bila terkena panahan matahari. Dalam keadaan lelaki itu mendongak, wajah itu jelas di matanya. Lelaki itu mempunyai kulit separa cerah tanpa sebutir jerawat pun mencacatkan wajahnya. Hidung mancung. Bahagian rahangnya tirus. Kening sedikit keperangan. Kornea mata yang dipanah mentari sedikit kekuningan, macam warna mata kucingnya, Rego. Cuma dia rasa sedikit aneh pada langkah lelaki itu. Kaki dia sakit mungkin. 

“Tenungan awak tu sebagai jawapan kepada soalan saya ke?” 

Sara tersentak. Terus dia menunduk. Bibirnya digigit menahan malu disindir. 

“Ya. Itu rumahnya. Encik nak tengok dulu?” Sara abaikan rasa malu. 

Adam menoleh padanya. Senyuman cantik melengkung pada bibir jantan itu. 

“Tak perlu. Saya yakin dengan keputusan saya. Tentang sewa rumah, deposit, macam mana?”

“Sewa, tiga ratus lima puluh. Untuk deposit, sebulan sewa dan sebulan bil elektrik dan air. Encik okey dengan itu?” 

“Tiga ratus lima puluh?” 

“Ada masalah?” Dia rasa harga yang ditawarkan lebih dari berbaloi.

“Tak! Tak sangka boleh dapat harga macam tu sekarang.” 

Sara diam. Tak memberi komen. Dia tahu pekerjaan lelaki itu. Berapa banyak sangat dapat sebagai seorang pekerja ladang. Dia tahu macam mana rasanya hidup terbeban. Jadi, membebankan orang bukan pilihannya. 

“Bila encik nak masuk?” 

“Tak perlu la encik-encik. Kalau boleh, saya nak masuk hari ni juga.” 

“Hari ni?” Sara tercengang. 

“Tak banyak barang yang saya nak bawa. Kalau awak tak kesah, malam nanti.” 
Selepas menimbang tara, Sara mengangguk. 

“Baik…” 

Sekali lagi mata mereka bertautan. Tiba-tiba saja Adam membuka topi di atas kepalanya, menyerlahkan rambut hitamnya yang kelihatan perang di bawah terik matahari. 

“You need this?”

“No...” Sara terpempan. Topi yang terhulur padanya dipandang hairan. 

Adam ketawa kecil. Tanpa diduga, diselit topi itu di celah tapak tangan Sara. 

“Awak perlukan tu. Dahi awak selalu pedih kalau terlalu panas.” 

Terlepas topi tu dari tangan. Jatuh menghentak lantai bumi. Tiba-tiba saja dunia bagaikan sedang diam. Mata Sara terbelalak. 

‘Macam mana dia tahu?’

Adam melirik penuh makna. Mulutnya sedikit muncung menahan senyuman sinis. 

“Jumpa nanti.” Dengan ayat itu, Adam berlalu. 
Mata Sara bagai diprogram, terus mengekori langkah itu. Sehinggalah dia disedarkan bunyi hon kereta Proton Saga suami Mak Cik Naura.

You May Also Like

0 comments