SESUATU YANG MENGHENTIKAN DIRI DARIPADA MENULIS

by - August 07, 2022

Pernah tak persoalan, kenapa aku rasa tak boleh menulis mengetuk fikiran? 

Saya pernah alaminya. Tidak hanya sekali tetapi berkali-kali. Kadangkala terjadi setiap kali menyelesaikan satu babak. Saya rasa apa yang ditulis itu kosong. Perasaan waktu itu seperti apa yang saya taip hanyalah satu perkara sia-sia. Pernah banyak kali, saya kalah dengan perasaan itu dan memadamkan semuanya. Dalam fikiran, saya perlu mulakannya semula. Bila mulakan yang baru, perasaan yang sama masih ada. 

Saya masih ingat suatu masa dulu, waktu mula menulis. Betapa excitednya setiap kali melihat laptop. Masih ingat betapa cerahnya senyuman setiap kali menghidupkan lapotop. Betapa terujanya ketika menaip perkataan pertama. Dan betapa indahnya bila bertemu penamat. Bila tahun berganti tahun, menulis mula terasa menjadi satu bebanan. Mula terasa menjadi hal-hal yang memaksakan. 

Sejak kebelakangan ni, saya mula membandingkan dua latar masa itu. Kenapa dulu gembira? Kenapa sekarang kosong? Sedangkan saya membuat satu-satunya perkara yang saya suka. Kenapa? 

-Semua yang tertulis di blog ini hanyalah pendapat peribadi. Andai ada yang berguna, boleh dijadikan contoh. Jika ada yang tidak elok buat diri yang membaca, abaikan. Kadangkala sesuatu yang kita rasa betul pada diri kita, 'betul' itu tidak sesuai dengan orang lain. 


1. Misi

Ingat lagi waktu pertama kali memegang pen? Waktu pertama kali mengetik. Apa misi yang ada dalam kepala waktu itu? 

Secara personal, waktu pertama kali memutuskan untuk menulis sebuah cerita, saya hanya berfikir untuk membuat sebuah cerita yang diri sendiri inginkan.  Juga mencabar diri untuk menulis beratus helaian dan melihat sama ada saya mampu merealisasikannya atau tidak. Suatu waktu, akhirnya saya berjaya membuktikan diri sendiri. 

Adakah yang sedang membaca ini, memiliki misi seperti saya atau misi pertama menulis memang untuk menerbitkan menjadi sebuah naskhah? 

Selepas siap manuskrip kedua saya, baru saya mula memikirkan, kenapa tidak diterbitkan saja manuskrip yang ada. Saya menghantar manuskrip pertama dan itu kali pertama manuskrip saya ditolak. Ya, saya berhadapan penolakan pertama untuk manuskrip yang pertama. Waktu tu, saya tidaklah sedih sebab misi utama saya bukan untuk menerbitkan buku. Kemudian, saya hantar manuskrip kedua. Alhamdulillah, kali ini lulus walaupun penerbitannya memakan tahun, 

Saat melihat manuskrip diterjemahkan menjadi buku, saat itu terasa seperti satu keajaiban. Bermula titik itu, saya mula menulis buku untuk diterbitkan. Tapi saya tetap tidak tinggalkan perasaan enjoy ketika menulis. Saya panggil ini peringkat kedua dalam hidup. Di peringkat ini, misi saya bertambah, menulis untuk terbitkan sebagai buku. Ketika ini, saya selalu mengambil masa hampir dua tahun untuk menyiapkan sesebuah manuskrip. 

Sehingga tahun demi tahu berlalu, misi itu semakin bertambah. Dengan bertambahnya misi itu, misi yang pertama seakan menghilang. Waktu itu, sedikit demi sedikit keseronokan menulis itu hilang. Kemudian, perlaha-lahan menjadi stres kecil dan akhirnya tanpa sedar, menjadi stres yang buat saya berhenti menekan keypad. 

Dan saya berhenti. 

Saya mula refleksi diri sendiri. Mula mencari di mana kesilapan. Akhirnya sedar, yang saya paling rindukan adalah perasaan yang dulu. Untuk mendapatkan semula yang hilang bukan mudah. alhamdulillah kerana saya tidak kehilangannya tetapi hampir kehilangan. Cuma, untuk kembali perlukan waktu semula. Sebagaimana kita singkirkan misi kita dengan adanya misi-misi baru, begitulah juga kita perlu menyingkirkan misi yang tidak kita perlukan untuk mencapai misi pertama kita semula. Tapi, selagi ada masa, selagi itu kita ada peluang untuk dapatkan apa yang kita mahu/hilang kembali. Dan banyak sebenarnya yang membuat kehilangan misi yang awal. Contohnya, tergesa-gesa mahu terbitkan buku. Lebihkan kuantiti daripada kualiti. Perasaan fikirkan dengan menulis boleh menghasilkan banyak duit sehingga lupakan motif utama. 

Diri saya sendiri, ada beberapa faktor yang membuat saya hampir kehilangan misi saya. Alhamdulillah, sekarang semuanya baik-baik saja. Cuma tak dapat saya ceritakan di sini mengenainya.


2. SEKELILING

Sekeliling bermaksud, dalam persekitaran mana kita berada? Di dalam kelompok yang memberi kita semangat? Di dalam kelompok toksik yang menjatuhkan orang lain? Di dalam kelompok yang membuatkan kita rasa tamak? 

Misalnya kita berada di dalam kelompok yang mempunyai rakan-rakan yang suka menjatuhkan orang lain. Kadangkala walaupun kita merasakan kita hanya mendengar tanpa mengikuti sikap mereka, tetap kita menerima kesan negatifnya. Sebagai contoh, bila rakan kita mengutuk hasil kerja orang lain. Meskipun kita tidak mengikut perbuatannya, tetapi kita mendengar tanpa membantah. Hal-hal ini boleh membuatkan kita mula rasa tidak senang hati dan rasa bersalah. Kadangkala, kita tidak sukakannya tetapi kerana takut kehilangan rakan, kita senyapkan diri. Adakalanya, tanpa berbuat apa-apa, kita merasakan kita sama seperti rakan kita yang tadi sehingga mula salahkan diri sendiri. Dari hal-hal itulah yang boleh menimbulkan rasa negatif seterusnya memberi kesan dalam penulisan. 
Ingat, kita manusia. Kadangkala walaupun kitra rasa kita mampu mengawal diri, kita tetap akan terpengaruh. 

Jadi pilihlah kelompok yang baik. Yang tidak memberi emosi negatif. Hidup ini adalah pilihan. pilihan kita berada di dalam kelompok yang mana. 

3. IRI HATI

Seseorang mempersoalkan pada saya, kenapa mereka yang menulis cerita tak best, tetapi hasil penulisan mereka meletup. Padahal kebanyakkan review mengatakan ceritanya tidak best. Tapi kenapa jualan bukunya melambung? 
Sebelum kita biarkan diri kita tertanya akan soalan ini, apa kata kita cuba fikir mengapa kita boleh terfikir tentang persoalan ini? Dan bila kita mempersoalkannya, apa sebenarnya jawapan yang kita mahu dengar? 

Best atau tidak sesuatu cerita itu, bukan kita yang layak menghakiminya. Kita kena ingat, citarasa manusia tak sama. Contohnya, saya pergi sebuah kedai kopi dan memesan Ice Mocha.  Saya tak boleh habiskan air itu. Kemudian saya ke kedai yang sama dan memesan ice latte. Saya sangat sukakanya. Nampak, di dalam kedai yang sama, tetapi kita boleh sukakan salah satu. Begitulah hal penulisan. Kita sukakan buku penulis yang pertama. Tak semestinya kita akan sukakan yang kedua. 
Situasi seterusnya, saya lihat orang lain memesan Ice Mocha di dalam kedai yang sama. Tiba-tiba kita dengar dia memuji kopi tadi sedangkan bagi kita pujian itu tak sepatutnya tuan kedai dapat. Nampak, apa yang kita tidak gemar, belum tentu orang lain juga tidak gemarkannya. Jadi, jangan persoalkan tentang tahap bestnya sesebuah buku sehingga memaksa orang lain mula merasakan yang mereka tidak patut membacanya. Kadangkala bimbang andai itu titik permulaan kita iri hati. Dan bermula dari iri hati, mungkin kita terdorong melakukan kesalahan lain. Sebagai contohnya, bila kita menghasut seseorang tidak membeli buku itu (Padahal kita belum tahu orang itu akan suka atau tidak suka sesebuah buku), bimbang jika kita menghalang rezeki orang lain. Sedangkan sebagai manusia, kita sepatutnya mendoakan yang baik-baik untuk orang lain. Allah suka orang yang mendoakan orang lain. 
Jadi kita boleh ubah daripada mengatakan buku dia tidak best pada ramai orang kepada kita mendoakan dia mendapat ilham yang baik. 

Tentang isu, ceritanya tidak best tetapi kenapa meletup. Ingatlah rezeki kita Allah yang tentukan. Jangan persoalkan sebaliknya ketika melihat rezeki orang lain melimpah ruah, bergembiralah dan tradah tangan supaya Allah luaskan juga rezeki kita. 


Sebenarnya, banyak point yang kita semakin stres menulis. Saya mungkin akan huraikan dalam post lainnya. sebagai pendapat peribadi, ini antara point yang buat kita tidak teruja untuk menulis lagi,

4. Tergesa-gesa
5. Tidak yakin dengan diri sendiri
6. Cuba menjadi orang lain
7. Kalah dalam melupakan hal-hal pahit
8. Menulis hal-hal yang bertentangan dengan diri - (Hal-hal yang tidak elok)
9. Terlalu bergantung pada manusia 
10. Tidak mampu hadapi penolakan


Point paling saya suka dan sentiasa ingatkan diri adalah: 
KITA LUPA, APA YANG KITA ADA TERMASUK IDEA YANG MUNCUL DI BENAK SEBENARNYA BUKAN MILIK KITA. TIADA APA-APA YANG MILIK KITA KERANA SEMUANYA ADALAH MILIK DIA, YANG MAHA MEMILIKI. MOHONLAH PADA DIA SUPAYA KITA DIBERIKAN IDEA YANG BAIK. 

Jika ada faktor lain yang korang fikir menyebabkan korang tidak seronok menulis, boleh drop komen di bawah. Mungkin kita boleh huraikan di dalam post akan datang. InsyaAllah. 



You May Also Like

0 comments